Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, January 30, 2015

PEKAN: DUA ANGGOTA POLIS MAUT KEMALANGAN


Keadaan salah seorang mangsa dan motosikal yang terbabit dalam kemalangan berkenaan.


Pekan - Dua anggota polis maut selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 6, Jalan Pekan-Kuantan, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.20 petang itu, Koperal Helmee Akhsan Yahya, 29, yang menunggang motosikal polis trafik jenis Honda ST 1300 gagal mengelak sebelum bertembung dengan Koperal Amran Abdullah, 48, yang sedang melintas jalan berdekatan dengan Kolej Automotif Antarabangsa Malaysia (ICAM) di sini.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Yahaya Othman berkata, akibat pelanggaran tersebut, motosikal yang ditunggang oleh Helmee yang bertugas di Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis (IPD) Pekan terbabas ke pembahagi jalan sebelum melanggar pasu di situ.

“Helmee meninggal dunia selepas dikejarkan ke Hospital Pekan akibat kecederaan parah di kepala dan badan manakala Amran yang bertugas di Cawangan Tugas Am IPD Pekan menghembus nafas terakhir ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi di hospital sama kira-kira 4.20 petang.

“Ketika kemalangan itu berlaku, Helmee dalam perjalanan menghala ke Ubai bagi penugasan rondaan (escort),” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Beliau berkata, apabila tiba di kawasan kejadian, berlaku pelanggaran antara motosikal yang ditunggang oleh Helmee dengan Amran yang ketika itu sedang melintas jalan.

“Akibat pelanggaran itu, motosikal Helmee terbabas ke pembahagi jalan sebelum melanggar pasu bunga hiasan yang terdapat di situ.

“Siasatan di kawasan kejadian mendapati bahu jalan yang tidak berturap selain permukaan jalan yang rata. Bagaimanapun siasatan lanjut berkaitan kemalangan ini masih diteruskan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Jenazah Helmee akan dikebumikan di Kampung Mangkok, Setiu, Terengganu manakala Amran di Kampung Simpang Durian, Jelebu, Negeri Sembilan selepas dituntut oleh keluarga masing-masing.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1), AKta Pengangkutan Jalan 1987.

0 comments:

share2