Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, January 30, 2015

KEMATIAN JAMES RAMESH TIADA UNSUR SALAH LAKU


Putrajaya - Siasatan Pasukan Petugas yang ditubuhkan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mendapati kematian R James Ramesh ketika dalam tahanan polis pada 26 Mei 2013 tiada unsur salah laku.

Pengerusi EAIC, Datuk Yaacob Md Sam berkata, berdasarkan analisa dan penilaian terhadap keterangan yang diperoleh pasukan petugas mendapati tiada penggunaan kekerasan fizikal oleh anggota polis ketika penangkapan dan semasa dalam tempoh penahanan di lokap.

Beliau berkata, kematiannya adalah berpunca daripada penyakit hati kronik yang gagal berfungsi iaitu akibat pengambilan alkohol dan dadah yang berlebihan.

"Hasil pemeriksaan juga mendapati tiada sebarang kecederaan luaran atau dalaman yang dialami oleh si mati," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya pasukan petugas EAIC yang dilantik bagi menjalankan siasatan penuh kejadian, mengambil keterangan daripada 32 orang saksi, termasuk anggota polis yang bertugas menahan James Ramesh, pegawai perubatan, orang tahanan dan anggota keluarganya.

Yaacob berkata, selain melawat lokap Balai Polis Central, Pulau Pinang, tempat James Ramesh ditemui mati, pasukan petugas turut meneliti dan mengkaji dokumen berkaitan termasuk Buku Perharian Balai, Buku Daftar Keluar Masuk Orang Kena Tuduh (OKT), Buku Lawatan Pegawai Lokap, Buku Daftar Makanan, laporan bedah siasat dan laporan kimia berserta gambar post-mortem si mati.

"Pasukan Petugas juga menganalisa rakaman kamera keselamatan litar tertutup (CCTV) di lokap Balai Polis Central Pulau Pinang dan menghadiri prosiding inkues yang dijalankan di Mahkamah Koroner Georgetown yang memutuskan kematian James sebagai 'misadventure' dan tiada sebarang perlakuan jenayah terhadapnya," katanya.

Sehubungan itu, Yaacob berkata, EAIC mengenal pasti beberapa syor dan cadangan penambahbaikan berkaitan pengurusan lokap polis untuk perhatian dan tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk agensi-agensi lain yang mempunyai lokap orang tahanan bagi mengelakkan kejadian kematian semasa dalam tahanan berulang.

Beliau berkata, klasifikasi tahanan penagaih dadah tegar hendaklah dikelaskan sebagai 'pesakit' dan bukannya 'penjenayah' dan selepas tangkapan mereka hendaklah dibawa ke pusat perubatan bagi pemeriksaan dan rawatan, seterusnya ditempatkan di wad atau lokap khas yang membolehkan rawatan pemeriksaan berterusan oleh pegawai perubatan dilakukan.

Beliau berkata, Kaedah 10 Kaedah-Kaedah Lokap 1953 yang menghendaki pegawai perubatan membuat pemeriksaan kesihatan ke atas tahanan ketika mula ditahan lokap, harus dikuat kuasa dan dipatuhi.

Yaacob berkata, EAIC mencadangkan satu mekanisme yang mudah dan efektif diwujudkan bagi membolehkan orang tahanan dapat membuat aduan ke atas jenis penyakit atau kecederaan yang dialaminya agar dapat diuruskan dengan berkesan oleh pegawai penjaga lokap bagi membolehkan tahanan mendapat rawatan segera.

"Kursus dan latihan baharu yang berterusan secara berkumpulan dan berperingkat diadakan kepada semua anggota lokap berkaitan pengurusan lokap dan dokumen protokol yang terpakai dalam pengurusan lokap dan orang tahanan," katanya.

Beliau berkata, EAIC juga mencadangkan tatacara Prosedur Standard Operasi (SOP) khusus untuk mengendalikan tahanan narkotik atau penagih alkohol dan mabuk dan lain-lain seperti kanak-kanak dan orang trauma diadakan.

Yaacob berkata, EAIC juga mengesyorkan agar lokap-lokap dibekalkan dengan kemudahan dan jagaan yang lebih sempurna termasuk keperluan asas bilik air seperti sabun mandi dengan mengambil kira faktor keselamatan dan menentukan pengudaraan dan pencahayaan yang mencukupi bagi lokap.

Selain itu, beliau berkata, kekerapan rondaan oleh anggota lokap dengan mengambil kira peranan kamera litar tertutup (CCTV) dan jumlah keanggotaan lokap perlu dikaji semula.

Selain itu Yaacob berkata, pihak berkaitan harus memastikan keluarga orang tahanan diberitahu jika terdapat tahanan jatuh sakit dan menerima rawatan hospital," katanya.

Katanya pematuhan pegawai dan anggota bertugas lokap ke atas Perintah-perintah Tetap Ketua Polis Negara Bahagian A118 dan Perintah Tetap Ketua Polis Daerah serta Kaedah-kaedah Lokap 1953 harus diperketatkan.

Yaacob berkata, EAIC sangat kesal dengan kes-kes kematian pesalah dalam lokap yang berulang kali berlaku dalam negara dan memandang serius perkara ini.

"Demi menjaga integriti semua pihak, diharapkan syor-syor ini diberi perhatian serius oleh semua agensi penguatkuasaan yang mempunyai lokap dan tindakan penambahbaikan dilaksanakan segera," katanya.

0 comments:

share2