Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, January 1, 2015

KUANTAN : SELANGOR SEDIA BANTU PAHANG


Azmin (empat kanan) menyerahkan cek sumbangan kepada Kerajaan Pahang berjumlah RM100,000 kepada Shafik mewakili Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, semalam.



Kerajaan Negeri Selangor akan mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan di negeri itu menghantar pasukan ke Pahang bagi membantu kerja-kerja pembersihan kawasan dan kediaman penduduk yang terlibat banjir.

Menteri Besarnya, Azmin Ali berkata, sebagai tanda prihatin, kerajaan negeri Selangor juga menyerahkan bantuan RM100,000 kepada Kerajaan Negeri Pahang.

Menurutnya, peruntukan RM200,000 bagi Misi Bantuan Kemanusiaan melalui Pertubuhan Misi Bantuan Kemanusiaan Selangor (PANTAS) disediakan untuk agihan barang keperluan kepada mangsa banjir di negeri terlibat.

“Hari ini PANTAS menghulurkan sumbangan barangan keperluan kepada mangsa-mangsa banjir di sekitar Kuantan dan Indera Mahkota yang diharapkan dapat meringankan beban mereka.

“Kerajaan Negeri Selangor juga bersedia untuk memperuntukkan peruntukan tambahan kepada Pahang sekiranya diperlukan terutama bagi menambah bekalan termasuk dapur dan tong gas.,”katanya ketika hadir menemui dan menyerahkan bantuan barang keperluan kepada mangsa banjir di Cenderawasih, di sini, semalam.

Turut hadir, Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh, Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Fauzi Abdul Rahman, Adun Beserah, Andansura Rabu, Adun Semambu, Lee Chean Chung, Adun Teruntum, Sin Chon Siang dan Adun Bandar Kuala Terengganu, Azan Ismail.

Hadir sama lima Exco Selangor, Iskandar Abdul Samad, Zaidy Abdul Talib, Amirudin Shari, Ean Yong Hian Wah dan Dr Daroyah Alwi.

Azmin berkata, Kerajaan Negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat amat prihatin kepada rakyat bukan hanya di Selangor tetapi penduduk negeri lain termasuk Pahang yang mengalami musibah banjir teruk kali ini.

“Justeru kita berharap kerajaan pusat mempertimbangkan langkah jangka panjang bagi mengatasi masalah banjir dengan menyalurkan peruntukkan yang sewajarnya kepada kerajaan-kerajaan negeri supaya projek-projek berkaitan dapat dilaksanakan,” katanya.

Dalam ucapannya juga, Azmin berharap semua mangsa banjir di negeri ini tabah menghadapi dugaan dan bersabar.

“Sebagai sebuah kerajaan yang prihatin, kami amat bersimpati dan tampil menghulurkan bantuan hari ini untuk meringankan beban mereka,” katanya.

Dalam majlis berasingan, Azmin menyerahkan sumbangan RM100,000 kepada kerajaan negeri dalam satu majlis ringkas di Batu 10 dekat sini.

Sumbangan diterima Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Pahang, Datuk Shafik Fauzan Sharif yang mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.




0 comments:

share2