Seremban - Selama 17 tahun menyimpan wang, namun malang bagi seorang warga emas di sini, apabila simpanannya itu lesap angkara sindiket gores dan menang.
Pasangan suami isteri yang tinggal di Taman SE, Rahang itu kerugian RM100,000 apabila ditipu sindiket yang menjanjikan pelbagai hadiah lumayan.
Mangsa, Lai Kok Keong, 77, berkata, dia tidak sangka boleh terpengaruh dengan janji manis ejen sindiket terbabit sehingga sanggup menyerahkan wang yang disimpan sejak bertahun-tahun lamanya.
Menurutnya, kejadian bermula kira-kira 11 pagi kelmarin, apabila dia dan isterinya, 71, berada di sekitar Pasar Besar Seremban untuk membeli barang basah.
“Ketika kami di dalam kereta dan mahu pulang ke rumah, datang dua lelaki dan meminta saya dan isteri menggores kad diberikan mereka.
“Lelaki itu memberitahu isteri saya bernasib baik kerana memenangi hadiah utama dan menyuruh kami datang ke pejabat syarikat mereka di Senawang,” katanya.
Menurutnya, dia dan isteri pergi ke pejabat dan bertemu salah seorang pekerja syarikat itu untuk menuntut hadiah dimenangi.
“Pekerja itu mendakwa isteri saya akan menerima 29 hadiah utama iaitu katil berserta tilam berjenama, penyaman udara, dapur gas elektrik, periuk, penapis air dan pelbagai lagi hadiah yang keseluruhannya mencecah RM200,000.
“Tapi, mereka minta kami bayar RM100,000 bagi tujuan membayar cukai kerajaan yang dikenakan ke atas barang itu sekiranya kami mahu kesemua hadiah itu,” katanya,
semalam.
Tambahnya, tanpa berfikir panjang, mereka segera ke bank berdekatan bagi mengeluarkan wang untuk mendapatkan hadiah berkenaan.
Malah, katanya, pekerja itu turut menasihatkannya supaya tidak memberitahu kakitangan bank yang duit dikeluarkan untuk membayar cukai kerajaan, sebaliknya untuk ubah suai rumah.
“Saya mengikut apa yang disuruh dan menyerahkan wang kepada mereka sejurus keluar dari bank,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, dia kecewa apabila barang yang dihantar ke rumah tidak seperti dijanjikan.
“Saya berasa ditipu apabila harga barang dihantar itu tidak nampak macam RM200,000.
“Saya menyesal kerana percaya kepada mereka sehingga sanggup menyerahkan duit disimpan sejak 17 tahun dulu,” katanya membuat laporan di balai polis berhampiran.
0 comments:
Post a Comment