Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, December 15, 2014

TEKS UCAPAN BAJET TAHUN 2015 YAB. MENTERI BESAR PAHANG

Displaying 20141215_113804.jpg
YAB Menteri Besar Pahang Membentangkan Bajet 2015
- Foto - Abadi Romeo


Kuantan - Pagi tadi YAB DSDR Menteri Besar Pahang berucap membentangkan Bajet 2015 dalam Sidang Dewan Undangan Negeri Pahang dalam Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-2.

Berikut disiarkan teks ucapan penuh Bajet 2015. Dewan akan bersidang lagi esok.

...................................................................................................................................................................


ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH


Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,

Saya mohon mencadangkan satu Rang Undang-Undang dinamakan :

“Satu Enakmen bagi mengeluarkan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2015 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk maksud-maksud tertentu” dibaca bagi kali kedua.

Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,

PENDAHULUAN 

Dengan lafaz Bismillahir Rahmanir Rahim, saya memanjatkan syukur ke hadrat Allah S.W.T., selawat serta salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W., dengan izin dan kurnia-Nya dapat saya serta Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian hadir Di Dewan Yang Mulia Ini. Sekali lagi dapat saya membentangkan Bajet Negeri Pahang Darul Makmur Tahun 2015 Sempena Persidangan Kali Ketiga, Penggal Kedua, Dewan Undangan Yang Ketiga Belas di pagi yang mulia ini.

Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,

LATAR BELAKANG

Kerajaan Negeri ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak yang telah membentangkan Bajet Negara Tahun 2015 pada 10 Oktober 2014 yang lalu. Bajet yang dibentangkan ini bertemakan “Bajet 2015 : Ekonomi Keperluan Rakyat” .

Bajet tahun 2015 digubal berfokus kepada Ekonomi Keperluan Rakyat dengan tujuh (7) strategi utama iaitu :

  • Memperkukuh Pertumbuhan Ekonomi
  • Memantap Tadbir Urus Fiskal
  • Mengupaya Modal Insan Dan Keusahawanan
  • Memperkasa Agenda Bumiputera
  • Memartabatkan Peranan Wanita
  • Membangun Program Transformasi Belia Negara ; dan 
  • Mensejahterakan Rakyat.

PERTUMBUHAN EKONOMI NEGERI

Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua, 

Saya bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala. kerana Negeri Pahang terus berkembang pesat selari dengan arus globalisasi. Pada tahun 2013, Kerajaan Negeri telah mencatat pelaburan yang diluluskan beserta insentif berjumlah RM7.76 bilion dan mewujudkan 7,000 peluang pekerjaan baru berbentuk mahir dan separuh mahir. 

Pada tahun 2014, KDNK Negeri diunjurkan mencapai RM26.759 bilion dengan kadar pertumbuhan 5.5 peratus berbanding tahun 2013 yang telah mencapai 5.6 peratus. Pendapatan per kapita penduduk dijangka mencecah RM26,750 dengan kadar peningkatan 1.8 peratus berbanding tahun 2013. Selaras dengan pendapatan per kapita yang meningkat, purata pendapatan bulanan isi rumah diunjurkan naik kepada RM4,100 pada tahun 2014 iaitu peningkatan 4 peratus berbanding tahun 2014. 

Kadar kemiskinan (miskin tegar) diunjurkan berkurangan kepada 0.15 peratus dari jumlah penduduk Negeri Pahang. 

Memandangkan keadaan ekonomi negeri yang semakin sihat, kadar pengangguran telah dapat dikurangkan kepada 2.5 peratus (tahun 2014) berbanding 2.6 peratus pada tahun sebelumnya. Bilangan tenaga kerja dijangka meningkat pada kadar 4.6 peratus dan perkembangan ini adalah didorong dengan peluang pekerjaan baru yang ditawarkan di dalam pelbagai sektor di negeri ini.

Menjelang tahun 2015, Ekonomi Negeri terus diterajui oleh sektor perkhidmatan yang akan menyumbang 51 peratus iaitu RM16,632 juta kepada KDNK Negeri. Dalam tempoh Rolling Plan keempat RMK-10 (2014-2015), sebanyak 203 projek dengan nilai pelaburan berjumlah melebihi RM12 bilion telah diluluskan di Negeri Pahang melalui Agensi pelaksana seperti ECER, MIDA, lain-lain Agensi Negeri dan swasta, dijangka akan terus merancakkan pertumbuhan Ekonomi Negeri.

PERUNTUKAN BAJET 2015

Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,

Pada Tahun 2015, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan Bajet sejumlah RM872.42 juta untuk Belanja Mengurus dan Projek Pembangunan. Peruntukan Bajet ini terdiri daripada RM687.33 juta Anggaran Perbelanjaan Mengurus dan Anggaran Program Pembangunan berjumlah RM185.09 juta terdiri daripada RM90.09 juta dari Sumber Negeri dan RM95.00 juta dari pinjaman Kerajaan Persekutuan.

Sejumlah RM687.33 juta adalah terdiri daripada RM509.92 juta, Batas Perbelanjaan Jabatan, RM13.11 juta Dasar Baru (emolumen dan lain-lain seperti kenaikan gaji penjawat awam berdasarkan Pekeliling terbaru) dan RM164.30 juta untuk Bajet One-Off. Bajet One-Off disediakan adalah untuk Bayaran Pinjaman FGV (Felda Global Venture), bayaran gaji dan elaun kepada kakitangan kontrak, pembelian harta modal untuk peralatan kerja dan perabot pejabat, penyelarasan pinjaman ke akaun hasil, caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan, bayaran balik pinjaman kepada Kerajaan Persekutuan dan lain-lain perbelanjaan seperti hospitaliti, tuntutan insuran dan sebagainya. 

Kutipan hasil pada tahun 2015 dianggarkan berjumlah RM879 juta dan Bajet untuk Mengurus dan Pembangunan berjumlah RM872.47 juta. Bajet tahun 2015 adalah Bajet surplus kali yang ke-12 dalam tempoh 21 tahun (1992-2013). Ini menunjukkan Kerajaan Negeri sentiasa berhemah dalam menguruskan kewangan Negeri. Pada tahun 2015 sekali lagi Bajet Negeri Pahang menunjukkan surplus atau lebihan sebanyak RM6.58 juta iaitu ‘surplus’ ke-12 dalam tempoh 21 tahun sejak 1992. 

Anggaran Kutipan Hasil sebanyak RM879 juta itu diperolehi daripada kutipan hasil Tanah dan Galian RM371 juta, Hasil Perhutanan berjumlah RM98 juta, Pemberian Geran daripada Kerajaan Persekutuan berjumlah RM165 juta dan lain-lain Hasil berjumlah RM245 juta. 

FOKUS BAJET NEGERI

Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,

Hasrat Kerajaan Negeri Pahang untuk menjadi negeri maju menjelang tahun 2020 adalah selaras dengan matlamat Kerajaan Pusat. Fokus utama seperti dinyatakan adalah untuk menitik beratkan keseimbangan di antara “capital economy” dan “people economy”.

Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri akan terus mengamalkan belanja berhemah serta mengurangkan defisit fiskal. Tumpuan Bajet 2015 adalah kepada tiga (3) perkara utama iaitu :

Pertama : Memperkukuh pertumbuhan ekonomi dan mempertingkatkan daya saing Negeri.

Kedua : Mensejahterakan Rakyat serta memperkasa Agenda Bumiputera, dan, 

Ketiga : Mengurus Pembangunan Modal Insan dengan mengukuhkan pendidikan. 

Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,

Pertama : MEMPERKUKUHKAN PERTUMBUHAN EKONOMI DAN MEMPERTINGKATKAN DAYA SAING NEGERI

Menyediakan Persekitaran Kondusif Kepada Pelaburan.

Pelaksanaan Program Transformasi Ekonomi (PTE) merupakan antara tonggak utama yang telah melonjakkan Ekonomi Negara dan dijangka terus mencapai matlamat Wawasan 2020. 

Antara Inisiatif Pembaharuan Strategik (IPS) dan Model Ekonomi Baru (MEB) adalah untuk ‘memastikan kebolehmampanan pertumbuhan’ iaitu memulihara sumber asli serta melindungi kepentingan generasi masa depan. 

Negeri Pahang terus menjadi pilihan kepada pelabur-pelabur sebagai destinasi pelaburan utama di negara ini. Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP) telah berjaya menarik komitmen pelaburan bernilai RM10.5 bilion serta akan mewujudkan 8,500 peluang pekerjaan kepada rakyat Negeri Pahang dan Kuantan khasnya. Projek ini dijangka akan beroperasi sepenuhnya dalam masa dua (2) tahun akan datang yang mana sekarang ini masih di dalam peringkat awal pelaksanaan. 

Bagi memastikan Negeri Pahang dapat terus membangunkan perindustrian untuk menarik pelaburan dari dalam dan luar negeri, penyediaan persekitaran kondusif perlulah dilaksanakan. 

Pembangunan sistem Bekalan Air bertujuan menyediakan kemudahan kepada rakyat dan pelabur domestik dan luar negara telah diberi peruntukan yang tinggi dalam tempoh RMK-10 (2011-2015). Kerajaan Negeri telah menyediakan peruntukan sejumlah RM945.5 juta bagi tujuan pembangunan sistem Bekalan Air dan meningkatkan mutu perkhidmatan Bekalan Air dengan sasaran kawasan liputan bekalan sehingga 98 peratus di seluruh Negeri Pahang. Sejumlah RM242.85 juta telah diperuntukkan untuk melaksanakan projek-projek pembangunan Sistem Bekalan Air. Sebanyak 13 projek Bekalan Air yang melibatkan 60 pakej kontrak telah dilaksanakan melibatkan kerja-kerja pembinaan loji rawatan air baru, pembinaan tangki simpanan air, pemasangan paip dan menaiktaraf sistem sedia ada. 

Siapnya projek ini, Bekalan Air di Gebeng dan Cherating akan menjadi lebih stabil dengan gangguan yang minima dan dijangka akan dapat merancakkan lagi pertumbuhan industri pengilangan dan pelancongan. 

Meningkatkan Jaringan Perhubungan.

Pembangunan rangkaian jalan yang lebih luas dan efisien akan menyumbang kepada pembangunan Negeri dan Negara. Terlaksananya Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT 2) dari Kuantan ke Kuala Terengganu menyumbang kepada pertumbuhan di Pantai Timur. Rangkaian jalan raya ke pedalaman, seperti jalan raya menghubungkan Kuala Lipis ke Cameron Highlands dan dari Jerantut ke Sungai Lembing adalah menjadi keutamaan Negeri. Kerajaan Pusat telah meluluskan peruntukan sebanyak RM2.0 juta untuk skop kerja ukur dari Sungai Lembing ke Jerantut dan pelaksanaannya akan dimasukkan di dalam Rancangan Malaysia Ke-11.

Adalah diharapkan dengan siapnya projek naik taraf jalan serta pembinaan jalan baru kelak akan meningkatkan tahap kecekapan sistem perhubungan jalan raya, kelicinan pengaliran trafik dan pengangkutan komoditi dari setempat ke setempat, pengurangan kesesakan lalu lintas dan mengurangkan kadar kemalangan jalan raya. Dengan peningkatan keselamatan serta keselesaan pengguna akan menggalakkan pewujudan pelbagai kegiatan ekonomi di persekitaran yang terlibat dan meningkatkan taraf sosio-ekonomi penduduk. Nilai hartanah juga turut meningkat seiring dengan pelaksanaan projek naik taraf serta pembinaan jalan raya yang baru. 

Kemudahan infrastruktur telekomunikasi bersepadu telah meliputi semua kawasan industri di Negeri Pahang. Bagi kawasan-kawasan industri baru seperti di kawasan Kuantan Hi-Tech Park, Malaysia-China Kuantan Industrial Park (MCKIP), Kuantan Water Front Resort City, kemudahan infrastruktur telekomunikasi secara bersepadu diberi keutamaan untuk memastikan tiada gangguan telekomunikasi di kawasan ini. 

Menggalakkan Industri Kecil Dan Sederhana (PKS).

Sumbangan PKS kepada KDNK adalah tinggi. Di dalam Bajet yang dibentangkan oleh Kerajaan Persekutuan, banyak insentif akan diberi kepada golongan ini. Oleh kerana Negeri Pahang menjadi pengeluar utama hasil pertanian, pengusaha-pengusaha PKS ramai bertumpu di sektor ini. Tiga (3) bidang utama iaitu pertanian, ternakan dan perikanan diberi tumpuan utama pembangunan PKS ini. 

Melalui pembangunan Industri Asas Tani (IAT), kawasan kluster tanaman tanah terbiar, mensasarkan pendapatan usahawan melebihi RM2000/bulan. Pembangunan produk dan kawalan mutu telah turut diberi perhatian. Satu Daerah Satu Industri adalah satu usaha untuk mengetengahkan satu produk bagi setiap satu daerah dan sedang giat dipromosikan. Pada awal RMK-10, jumlah projek IAT melebihi 300 projek seperti mana yang disasarkan dan pengeluaran telah melebihi RM28 juta setahun. Pencapaian sehingga Jun 2014 pengeluaran kasar telah mencapai sebanyak RM23.8 juta dan telah membimbing sebanyak 740 projek. Sehingga kini, sebanyak 310 projek telah mencapai pendapatan melebihi RM2,000/bulan. 

Negeri Pahang yang melibatkan tiga (3) daerah iaitu Kuantan, Pekan dan Rompin merupakan penyumbang pendaratan ikan laut kedua terbesar di Semenanjung Malaysia selepas Negeri Perak. Sebanyak 110,594 tan metrik ikan marin bernilai RM1.28 bilion telah dikeluarkan. Perikanan darat juga diberi tumpuan kepada pengusaha-pengusaha ternakan ikan di sepanjang sungai-sungai di Negeri Pahang. Benih-benih ikan telah dilepaskan supaya pendapatan berterusan nelayan-nelayan sungai di Negeri Pahang terjamin.

Meningkatkan Potensi Industri Pelancongan Dan Warisan.

Negeri Pahang menduduki tempat kedua selepas Kuala Lumpur dengan kemasukan Pelancong seramai 10.6 juta dan menjana pendapatan berjumlah RM7.08 bilion pada tahun 2013. Bilangan kemasukan pelancong dijangka akan meningkat pada tahun 2015 berikutan daripada Tahun Melawat Malaysia (tahun 2014) diikuti dengan “Year of Festival”.

Bagi terus menjadikan Pahang sebagai destinasi pelancongan pilihan, Kerajaan Negeri akan meneruskan galakan pelaburan terutamanya bagi hotel baru bertaraf 4 dan 5 bintang. Langkah ini dapat membantu menyediakan penginapan bertaraf antarabangsa yang mencukupi sekali gus menarik kedatangan pelancong, terutamanya dari kategori mewah dan berbelanja tinggi.

Menyokong usaha ini, Kerajaan Negeri melalui Agensi berwajib akan membantu pihak pelabur yang berminat bagi mengenal pasti kawasan tarikan berpotensi untuk pembangunan yang dinyatakan di atas memandangkan Pahang terkenal antara destinasi pilihan pelancong terutamanya bagi percutian dan kembara alam semula jadi. 

Kerajaan Negeri amat prihatin terhadap pemeliharaan aset dan pengekalan Budaya Warisan yang menjadi satu daripada produk pelancongan di Negeri Pahang. Muzium Negeri di Pekan telah diubah suai dan mendapat peruntukan dari Kerajaan Persekutuan. Muzium Masjid Sultan Abdullah yang terletak bersebelahan dengan Muzium Sultan Ahmad Shah, Pekan sedang dibangunkan untuk dijadikan Muzium ISeni slam dengan mengekalkan ciri-ciri sebagai sebuah masjid. Unsur- unsur binaan serta sejarah Islam di seluruh Negara akan dipamerkan disini untuk tatapan pelancong dari dalam dan luar negara. 

Kedua : MENSEJAHTERA RAKYAT SERTA MEMPERKASA AGENDA BUMIPUTERA

Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,

Perumahan Untuk Rakyat.

Kerajaan Negeri sentiasa mengambil berat golongan berpendapatan rendah dan sederhana untuk memiliki rumah kediaman. Oleh itu, tindakan menyediakan rumah kediaman yang mencukupi, berkualiti dan mampu dimiliki oleh rakyat negeri ini telah dirancang. Kerajaan Negeri telah mensasarkan 15,000 unit rumah mampu milik dalam tempoh lima (5) tahun dari tahun 2013 hingga tahun 2018. Sehingga kini, Kerajaan Negeri telah meluluskan dan melaksanakan pembinaan lebih 17,000 unit rumah merangkumi semua daerah di Negeri Pahang melalui Program Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA) Negeri Pahang. Jumlah sasaran tersebut dijangka akan bertambah berdasarkan sokongan dan permohonan daripada pemaju-pemaju swasta untuk melaksanakan projek PR1MA Pahang yang sangat menggalakkan. 

Kerajaan Negeri juga berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang telah meluluskan pelaksanaan 1,400 unit rumah di bawah Program Perumahan Rakyat DiMiliki (PPRM) dan Rumah Idaman Rakyat yang akan dilaksanakan pada tahun 2015 di beberapa lokasi di Kuantan, Cameron Highlands, Jerantut, Bentong, Maran dan Lipis. Projek-projek ini akan memberi faedah kepada semua golongan rakyat bukan sahaja golongan berpendapatan rendah tetapi juga golongan berpendapatan sederhana yang berpendapatan kurang daripada RM5,000.00 sebulan bagi satu isi rumah. 

Pembangunan Orang Asli.

Masyarakat Orang Asli tidak pernah dipinggirkan. Oleh itu, program meningkatkan kualiti hidup masyarakat Orang Asli bagi membiayai program ke arah meningkatkan kualiti hidup masyarakat Orang Asli diteruskan. Peruntukan khas telah diluluskan oleh Kementerian Kewangan bertujuan membiayai dan meningkatkan kualiti hidup Orang Asli khususnya keluarga miskin dan miskin tegar. 

Anak-anak Orang Asli menerima pendidikan di sekolah rendah dianggarkan berjumlah 12,000 orang dan seramai 5,000 orang di sekolah menengah. Mereka diberikan bantuan galakan pendidikan iaitu bantuan pakaian seragam, mengurangkan yuran pengajian, bantuan makanan, kelas tambahan peperiksaan dan kursus-kursus motivasi.

Kerajaan Negeri akan terus memberi tumpuan untuk membasmi kemiskinan dan mengurangkan kemiskinan tegar di pedalaman, menyusun semula kampung supaya kualiti hidup meningkat, membangunkan minda supaya Orang-orang Asli dapat berintegrasi dengan masyarakat-masyarakat lain dan meningkatkan kualiti hidup masyarakat Orang Asli untuk kehidupan mereka yang lebih baik.  
Meningkatkan Taraf Kesihatan Rakyat.

Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,

Kualiti penjagaan kesihatan perlu dipertingkatkan secara berterusan dan diperkukuhkan selaras dengan kemajuan negara. Matlamat utama adalah memastikan setiap lapisan dari setiap golongan masyarakat mendapat akses kemudahan kesihatan yang disediakan. 

Jaminan Keselamatan Awam.

Secara keseluruhannya, keadaan jenayah indeks di Negeri Pahang berada dalam keadaan terkawal. Namun perasaan ‘fear of crime’ harus dikurangkan ke tahap yang paling minima sekali supaya masyarakat dapat merasai kehadiran Polis DiRaja Malaysia dan tahap kepercayaan masyarakat kepada Polis DiRaja Malaysia akan dapat ditingkatkan. Hubungan baik dengan masyarakat perlu diwujudkan melalui ‘community policing’ dan program-program pencegahan jenayah terutama di kampung dan FELDA. 

Ketiga : MENGURUS PEMBANGUNAN MODAL INSAN DENGAN 

MENGUKUHKAN PENDIDIKAN 

Menentukan kejayaan bagi sesebuah Negeri adalah bergantung kepada sumber manusianya. 

Beberapa langkah telah diambil iaitu : -

Memantapkan Prestasi Sekolah Dan Profesional Perguruan. 

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2015 mensasarkan 100 peratus enrolmen pelajar semua peringkat pendidikan pra sekolah hingga menengah atas. Menjelang tahun 2020, setiap pelajar akan mempunyai kemahiran memimpin, berfikir, berpengetahuan dan menguasai kemahiran dwibahasa. Pelajar-pelajar juga beretika dan mempunyai nilai rohani yang tinggi serta mempunyai identiti nasional sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Pada masa ini di Negeri Pahang terdapat sebanyak 537 buah sekolah rendah dengan jumlah murid seramai 164,960 orang. Sekolah menengah pula berjumlah 194 buah sekolah dengan jumlah murid seramai 279,242 orang. Bilangan guru 26,411 orang. Hasrat Kerajaan untuk mencapai 100 peratus guru siswazah di sekolah menengah dan 50 peratus di sekolah rendah akan dapat dicapai dengan adanya dasar program pensiswazahan melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2015. Melalui dasar ini, semua guru di sekolah menengah yang dilantik mempunyai ijazah dan guru-guru mengajar di sekolah rendah, 50 peratus bilangan akan mempunyai ijazah. Manakala usaha untuk merapatkan jurang di antara Sekolah luar Bandar dengan Bandar akan terus dipergiatkan dengan memastikan projek pembangunan dan naik taraf fizikal Sekolah Luar Bandar diberikan keutamaan. 

Pelajar-pelajar yang memilih untuk meneruskan pengajian di sekolah-sekolah Agama Negeri Pahang, Jabatan Agama Islam Pahang sebagai Agensi utama menggembeling seluruh tenaga bagi memastikan tahap pendidikan Islam dan pendidikan kebangsaan dilaksanakan dengan berkesan dan bermutu bagi melahirkan generasi yang kompetitif. Program Pendidikan Islam Pahang akan terus menekankan pendekatan bersepadu antara dua (2) kurikulum iaitu Kurikulum Nizam Bouth dan Kurikulum Kebangsaan (Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah/KBSM). Adalah diharapkan pelajar-pelajar yang tamat dalam program ini akan dapat menyumbangkan kepada pembangunan ummah. 


PENUTUP

Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,

Akhirnya, saya mengambil kesempatan ini untuk menyampaikan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat, Pegawai-Pegawai Kerajaan, Badan-Badan Berkanun, Pihak-Pihak Berkuasa Tempatan, Pegawai-Pegawai dan Anggota-Anggota Keselamatan, Pemimpin-Pemimpin Masyarakat dan seluruh rakyat Negeri Pahang yang telah mewujudkan kemakmuran serta kesejahteraan hidup di negeri yang kita sayangi ini. 

Marilah kita berdoa dan berharap agar semua yang dirancang akan dapat dilaksanakan dengan jaya dan kestabilan Negeri Pahang akan terus kekal selama-lamanya. 

Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,

Saya mohon mencadangkan.



0 comments:

share2