Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, December 27, 2014

PEKAN: TENGKU ABDULLAH GESA BAIKI SISTEM PERPARITAN


Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah


Pekan - Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah agar infrastruktur perparitan di Pahang dikaji dan ditambah baik bagi mengatasi banjir pada masa akan datang. 

Baginda bertitah, walaupun kaedah itu mungkin memerlukan peruntukan yang agak besar, ia dilihat lebih memberi faedah dalam tempoh waktu panjang.

"Saya berharap kerajaan negeri akan mencari kaedah baru bagi menyelesaikan masalah banjir di Pahang. 

"Antaranya kajian mengenai sistem perparitan, mungkin kita perlukan longkang yang lebih baik di kawasan pedalaman supaya tidak tersumbat dan air dapat mengalir ke sungai. 

"Ia memerlukan peruntukan tetapi saya rasa tidak sebegitu besar berbanding kerugian dialami penduduk setiap kali banjir," titah baginda ketika melawat seramai 362 penduduk yang ditempatkan di pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan Sinar Mutiara, Sungai Miang di sini semalam.

Baginda bertitah, kemudahan pusat pemindahan juga boleh dipertingkatkan agar lebih praktikal dan memberi keselesaan kepada mangsa. 

"Pusat pemindahan banjir boleh dibina baru dengan lebih praktikal seperti berasingan antara lelaki serta perempuan dan bagi orang kelainan paya, juga kita boleh sediakan satu ruangan khas untuk keselesaan mereka," titah baginda.

Dalam pada itu, baginda turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak terutama agensi kerajaan dan penguatkuasaan kerana berusaha gigih dalam usaha menyelamat dan membantu mangsa banjir.

"Semua agensi perlu proaktif untuk menghadapi banjir dan fenomena ini bukan noktah bagi kita kerana keadaan dunia yang kian mencabar dengan pelbagai masalah dan bencana.

"Bagi mangsa terlibat pula, saya berharap agar mereka banyak bersabar, mengetepikan fahaman politik dan sentiasa berdoa kepada Tuhan ketika situasi sukar ini," titah baginda.

0 comments:

share2