Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, December 1, 2014

JERANTUT: MANGSA KEBAKARAN TERIMA BANTUAN


Lau Lee (dua, kiri) menyampaikan sumbangan cek bernilai RM5,000 kepada Saomar (empat, kanan), di Kampung Lata Kasah.


Jerantut - Beban kesusahan seorang warga emas, Saomar Dahaman, 66, sedikit berkurangan apabila dia telah menerima sumbangan kerajaan negeri bernilai RM5,000 untuk menampung membina semula rumahnya yang hangus terbakar, di Kampung Lata Kasah, di sini.

Saomar berkata, keluarganya bersyukur apabila menerima sumbangan kerajaan negeri khususnya berterima kasih kepada Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob kerana prihatin serta menzahirkan nilai kemanusiaan untuk membantu mangsa kebakaran.

“Rumah kayu yang dibina 40 tahun lepas habis musnah dalam kejadian kebakaran pada pukul 4.30 pagi tiga bulan lepas dan saya bersama-sama tiga orang ahli keluarga tinggal sehelai sepinggang. Selepas kejadian ini, kami berusaha mengumpul wang untuk membina kediaman ini semula.

“Sehinggalah hari ini, saya didatangi wakil rakyat (Datuk Lau Lee) untuk menyampaikan sumbangan bantuan kecemasan kerajaan negeri untuk membina semula kediaman ini,” katanya selepas menerima kunjungan dan menerima sumbangan kerajaan negeri dari Adun Damak, Datuk Lau Lee, di Lata Kasah, di sini kelmarin. 

Menurut anak Saomar, Shafik Othman, 26, berkata, ketika kejadian itu api marak begitu pantas sehingga dia gagal menyelamatkan kesemua barang berharga termasuk dokumen penting dan mesin tebu yang dijadikan sebagai sumber pendapatan.

“Hanya kereta sahaja yang dapat diselamatkan setelah saya memecahkan cermin dan menolaknya ke tempat selamat.
“Ini ujian ALLAH kepada kami sekeluarga, namun kami bersyukur kerana tiada nyawa terkorban,” katanya.

Sementara itu, Lau Lee berkata, sumbangan berkenaan merupakan peruntukan dana kecemasan kerajaan negeri yang menzahirkan keprihatinan Menteri Besar Pahang untuk membantu mangsa, iaitu warga emas yang ditimpa musibah.

“Selepas mendapat laporan Ketua Kampung Lata Kasah, saya berusaha mendapatkan bantuan dana kecemasan kerajaan negeri untuk disalurkan kepada keluarga ini bagi menampung pembelian peralatan binaan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga menyampaikan bantuan yang sama kepada dua orang lagi mangsa yang terbabit dengan musibah kebakaran dan ribut di kawasan Damak baru-baru ini.

0 comments:

share2