Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, December 1, 2014

AKTA HASUTAN MAMPU KAWAL EKSTREMIS


Ahmad Shabery Cheek


Kemaman – Pengekalan dan pengukuhan Akta Hasutan diyakini mampu mengawal golongan ekstrem lebih-lebih lagi yang menggunakan medium media sosial.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, langkah itu bagi mempertahankan kesederhanaan dan kemakmuran negara kita ini dan ia selari dengan dasar wasatiyyah atau kesederhanaan ditonjolkan kerajaan.

“Bahaya sekiranya akta ini dihapuskan kerana orang akan bebas untuk mengata, menghina dan mengutuk orang lain tanpa batasan, dan jika tidak dikawal, ia boleh menimbulkan sesuatu yang di luar daripada jangkaan yang boleh menggugat keamanan serta kemakmuran yang ada sekarang ini.

“Keamanan, kemakmuran dan kepentingan awam adalah lebih penting daripada kebebasan melampau mana-mana individu,” katanya menangkis tohmahan yang dilemparkan kononnya Perdana Menteri mengekalkan akta itu kerana tunduk dengan desakan golongan Melayu kanan dari dalam Umno.

Beliau berkata, keputusan Datuk Seri Najib Tun Razak itu bagi memastikan negara terus aman terutama dalam era ledakan media sosial ketika ini.

“Sikap ekstrem atau melampau ini bukan saja dalam bentuk tindakan ganas sahaja, tetapi ia juga dalam bentuk kata-kata yang diluahkan dalam pembesar suara, televisyen dan sebagainya. Kata-kata itu pula tersebar dengan luas dan cepat dalam media sosial,” katanya.

0 comments:

share2