Kuantan - Kegembiraan sebuah keluarga berkelah dan memancing di Sungai Ternai, Kampung Sungai Mas, Sungai Lembing di sini, berakhir tragedi menyayat hati apabila salah seorang daripada mereka maut akibat lemas.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.00 pagi itu, mangsa, Khairul Ikhwan Abdul Latif, 18 dilaporkan beriadah bersama keluarga di kawasan berkenaan.
Pegawai Perhubungan Awam, JBPM Negeri Pahang, Anuar Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam kira-kira jam 11.05 memaklumkan tentang kejadian malang itu.
Menurutnya, pihaknya dengan bantuan agensi keselamatan yang lain bergegas ke lokasi kejadian dan operasi mencari serta menyelamat (SAR) dilancarkan.
“Pada jam 11.26 pagi mayat mangsa ditemui di dasar sungai oleh orang asli yang turut membantu SAR tidak jauh dari lokasi mangsa lemas,” katanya kepada media, semalam.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Balai Polis Sungai Lembing dan seterusnya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat.
“Mangsa dipercayai berasal dari Taman Bukit Goh Perdana Kuantan dan bekerja membantu bapa berniaga di kedai runcit.
“Seramai 19 anggota terdiri daripada bomba, Jabatan Pertahanan Awam dan lain-lain agensi terlibat menjayakan SAR ini dengan kekuatan dua buah jentera,” katanya.
0 comments:
Post a Comment