Kuala Terengganu - Kebanyakan peniaga batik membuat jualan ‘besar’ pada musim cuti sekolah ini dan mampu memperoleh hasil jualan sehingga mencecah RM5,000 dalam masa sehari.
Peniaga batik, Norhaslinda Mohamad, 31, berkata, jualan batik akan meningkat terutama pada cuti umum termasuk pada Sabtu dan Ahad berbanding hari-hari biasa.
“Biasanya kalau cuti sekolah memang jualan akan tinggi dan stok kain pun akan ditambah sebagai persediaan bekalan kerana di sini (Pasar Besar Kedai Payang) sentiasa menjadi tumpuan ramai ketika cuti umum.
“Kebanyakan pelanggan yang datang beli batik di sini adalah dari luar Terengganu, orang tempatan agak kurang sedikit sebab majoriti pembeli dari luar,” katanya ketika ditemui di Haikal Batik, Pasar Besar Kedai Payang, di sini.
Haslinda yang menjalankan perniagaan bersama suaminya, Mohd Majdi Hamzah, 41, berkata, dalam masa sehari dia dapat menjual sehingga 20 helai batik pada musim cuti sekolah berbanding dua atau tiga helai sahaja pada hari biasa.
“Kalau hari biasa dapatlah lebih kurang RM1,000 sehari, tetapi jika cuti umum termasuk Sabtu dan Ahad, untung mencecah RM5,000. Alhamdulillah setiap kali musim cuti, jualan akan meningkat,” katanya.
Kebanyakan kain yang dijual di sini adalah dari Terengganu, termasuk sutera, kemeja, kain batik dan pelikat.
0 comments:
Post a Comment