Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, December 15, 2014

PEKAN: SYIRIK GUNA PELARIS


Zalmah dan Hamzah


Pekan - Zaman yang semakin moden kini gagal membuang tabiat buruk segelintir individu yang memilih untuk meminta bantuan’ daripada jin dan syaitan bagi memuaskan kehendak yang dituruti.

Penggunaan pelaris bagi mengaut keuntungan dalam perniagaan yang dijalankan didorong oleh sifat tamak serta hasad dengki yang ada dalam diri sekali gus menolak kepercayaan terhadap kekuasaan ALLAH SWT yang menentukan rezeki bagi setiap manusia.

Bagi Pengerusi Persatuan Industri Kecil dan Sederhana Wanita (Perisdanita) daerah, Zalmah Abdul Rahman berkata, perbuatan berkenaan adalah syirik dan mereka yang melakukannya jelas tidak mempunyai pegangan iman yang kukuh.

Menurutnya, sikap iri hati terhadap pencapaian individu lain terutama dalam arena perniagaan seharusnya dipandang dari sudut positif dan menjadi pendorong kepada mereka untuk turut sama berjaya.

“Kita seharusnya menjadikan kejayaan orang lain sebagai motivasi untuk kita mengubah diri ke arah yang lebih baik sekali gus memperbetulkan kekurangan sedia ada.

“Tindakan menggunakan pelaris yang nyata menentang hukum agama seharusnya dihindari kerana ia tidak membawa sebarang kebaikan malah mengundang musibah di kemudian hari,” katanya.

Zalmah berkata, kepercayaan terhadap bomoh serta pawang yang menawarkan khidmat pelaris bagi perniagaan yang dijalankan hanyalah satu cara bagi memesongkan akidah serta menyekutukan Allah SWT.

“Mereka yang terlibat dalam penggunaan pelaris merupakan golongan penakut dan ingin mencari jalan mudah bagi mengaut keuntungan dengan menjatuhkan semua pesaingnya,” katanya.

Bekas Pengerusi Persatuan Peniaga Kecil Melayu daerah, Hamzah Ibrahim berkata, tindakan memakai ‘pelaris’ pada perniagaan yang dijalankan terutamanya kedai makan merupakan tindakan individu yang cetek akal.

Menurutnya, ia tidak seharusnya dilakukan oleh peniaga khususnya Melayu beragama Islam kerana nyata perbuatan tersebut bertentangan dengan tuntutan agama dan dimurkai Allah SWT.

0 comments:

share2