Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, December 15, 2014

2,000 SUKARELAWAN DIPERLUKAN


Kota Bharu - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memerlukan 2,000 lagi sukarelawan untuk menyertai program Khidmat Bantu di Rumah pada tahun depan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, setakat ini terdapat 1,841 sukarelawan sedang memberi khidmat melalui program berkenaan kepada golongan yang memerlukan terutama warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) di seluruh negara.

Program ini memberi perkhidmatan kepada warga emas yang daif dan tinggal berseorangan atau dengan keluarga tetapi memerlukan bantuan.

Pekerja sukarela yang dilatih akan membuat lawatan ke rumah warga emas untuk membantu menjalankan urusan harian seperti menjaga kebersihan tempat, menemani warga emas, membeli-belah, membayar bil dan penjagaan kesihatan.

"Kita memerlukan warga Malaysia yang berumur 18 tahun dan ke atas untuk mendaftar menjadi sukarelawan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Apresiasi Menteri KPWKM Bersama Sukarelawan di bawah agensi kementerian itu di sini, hari ini.

Rohani berkata Kementerian Kewangan meluluskan peruntukan berjumlah RM3 juta untuk Program Khidmat Bantu di Rumah pada tahun depan dan ia dijangka dapat memberi manfaat kepada 7,000 warga emas dan OKU.

0 comments:

share2