Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, November 17, 2014

RAUB : SIASAT USAHAWAN BERJAYA ATAU GAGAL



Agensi dan jabatan kerajaan yang ada kaitan dengan koperasi dan keusahawanan disaran membuat penyiasatan dan menjejak peniaga dan usahawan di negeri dalam usaha memastikan jumlah sebenar mereka yang berjaya atau gagal dalam perniagaan.

Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Usahawanan dan Kepenggunaan Negeri Datuk Shahiruddin Ab Moin berkata, ramai peniaga dan usahawan yang diberikan bantuan, namun hanya segelintir sahaja mereka yang tampil dan berjaya, manakala sebilangan lagi hilang tanpa khabar berita.

“Sehubungan itu saya berharap agensi dan jabatan kerajaan yang terbabit terutama Mara, Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (Tekun) dan pelbagai lagi turun padang bagi menyelidik, mengkaji dan mencari mereka terbabit untuk mengetahui kedudukan sebenar.

“Kita tidak boleh membiarkan mereka bersendirian tanpa ambil tahu. Jika pencapaian mereka kurang memberangsangkan, kita kena cari kaedah dan formula supaya mereka bangun dan maju.

“Jika boleh setiap peniaga dan usahawan tersebut diberikan bimbingan sampai mereka berjaya dan menepati sasaran kerajaan untuk melahirkan ramai peniaga dan usahawan berjaya,” katanya.

Shahiruddin juga mahukan pangkalan data peniaga dan usahawan dapat diwujudkan segera sebagai rujukan utama kerajaan bagi membantu golongan terbabit mendapatkan pinjaman yang disediakan agensi kerajaan untuk memajukan lagi perniagaan mereka.

“Hanya dengan pangkalan data tersebut dapat memudahkan kerajaan atau agensinya membuat rujukan, semakan ataupun penilaian sekali gus membantu peniaga dan usahawan terlibat,” katanya

Menurutnya, terdapat lebih 10,000 peniaga dan usahawan berdaftar di negeri ini dengan sebahagian darinya adalah usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) mendapat pelbagai bantuan serta pinjaman menjalankan pelbagai perniagaan membabitkan pinjaman berpuluh jutaan ringgit.

Katanya, tahun lepas sahaja, Mara meluluskan pinjaman lebih RM54 juta kepada peniaga dan usahawan negeri ini, manakala Tekun pula lebih RM35 juta dan ini tidak termasuk lain lain institusi kewangan.

“Peniaga dan usahawan perlu dibimbing dan dibela pada setiap masa bagi mengetahui kejayaan dalam perniagaan hasil bantuan dan pinjaman tersebut.

“Jika perlu, mereka yang berjaya wajar ditambah lagi pinjaman dan bantuan bagi membolehkan mereka melebarkan jaringan perniagaan, manakala yang gagal pula perlu diberikan bimbingan serta tunjuk ajar agar dapat bangkit semula menjalankan perniagaan masing masing,” katanya.

Menurutnya, segala bantuan dan pinjaman tersebut hanya akan menjadi sia-sia sekiranya peniaga dan usahawan tidak manfaatkan pemberian itu, malah sasaran melahirkan usahawan dan peniaga maju berdaya saing akan menemui kegagalan.




0 comments:

share2