Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, November 26, 2014

RAKAMAN CCTV KEPALA DALAM PLASTIK HITAM DIANALISIS


Bukit Mertajam - Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhubung kejadian kepala seorang lelaki ditemui dalam satu bungkusan plastik hitam di hadapan sebuah kedai makan di Taman Impian Ria di sini, petang semalam akan dihantar ke makmal untuk dianalisis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, pihaknya percaya selepas rakaman itu dianalisis, ia dapat membantu siasatan kes berkenaan.

"Polis juga akan mendapatkan beberapa rakaman lain daripada CCTV yang terdapat berhampiran kawasan kejadian bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Dalam kejadian 4.30 petang itu, kepala berkenaan ditemui oleh pemilik kedai makan di Lorong Impian Ria 5 sebelum memaklumkan kepada polis.

Hasil pemeriksaan CCTV yang diperoleh dari premis berkenaan, polis mendapati bungkusan itu ditinggalkan oleh dua lelaki yang menunggang motosikal kira-kira 9.30 malam, Ahad lepas.

Mazlan berkata, polis belum dapat mengenal pasti identiti mangsa dan beliau meminta kerjasama orang ramai yang kehilangan anggota keluarga agar membuat laporan.

"Setakat ini polis belum menahan sesiapa dan siasatan lanjut masih dijalankan, kami harap rakaman (selepas dianalisis) mampu memberi beberapa petunjuk bagi membantu siasatan," katanya.

Beliau berkata, Unit Anjing Pengesan K-9 yang turut menjalankan pemeriksaan di sekitar kawasan kepala itu ditemui, tidak menjumpai badan atau anggota lain milik mangsa.

0 comments:

share2