Baling - Sepasang suami isteri warga emas ditemui mati tengah hari ini dengan kesan kecederaan dipercayai dibunuh di rumah mereka di Taman Desa Bidara, Kuala Ketil di sini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Asisten Komisioner Nashir Ya berkata, mayat pasangan berkenaan ditemui anak angkat lelaki mereka berusia 24 tahun yang baru pulang dari kerja pada 12.20 tengah hari.
Dia bergegas memberitahu jiran mengenai kejadian itu.
Nashir berkata, mayat Zahari Yahya, 66, dan isterinya Salmah Husin, 61, yang merupakan pesara kerajaan ditemui terbaring berasingan dalam rumah mereka.
"Mayat Zahari ditemui di ruang tamu rumah, manakala mayat isterinya ditemui terbaring di ruang bahagian dapur," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.
Beliau berkata, kedua-dua mangsa dipercayai maut akibat tetakan di bahagian tengkok dan belakang.
Nashir berkata polis masih menyiasat motif pembunuhan kerana setakat ini pihaknya mendapati tiada barang berharga yang hilang.
"Polis menahan seorang anak angkat mangsa untuk membantu siasatan dan mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar untuk bedah siasat," katanya.
0 comments:
Post a Comment