Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, November 26, 2014

PERCEPAT PEREMAJAAN UMNO



Najib mahu pendaftaran ahli dalam talian dikuat kuasa segera untuk galak golongan muda, profesional sertai parti.

Datuk Seri Najib Tun Razak mahu proses peremajaan dalam UMNO yang ketika ini masih lagi jauh daripada mencapai tahap diharapkan, diatasi dengan segera seandainya semua pihak dalam parti mahu terus melihat UMNO berkuasa sebagai parti tonggak orang Melayu.

Menurut Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, proses peremajaan yang dituntut Presiden UMNO itu bukan sahaja merangkumi aspek penampilan muka-muka baharu tetapi merangkumi soal pendaftaran bagi menggalakkan lebih ramai golongan muda dan profesional menjadi ahli.

Katanya, Najib juga tidak berselindung ketika memberi teguran dalam aspek tersebut dan serentak dengan itu, beliau selaku Presiden parti mengarahkan agar pendaftaran dalam talian untuk ahli-ahli baharu dikuatkuasakan serta-merta tanpa perlu melalui bahagian sebagaimana sekarang.

“Saya fikir transformasi yang dilakukan adalah untuk membawa lebih ramai orang muda serta profesional menyertai UMNO dan antara kaedahnya melalui pendaftaran dalam talian. Ia satu transformasi yang penting kerana kaedah pendaftaran lama tidak lagi sesuai de­ngan senario politik semasa.

“Kaedah ini (pendaftaran dalam talian) sesuai dengan kumpulan sasar dan saya fikir ia memang ditunggu oleh orang muda serta golongan profesional untuk mereka menyertai UMNO,” katanya selepas Majlis Taklimat Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2014, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, penegasan terhadap agenda bumiputera yang kekal menjadi teras dalam pelaksanaan dasar kerajaan juga diberi keutamaan oleh Najib semasa sesi taklimat tertutup itu sekali gus menepis persepsi serong sesetengah pihak terhadap kepe­mimpinan beliau.

Jelasnya yang juga Menteri Dalam Negeri, penegasan Perdana Menteri itu membuktikan bahawa UMNO selaku parti teras dalam Barisan Nasional (BN) tidak pernah mengetepikan agenda bumiputera dalam melaksanakan dasar kerajaan, sebaliknya aspek penting tersebut sentiasa diperkasakan.

“Beliau mempersembahkan secara terperinci tentang prestasi dan pencapaian yang diperoleh hasil daripada agenda bumiputera yang dilaksanakan kerajaan. Pe­rincian itu adalah bukti nyata bahawa UMNO tidak pernah lari dari tanggungjawabnya dalam memperjuangkan agenda bumiputera,” ujarnya.




0 comments:

share2