Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, November 26, 2014

MUHYIDDIN SELAR DISKRIMINASI SWASTA KEATAS BUMIPUTRA



Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa diadakan semula kajian ke atas model ekonomi negara pasca Dasar Ekonomi Baru (DEB), yang kelihatan semakin menuju ke arah arus kapitalisme global dan ideologi pasaran bebas yang semakin melebarkan jurang ketidaksaksamaan.

Memetik pandangan pemenang hadiah nobel ekonomi Joseph Stiglitz dalam bukunya The Price of Inequality, Muhyiddin menyatakan dasar ekonomi yang berasaskan teori dan ideologi yang salah telah memburukkan keadaan ketidaksaksamaan dalam masyarakat di seluruh dunia, termasuk di Eropah dan Amerika Syarikat.

Dalam ucapan merasmikan Persidangan Tahunan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2014, Muhyiddin menegaskan bahawa sudah tiba masanya menilai semula model ekonomi negara biarpun pencapaian ekonomi negara beberapa tahun ini boleh dibanggakan.

“Saya fikir sudah sampai masanya kita menilai kembali model ekonomi negara kita. Ya, benar pertumbuhan ekonomi negara sebanyak 6.3% adalah antara yang tertinggi di Asia; nilai pelaburan langsung asing sebanyak RM216.5 bilion pada tahun 2013 adalah antara yang terbaik dalam sejarah; kedudukan Malaysia dalam Laporan Dayasaing Global 2014 meningkat daripada nombor 24 ke nombor 20 daripada 148 buah negara. Semua ini menunjukkan bahawa pencapaian ekonomi negara kita amat memberangsangkan dan kita berada pada landasan yang betul untuk menjadi negara maju berpendapatan tinggi pada tahun 2020.”

Muhyiddin menegaskan Presiden UMNO dan beliau tidak akan memejamkan mata dan memekakkan telinga jika kaum Bumiputera yang merupakan 67.4% daripada rakyat negara kita masih berada dalam kumpulan berpendapatan rendah.

“Walaupun sasaran pemilikan ekuiti Bumiputera tidak tercapai, namun Alhamdulillah, DEB telah berjaya mengagihkan kekayaan negara kita secara lebih saksama serta meningkatkan pendapatan kaum Bumiputera dan bukan Bumiputera.

Tuduhan bahawa DEB kononnya satu dasar keterbelakang, menyekat pelaburan, menyebabkan brain drain dan hanya menguntungkan segelintir pihak yang ada kabel politik adalah tidak benar.

Malah Muhyiddin mempertahankan DEB telah memberi manfaat kepada semua kaum.

“Ini termasuk kajian mutakhir Dr Muhammed Abdul Khalid yang diterbitkan di dalam bukunya the Color of Inequality yang membuktikan bahawa DEB telah memberi manfaat kepada semua kaum dari segi pembasmian kemiskinan, peningkatan pendapatan, peluang pekerjaan, pemilikan ekuiti dan lain-lain.”

Timbalan Presiden UMNO turut menyelar diskriminasi sektor swasta kepada kaum bumiputera,


satu kebenaran yang pahit untuk kita akui ialah kaum Bumiputera masih menerima layanan yang tidak saksama dalam sektor swasta. Kajian yang dilakukan oleh Dr Lee Hwok Aun dan Dr. Muhammed Abdul Khalid pada tahun 2012 mendapati bahawa bagi setiap seorang graduan Melayu yang dipanggil temu duga dalam sektor swasta, secara puratanya 5.3 graduan Cina ditemu duga, walaupun mereka mempunyai kelulusan yang sama. Data rasmi juga menunjukkan kadar pengangguran adalah tertinggi dalam kalangan tenaga kerja Bumiputera iaitu 70.3%, termasuk graduan menganggur sebanyak 66.9%. Kita juga sering mendengar keluhan pekerja Bumiputera yang menerima gaji lebih rendah berbanding kaum-kaum lain dalam sektor swasta. Pakar ekonomi Just Faaland, J.R Parkinson dan Rais Saniman membuktikan dalam buku mereka Growth and Ethnic Inequality: Malaysia’s New Economic Policy, bahawa pekerja Bumiputera menerima gaji 20 hingga 40 peratus lebih rendah berbanding bukan Bumiputera.

Muhyiddin menegaskan satu polisi baru pro-Bumiputera perlu diadakan memandangkan kedudukan kedudukan ekonomi orang Melayu hari ini masih meruncing.


Ketidaksaksamaan dalam masyarakat agak menggerunkan kita. Pada masa yang sama, kita berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam meneruskan agenda ekonomi Melayu. Kita bersaing dalam ekonomi yang lebih terbuka. Kita berhadapan dengan fahaman kesamarataan yang menentang sebarang pelaksanaan agenda Melayu. Menerusi pelbagai instrumen perjanjian perdagangan bebas antarabangsa, negara kita didesak supaya jangan lagi mengamalkan dasar untuk melindungi kepentingan kaum Bumiputera.

Kononnya, dasar seperti ini merupakan penghalang kepada pembangunan ekonomi dan merencatkan pasaran. Padahal, dasar ini pernah digunakan oleh negara maju lebih setengah abad sebelum mereka mencapai tahap negara maju.




0 comments:

share2