Petaling Jaya - Seorang pengarah syarikat konsultan didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya terhadap dua pertuduhan melakukan khianat dengan meludah dan membengkokkan pengelap cermin kenderaan serta membuat ugutan jenayah terhadap seorang pembantu peribadi dua hari lalu.
Khoo Kok An, 58, mengaku tidak bersalah dihadapan Majistret Salamiah Salleh.
Bagi pertuduhan pertama, Kok An didakwa melakukan khianat dengan membengkokkan pengelap cermin depan kereta dan meludah ke arah cermin hadapan kereta Perodua Kenari putih milik Alisa Thean Wei Yun, 45.
Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa melakukan ugutan jenayah bagi mendatangkan kegentaran terhadap mangsa yang sama dengan menghalang laluan perjalanan.
Bagi kesalahan itu pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa berlaku di Lebuh Raya Damansara Puchong (LDP) susur keluar Putrajaya atas jejambat Subang Jaya, jam 8 pagi, 17 November 2014.
Timbalan Pendakwa Raya Tan Gin Han menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua kes atas alasan kes itu mendapat perhatian umum.
Bagaimanapun peguam T. Geetha memohon wang jaminan dikurangkan kepada RM1000 kerana kesalahan itu merupakan kesalahan pertama tertuduh.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Disember depan untuk sebutan kes.
0 comments:
Post a Comment