Pejabat Pertanian daerah Temerloh sedia memberikan kerjasama kepada pemilik tanah terbiar untuk memajukan tanah tersebut dengan kerjasama usahawan yang berkemampuan.
Penolong Pegawai Pertanian Temerloh Barat, Zulkifli Yusof berkata, pemilik tanah terbiar yang berkeluasan sekurang-kurangnya 0.4 hektar bersambungan atau bertaburan boleh majukan tanah mereka dengan kerjasama pihak pemaju yang mempunyai modal.
Menurutnya, pemilik tanah tersebut sama ada tanah darat atau tanah paya yang tidak diusahakan sejak lebih tiga tahun dikategorikan sebagai tanah terbiar boleh menyertai program pembangunan tanah terbiar yang dijalankan jabatan.
“Kami telah mengatur pertemuan antara usahawan yang mempunyai modal dan pemilik tanah ini di dua mukim sebelum ini dan akan meneruskan program yang sama iaitu taklimat dan menemukan pemilik dan usahawan ini sehingga 19 November ini.
“Setakat ini kami menerima maklum balas yang sangat menggalakkan daripada usahawan dan pemilik tanah yang berhasrat memajukan tanah mereka,” katanya pada program itu di Kampung Chatin, di sini.
Turut hadir Penghulu Mukim Mentakab Khaidhir Azly Daharuddin dan ketua-ketua kampung berhampiran.
Zulkifli berkata, kaedah yang lebih baik ialah program tersebut dilaksanakan melalui kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan pemilik tanah terbiar.
Beliau berkata, jabatan telah mendapatkan data berkenaan tanah terbiar dan sekiranya JKKK di daerah Temerloh mempunyai maklumat dan berminat dengan program ini boleh berhubung dengan pejabat pertanian daerah di talian 09-2901200.
Menurutnya, pejabat pertanian Temerloh sangat mengalu-alukan penglibatan pemilik tanah terbiar dalam usaha mengurangkan jumlah tanah terbiar yang tidak diusahakan di daerah ini.
0 comments:
Post a Comment