Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, November 18, 2014

MEMAKNAKAN PERBAHASAN, PAU2014 - PEMBAHAS PERLU HADAPI REALITI POLITIK SEMASA



Sudah tiba masanya Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2014 yang bakal berlangsung minggu hadapan mencipta sejarah baru, mengubah lanskap perbahasan politik tradisional dalam mencari realiti politik semasa.

PAU 2014 harus berubah dari menjadi medan politik menonjol diri tidak bertempat atau menjadi pejuang Melayu tidak berlandasan. Saban tahun kita berhadapan dengan retorik-retorik berapi yang seronok didengar namun cacat politik kebangsaan dan hilang warna kesederhanaan yang telah dipraktikkan sejak lebih 65 tahun lalu.

Sudah tiba masanya perwakilan UMNO membezakan antara berucap atas pentas Perhimpunan Agung UMNO, dengan ucapan di peringkat cawangan mahupun perbahasan di UMNO Bahagian. Jauh sekali menjadikan perbahasan ini seperti cakap-cakap di kedai kopi, atau gosip politik di lobi-lobi hotel.

Realitinya, sejak dahulu perbahasan dalam PAU merupakan satu persidangan luar biasa dan seumpama satu temasya pemikiran terbesar Malaysia dalam konteks tumpuan dan perhatian yang diberikan oleh rakyat negara ini.

Sama ada penyokong UMNO, penyokong Barisan Nasional, rakyat biasa mahu pun parti lawan sentiasa melihat penuh minat perhimpunan agung UMNO. Mereka melihat PAU merupakan satu medan perbahasan yang akan menentukan hala tuju polisi negara dalam masa beberapa tahun akan datang.

Malangnya sejak beberapa tahun kebelakangan ini, PAU menjadi hambar apabila perbahasan dan usul yang dikemukakan lebih bersifat politik sempit dan tidak berpijak di bumi nyata sehingga menyebabkan ia tidak dapat dilaksanakan.

Malahan bila ada yang dilaksanakan pun ia dibuat oleh kerajaan setelah lama diusulkan sehingga rakyat tidak lagi melihat ia merupakan hasil perjuangan UMNO.

Difahamkan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussien, yang bertanggungjawab menguruskan usul-usul dari bahagian telah menubuhkan sekretariat dan sidang meja bulat bagi meneliti kesemua usul-usul.

Sungguhpun terdapat kritikan kewujudan perbincangan meja bulat ini cuba menghakiskan kebebasan perbahasan, namun saya fikir ia adalah sebaliknya. Kewujudan meja bulat ini bertujuan memberi panduan dan pandangan mengenai hala tuju perbahasan agar ia menjadi satu perbahasan yang berguna untuk parti dan barisan Nasional.

Dalam negara yang pelbagai kaum dan agama, perbahasan di peringkat nasional harus mengambil kira sensitiviti dan perasaan orang lain di luar UMNO. Dalam masa yang sama kita juga tidak mahu para pembahas memuji dan memuja pemimpin sehingga pendengar pun naik loya dan geli.

Dengan kata lain, sidang meja bula ini bertujuan mendorong agar pembahasa membahas isu dalam keadaan wassatiyah dan penuh kesederhanaan.

Sekretariat Usul bukan sahaja perlu memberi input kepada pembahas tetapi juga wajib memastikan para menteri yang terbabit dengan usul pendidikan, politik, ekonomi dan agama menjawab isu-isu dan usul yang dibangkitkan semasa ucapan penggulungan.

Akar umbi akan kecewa jika janji tidak dikotakan. Lebih baik berterus terang dari awal. Jika boleh katakan boleh, jika tidak katakan tidak. Ini bukan masa bermain retorik politik, namun janji dalam perhimpunan dilupakan sahaja.

Kita tidak mahu menjadi seperti tahun lalu, janji tinggal janji, sehingga menjelang perhimpunan kali ini ada yang dijanjikan langsung tidak nampak bayang.

Dalam masa yang sama saya fikir, adalah wajar pasukan sidang meja bulat ini juga berpijak di bumi nyata dengan mencari titik tengah antara meluahkan pandangan akar umbi dengan menjaga kepentingan politik nasional UMNO.

Dalam keadaan mahu melihat UMNO terus mewakili suara akar umbi, suara akar umbi itu sendiri harus mengambil kira kepentingan strategik politik Melayu, UMNO dan Barisan Nasional.

Tiada guna kita menang sorak di Perhimpunan Agung UMNO tetapi akhirnya kuasa yang ada tergadai begitu sahaja. Biarlah, ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya.



0 comments:

share2