HANOI - Ekspedisi 'Road to Fansipan' oleh kumpulan pengamal media Pahang dalam misi memacak bendera Pahang di dasar Teluk Halong semalam akhirnya berjaya selepas menempuh arus dasar yang kuat dan jarak penglihatan terhad.
Pada awalnya, sebanyak 10 peserta ekspedisi termasuk seorang wanita telah ditugaskan untuk menjayakan misi khas tersebut, namun hanya tujuh sahaja yang dapat melakukannya berikutan kekangan peralatan yang disediakan.
Presiden Kelab Media Pahang, Niz Naizi Husien, 55, berkata walaupun menghadapi kesukaran, namun beliau bersyukur kerana dapat menjayakan misi dengan hasil kerjasama berpasukan selepas berusaha beberapa kali.
"Keadaan arus di dalam air di Teluk Halong semalam amat kuat menyebabkan kita terpaksa beberapa kali melakukan selaman.
"Jarak penglihatan di dalam air juga hanya 0.5 meter menyebabkan kita tidak dapat melihat keadaan di dasar itu.
"Selain itu kita juga berhadapan dengan masalah keadaan peralatan menyelam yang kurang memuaskan, namun saya bangga kumpulan ini tetap dapat menyempurnakan misi itu kira-kira 4.45 petang semalam ," katanya.
Sementara itu, Mohd Sofiyyuddin Sarani, 29, jurukamera TV3 yang ditugaskan untuk merakamkan detik tersebut di dasar laut berkata, ia merupakan antara tugasan yang mencabar.
"Tugas merakam gambar dengan arus di bawah air yang kuat, ditambah jarak penglihatan terhad bukan mudah menyebabkan detik bersejarah sewaktu peserta ekspedisi menurunkan bendera ke dalaman air 10.5 meter tidak dapat dirakamkan," katanya.
Selain Nik Naizi dan Mohd Sofiyyuddin, turut menyempurnakan misi tersebut ialah Ketua Ekspedisi Fazli Ahmad, 41; Mohd Faizol Abdul Aziz, 34; Zainal Abidin Shamsudin, 53; Mohammad Fazrol Md Nasir, 24 dan Noor Shamsiah Mohamad, 38.
Ekspedisi, anjuran media Pahang dengan sokongan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, adalah usaha menerapkan amalan hidup sihat dalam kalangan pengamal media.
Ekspedisi selama lapan hari itu disertai oleh 25 anggota media dari pelbagai organisasi media dan ekspedisi itu turut mendapat tajaan daripada Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.
Antara anggota ekspedisi adalah daripada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), TV3, Radio Televisyen Malaysia (RTM), Berita Harian, News Straits Times (NST), Kosmo, China Press, Rakyat Post dan Nanyang Siang Pau.
0 comments:
Post a Comment