Beberapa penghuni bilik sewa di tingkat atas sebuah bangunan kedai di Lorong Taman Tas 3 dekat sini panik apabila mereka dikejutkan dengan bau asap akibat kebakaran sebuah motosikal awal pagi semalam.
Tiga penghuni nyaris terperangkap apabila gagal keluar selepas api marak membakar motosikal yang diletakkan di hadapan pintu tingkat bawah.
Bagaimanapun tindakan pantas mereka berjaya memadam kebakaran motosikal tersebut menggunakan simbahan air sekali gus menyelamatkan bangunan kedai terbabit daripada turut menjadi mangsa kebakaran.
Seorang penghuni berketurunan Orang Asli dikenali sebagai Wati, 19, berkata, dia terjaga dari tidur kira-kira jam 4 pagi selepas terdengar bunyi kaca pecah disusuli bau asap.
Menurutnya, dia segera bangunan kerana bimbang bangunan itu terbakar bagaimanapun hasratnya untuk turun terhalang selepas mendapati ada api menghalang pintu keluar di tingkat bawah.
“Kami berjaya keluar selepas api dipadamkan bagaimanapun motosikal yang gagal dikenal pasti pemiliknya musnah sama sekali,” katanya ketika ditemui di lokasi, semalam.
Sementara itu, bagi seorang peniaga restoran, Lim, 50-an berkata, dia ternampak ada individu tidak dikenali dipercayai penagih dadah berlegar-legar di kawasan itu sebelum kejadian.
“Sejak kebelakangan ini, kami rasa kurang selamat ekoran kehadiran penagih berlegar-legar di kawasan ini setiap malam.
“Kami minta pihak polis meningkatkan rondaan di kawasan ini bagi mengelak kaki liuma kedai dijadikan tempat lepak oleh penagih pada waktu malam,” katanya.
0 comments:
Post a Comment