Kerajaan negeri tidak akan menurunkan kadar bayaran lesen penempatan sementara (TOL) kepada penduduk di sekitar Tasik Ringlet, Lembah Bertam, Cameron Highlands jika mereka masih gagal menjaga kebersihan di situ.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, pihaknya sudah berjumpa wakil penanam sayur dan memaklumkan perkara itu selepas ada penduduk yang meminta kerajaan menurunkan TOL.
“Mereka ada mohon untuk kurangkan kadar bayaran sewa itu tetapi kita tidak berhasrat menurunkan harganya selagi Tasik Ringlet masih dipenuhi sampah sarap dan sisa buangan,” katanya.
Adnan turut meminta penanam sayur bekerjasama dengan kerajaan negeri dan tidak merosakkan alam sekitar dan menjaga kebersihan sungai.
“Kalau sungai pun tercemar, kita juga yang nak minum air tu,” katanya.
Bercakap mengenai warga asing yang dikatakan membanjiri Cameron Highlands, beliau enggan mengulas lanjut kerana mahu mendapatkan penjelasan daripada Pejabat Daerah Cameron Highlands terlebih dahulu.
“Saya perlu tahu secara terperinci dan selidik dahulu sebelum mengambil sebarang tindakan. Kalau betul, tak apa, kalau tak betul?,” katanya.
0 comments:
Post a Comment