Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, November 3, 2014

KUANTAN: DUA LAGI MAYAT MANGSA BOT KARAM DITEMUI


Mayat dipercayai salah seorang krew bot tunda yang karam yang dibawa ke Jeti Polis Marin, Padang Lalang diangkat dari bot sebelum di bawa ke HTAA menggunakan kenderaan polis bagi urusan bedah siasat.


Kuantan - Dua mayat dipercayai mangsa bot tunda yang karam selepas dilanggar kapal tangki minyak berhampiran perairan Kuantan, Khamis lalu ditemui terapung di dua lokasi berasingan, pagi semalam.

Mayat pertama yang belum dikenal pasti identitinya ditemui nelayan kira-kira jam 7.30 pagi di kawasan kira-kira 11 batu nautika dari Tanjung Gelang dekat sini sebelum diserahkan kepada pihak Maritim Malaysia dan dibawa ke Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TUDM).

Manakala mayat kedua dijumpai anggota bot ronda PA52 Polis Marin kira-kira jam 10 pagi di lokasi 11.5 batu nautika dari Tanjung Gelang, kira-kira dua batu nautika dari lokasi kejadian sebelum dibawa ke Jeti Polis Marin di Padang Lalang di sini.

Kedua-dua mayat dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat.

Komander Polis Marin Wilayah Tiga, Asisten Komisioner Azmi Ibrahim berkata, selepas menerima maklumat berhubung penemuan mayat dipercayai seorang daripada mangsa bot karam itu, pihaknya membawa mangsa yang terselamat, Martins Sembiring, 30, ke lokasi bagi tujuan pengecaman.

Menurutnya, mayat mangsa yang ditemui terapung lengkap berpakaian itu dicamkan sebagai salah seorang krew bot dikenali sebagai ewan, 26 yang bertugas sebagai jurutera kedua bot tunda terbabit.

“Identiti mayat itu juga disahkan bapa mertuanya yang berada di jeti Polis Marin Padang Lalang selepas dihubungi bagaimana pun kita masih menunggu laporan keputusan bedah siasat untuk mengenal pasti identiti sebenar mayat yang dijumpai hari ini (semalam),” katanya.

Azmi berkata, operasi pencarian yang dijalankan pihaknya sejak 30 Oktober lalu membabitkan dua pegawai dan 22 anggota termasuk enam penyelam menggunakan tiga buah bot.
“Sehingga semalam (kelmarin) kita telah memperluaskan kawasan pencarian sehingga 32 batu nautika dari kawasan pantai.

“Sepanjang tempoh itu juga, sebanyak enam kali selaman dilakukan di lokasi kejadian pelanggaran tersebut bagi mengesan bangkai bot bagaimanapun setakat ini ia gagal ditemui,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan meneruskan operasi pencarian sehingga kesemua krew bot terbabit dijumpai bersama pihak Maritim Malaysia.

“Setakat ini juga pihak berkuasa gagal mengesan identiti kapal tangki yang dilaporkan terlibat dalam pelanggaran tersebut,” katanya.

Kelmarin, satu mayat dipercayai salah seorang krew kapal bot terbabit ditemui terapung kira-kira jam 1.30 tengah hari di lokasi 9.1 batu nautika dari Tanjung Gelang, dekat sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, bot tunda YTC M5 yang dalam perjalanan dari Kuala Terengganu ke Kuala Pahang dilanggar sebuah kapal tangki minyak sehingga menyebabkan enam anak kapalnya hilang manakala seorang berjaya diselamatkan.

0 comments:

share2