Tindakan seorang suami memukul isterinya yang ketika itu hamil lapan bulan mengheretnya ke penjara selama lima hari dan denda RM1,000 selepas dia mengaku bersalah dalam Mahkamah Majistret Kuantan semalam atas tuduhan tersebut.
Tertuduh, Muhammad Rizan Harun, 35, dari Kampung Sri Damai, di sini mengaku bersalah di hadapan Majistret Noor Zaihan Mohamad Ali sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada isterinya yang berusia 33 tahun dengan menampar pipi sehingga menyebabkan wanita itu mengalami kesakitan di bahagian kepala.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di rumah mereka di Kampung Sri Damai, dekat sini, jam 11.15 pagi, 16 November lalu.
Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seskyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Haryati Abdullah.
Menjawab soalan mahkamah berhubung tindakannya itu, tertuduh berkata, kejadian itu pertama kali berlaku dan mendakwa isterinya sengaja menokok tambah cerita ketika membuat laporan polis.
Bagaimanapun selepas ditanya Noor Zaihan berulang kali, tertuduh akhirnya mengaku dia pernah memukul isterinya beberapa kali sebelum ini.
Dalam rayuannya, tertuduh merayu agar mahkamah menjatuhkan hukuman ringan terhadapnya memandangkan dia terpaksa bekerja untuk menanggung tiga anak berusia 6 hingga 14 tahun dengan pendapatan RM800 sebagai tukang cuci di sebuah syarikat pengurusan sisa pepejal di sini.
Dia juga mengakui sudah insaf dan menyesal atas perbuatan itu dan berjanji tidak akan mengulangi pada masa akan datang.
Noor Zaihan menegur perbuatan lelaki itu kerana baginya, sebagai seorang suami tertuduh tidak sepatutnya mengasari dan memukul isteri sebaliknya wanita itu perlu dilindungi serta disayangi.
“Saya tidak pasti masalah sebenar yang kamu berdua hadapi, namun walau apa pun alasannya kamu tidak boleh memukul isteri apatah lagi dia sedang hamil lapan bulan, Katanya sebelum menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh.
Noor Zaihan juga mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tambahan selama sebulan jika gagal menjelaskan denda.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh dan pengadu berselisihan faham sehingga berlaku pertengkaran.
Ekoran kejadian, pengadu keluar rumah dan pergi ke rumah ibu bapanya untuk menenangkan diri.
Pengadu pulang semua ke rumah pada lewat pagi sebelum terserempak dengan tertuduh dan ketika itu dia ditampar di bahagian pipi sehingga mengalami kesakitan di kepala.
Tidak tahan dengan keadaan itu pengadu kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Jaya Gading sebelum polis menahan tertuduh untuk siasatan lanjut.
0 comments:
Post a Comment