(Teks ini merupakan draf ucapan yang mungkin berbeza sedikit dari ucapan sebenar Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia)
UCAPAN DASAR
KHAIRY JAMALUDDIN ABU BAKAR
KETUA PERGERAKAN PEMUDA UMNO MALAYSIA
SEMPENA PERHIMPUNAN AGUNG
PERGERAKAN PEMUDA UMNO MALAYSIA 2014
26 NOVEMBER 2014, 8.30 PAGI, DEWAN TUN HUSSEIN ONN, PWTC
“MELAYU”
Yang Berbahagia Dato’ Pengerusi Tetap
Yang Berbahagia Saudara Timbalan Pengerusi Tetap
Wakil-wakil Majlis Tertinggi
Yang Berbahagia Saudara Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia
Ahli-ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia
Ketua-ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri
Para Perwakilan dan Pemerhati
Perahu dikatup dengan daun
Penuh sarat berisi lokan
Kalau hidup seratus tahun
Sepanjang hayat Pemuda berkorban
Sampan kotak mengapa dikayuh
Hendak belayar ke tanah seberang
Patah kepak bertongkat paruh
Pantang menyerah di tengah gelanggang
1) Berdiri saya di hadapan anda pagi ini – menyirat semula nirmala perjuangan parti, menginsafi amanah yang diberi, mensyukuri rentetan pengorbanan tokoh-tokoh UMNO sebelum ini.
2) Alhamdullilah, mari kita zahirkan rasa syukur ke hadrat Tuhan Rabbul Izzati, yang maha pengampun lagi maha mengasihani. Kerana dengan zat limpah kurnia yang diberi, seperti tradisi tahun-tahun sebelumnya, dapat kita berkumpul semula dalam dewan yang gemilang ini. Juga selawat dan salam ke atas junjungan kita Nabi Muhammad S.A.W. dan para sahabat.
3) Sebagai sebuah organisasi, kita berhimpun bukan sekadar memenuhi keperluan perlembagaan tetapi lebih daripada itu – bagi menyusun strategi dan agenda jemaah, mengangkat martabat bangsa dan pertiwi. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT di dalam Surah Al-Maidah ayat 2:
Yang bermaksud: “… dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).”
Sidang perwakilan sekalian,
4) Jika diperhalusi, kebelakangan ini banyak perkara telah terjadi, yang telah mendorong kita untuk mendalami dan menyoal semula identiti kita. Lalu identiti Melayu yang bagaimana harus kita bawa untuk menongkah arus, melawan gelombang serba tak tentu haluan ini?
5) Saya teringat pesan para cendekiawan: jangan malu jadi orang berbangsa. Dalam konteks kita pagi ini, jangan malu jadi Melayu. Tak perlu rasa segan bila bercakap tentang halatuju dan masa depan bangsa sendiri. Dan yang paling penting, tak perlu minta maaf dengan orang lain kerana ini tentang kita, kalau bukan diri sendiri yang membela bangsa, nak harapkan siapa lagi?
6) Tapi jadi orang berbangsa besar tanggungjawabnya. Bukan setakat mempertahankan perjuangan, meluaskan legasi atau menyambung tradisi semata. Orang berbangsa yang bermaruah akan sentiasa melihat cerminan diri di mata masyarakat. Orang berbangsa yang progresif sentiasa tahu ufuk halatuju masing-masing.
7) Kita sebagai orang muda dalam parti wajib menunjukkan kepada setiap yang meragui, bahawa kita memilih harapan bukan kemusnahan. Kita mahu menyangkal dengan adat, berdebat dengan ilmu, menyanggah dengan adil. Jika itu langgam kita, insyaAllah, Pemuda UMNO akan mendokong etos bangsa Melayu yang benar-benar merdeka!
Sidang perwakilan sekalian,
8) Sudah lama kita sepakat perlu meremajakan semula UMNO ini. Atas kesinambungan yang sama, bila bercakap soal meremajakan, soal menarik minat orang muda, kita tahu Pemuda lah benteng paling hadapan parti. Merujuk kepada kata-kata keramat Presiden Parti semasa Konvensyen UMNO di Johor: berilah ruang dan peluang untuk orang muda. Dan seperti yang saya kata di Town Hall Pemuda baru-baru ini, orang muda tidak sepatutnya dilihat sebagai ancaman malah sebagai harapan.
9) Namun sejarah dan tradisi tak pernah menipu, sejak dari awal penubuhan sayap Pemuda UMNO hingga ke hari ini, kita kekal menjadi pemangkin utama dalam menarik minat orang muda untuk menyertai parti kita. Hari berganti bulan, bulan berganti tahun, tahun berganti dekad… Pemuda UMNO terus mara jadi obor menyuluh denai perubahan untuk generasi muda. Cuma gaya mungkin berbeza, bergantung dengan keadaan dan trend semasa.
10) Lewat ini, Pemuda UMNO banyak memberi fokus dengan membawa perubahan hakiki kepada orang muda melalui politik khidmat bakti. Kita juga menitikberatkan perihal isu yang benar-benar relevan dalam kehidupan mereka, agar perjuangan lebih bersasar, khidmat bakti boleh diperbesar.
11) Cuma kadang-kadang yang tak sedapnya, keikhlasan kita diragu, dicela, dicatu. Bukan dari orang luar, tapi dari parti kita sendiri. Namun begitu, Pemuda UMNO ini bak kata orang putih, an easy punching bag. Kalau ada apa-apa yang tak kena dalam parti, ada yang tersalah, terkhilaf bila buat kerja, mesti kita kena dulu. Bila tak dipilih jadi calon pilihan raya, kita dituduh akan sabotaj parti. Padahal kita ini juga yang bersengkang mata, bergaul bahaya berdepan dengan lawan di malam buta. Ini bukan cerita lama, ini cerita selalu dan baru!
12) Di Pengkalan Kubor, kita dituduh akan mensabotaj kempen bila calon terpilih bukan dari kalangan Pemuda. Laporan diberi konon Pemuda sengaja tak gerak jentera. Pemuda boikot. Pemuda protes. Laporan yang kononnya sahih. Tapi keputusan undi terbukti sebaliknya. Demi rasa cinta tanpa sempadan terhadap parti, Pemuda kekal komited melakar semangat perjuangan yang sebenar. Pendek kata, kita berkerja setulus rasa, kita buktikan pada semua! Pemuda Tumpat dan Kelantan benar-benar membuktikan kita tak pernah tersasar dalam memberi apa yang terbaik untuk parti. Walau apa pun tohmahan, Pemuda melaksanakan tugas sebab bagi kita bukan kepentingan peribadi yang penting tetapi perjuangan. Berbaloi penat lelah mereka bila undi orang muda meningkat naik. Dan begitu juga saya ucapkan tahniah kepada Pemuda Teluk Intan sebab berjaya membantu BN menawan semula kerusi Parlimen yang kita kalah sebelum ini.
13) Ada yang kata Pemuda sekarang memang berbakti kepada orang muda, banyak idea, tetapi tidak lagi bertaring seperti dahulu. Tak menjadi kumpulan pendesak, tak gah membenteng parti, tak lantang dalam berjuang. Saya nak bagi tahu, Pemuda tidak lupa asal usul. Bila tiba masa untuk lawan kita lawan! Berani kata begitu pada Pemuda Wilayah, pada Pemuda Pulau Pinang? Bila maruah UMNO dicabar, bila DAP panggil parti kita celaka, mereka inilah yang di depan sekali mengambil risiko ditangkap polis, didakwa di mahkamah – atas nama mempertahankan martabat parti.
14) Saya tak pernah ragu walau sekelumit bahawa jiwa Pemuda kental, semangat kita menyala-nyala tak kira masa, kudrat kita melangit demi parti tercinta – sayang bila tiba masa, kita tercorot di belakang tak diberi perhatian. Ralat sungguh rasa di hati.
15) Walaupun ralat, Pemuda tak pernah membenarkan ia melarat jadi dendam dan amarah yang boleh memusnahkan parti. Kita pegang pesanan Saidina Ali Abu Talib: sifat pemarah itu musuh utama akal. Tapi ingatlah kawan, proses peremajaan parti tak boleh disudutkan dari aspek retorik semata – itu sebenarnya pantang perjuangan. Peremajaan semula parti harus ditonggak setinggi mungkin di pentas realiti. Agar semua boleh lihat, agar semua faham kita benar-benar mahu meremajakan semula UMNO.
16) Anak muda tidak melihat kepada Pemuda semata, mereka meneliti parti secara keseluruhan. Jika mereka punyai persepsi UMNO ini tidak membuka ruang untuk orang muda, mana mungkin orang muda nak masuk parti kita? Seterusnya, identiti parti kita ini macam mana? Mudakah layaknya di mata orang ramai? Adakah kita ini rasa parti kita muda dan kontemporari di mata mereka? Anda dan saya tahu jawapannya.
17) Walaupun kita tak kurang sokongan orang muda, kenapa masih ada anak muda yang sokong parti lawan – lebih membimbangkan ada pula yang masuk parti cauvinis itu? Jawapannya mudah, sebab parti lawan dilihat beri peluang pada orang muda. Setahun jagung, dah boleh jadi calon. Kalau kita tengok di Dewan Rakyat muka-muka muda lebih ramai di belah sana berbanding dengan kita. Keadaan ini membentuk persepsi bahawa parti lawan lebih terbuka untuk angkat orang muda.
18) Kalau belah lawan begitu rentaknya, mana wow factor kita? Tak cukupkah cerdik pandai, orator hebat, pendebat ulung di kalangan orang muda dalam UMNO untuk diangkat? Atau kita masih lagi melihat orang muda sebagai budak suruhan penaik bendera, mengusung pengundi dengan motor setiap kali pilihan raya? 50 tahun dulu mungkin, tapi dunia dan perabadan sudah jauh berubah. Kalau kita tak berubah, alamatnya kita akan ‘diubah’ dengan kuasa peti undi orang muda.
19) Jika kita lalui semula jalan kenangan, UMNO sebenarnya parti orang muda. Suatu ketika dulu barisan pimpinan kita sarat dengan tenaga muda di peringkat tertinggi.
• Tan Sri Rais Yatim jadi Menteri Besar Negeri Sembilan di usia 36 tahun;
• Tan Sri Shahrir Samad jadi Timbalan Menteri Kabinet di usia 31 tahun, jadi Menteri Wilayah Persekutuan pada umur 34 tahun;
• Tan Sri Isa Samad jadi Menteri Besar Negeri Sembilan pada usia 33 tahun;
• Tan Sri Rahim Tamby Chik pun sama, jadi Ketua Menteri Melaka di usia 32 tahun juga.
• Tun Musa Hitam jadi pemangku Setiausaha Agung UMNO di umur 32 tahun, jadi menteri kabinet bila masuk 40;
• Tan Sri Annuar Musa, di usia 34 tahun, sudah jadi menteri kabinet;
• Tengku Razaleigh Hamzah Pengerusi Petronas umur 35 tahun, menteri kewangan 39 tahun .
• Begitu juga dengan bapa kepada Presiden kita, Allahyarham Tun Razak yang diangkat jadi Menteri Besar Pahang pada umur 33 tahun, jadi Timbalan Perdana Menteri usia 35 tahun;
Sayang sekarang kita membelakangi masa. Hanya saya seorang – Ketua Pemuda UMNO Malaysia sahaja – satu-satunya menteri kabinet di bawah usia 40 tahun. Saya tak mahu begitu, tak boleh saya seorang sahaja yang lepas – itupun baru lepas – saya mahu saudara-saudara dan ramai lagi orang muda sebaya kita ada bersama saya! Barulah ada transformasi.
20) Bukan kita tamak mengejar pangkat dan kedudukan, namun kita tidak boleh menafikan peralihan generasi dan anjakan demografi yang sedang berlaku di hadapan mata kita. Perahu sudah di air, pendayung sudah di tangan. Tunggu apa lagi kongsilah kemudi itu dengan kami orang muda. Segerakan gandingan orang berpengalaman dengan anak muda untuk menentukan kegemilangan bangsa. Kami mahu suara orang muda di segenap ceruk pimpinan negara. Pemuda di Dewan Rakyat, Pemuda di Dewan Undangan Negeri, Pemuda dalam GLC, Pemuda jadi Timbalan Menteri dan lebih ramai Pemuda jadi Menteri!
Sidang perwakilan sekalian,
21) Menyisir waktu, hakikat tak tersangkal kita ini pelbagai. Malaysia identitinya majmuk; agama, budaya dan cara hidup kita berbeza. Lantaran bukan senang untuk sampai ke titik ini, maha berliku jalan perpaduan yang dirintis, dibaja, ditara sejak pra kemerdekaan hinggalah sekarang.
22) Keamanan kita hari ini sebenarnya ditopang kemampuan dalam mengimbangi masyarakat berbilang kaum. Pancang kemampuan itu pula bermula dengan Kontrak Sosial yang membentuk negara 57 tahun lampau.
23) Tatkala itu, bapa-bapa kemerdekaan negara bertegang urat, bertaruh tulang-temulang dalam menentukan formula terbaik untuk semua kaum, melalui kontrak sosial. Getir lagi payah untuk mereka mencari jalan tengah yang adil tanpa melukakan hati, tanpa menjarah hak sesiapa.
24) Teras Kontrak Sosial ialah sementelahan orang Melayu bersetuju kepada pemberian kerakyatan berasaskan prinsip asas “Jus Soli” namun ianya perlu bertimbal balas dengan penerimaan Perkara 153 iaitu kedudukan istimewa orang Melayu, Perkara 152 Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan Perkara 181 Kedaulatan Raja-Raja Melayu. Secara menyeluruh semangat tolak ansur ini juga merangkumi status quo pendidikan vernakular yang sedia wujud pra merdeka terus dikekalkan.
25) Sekaligus demografi negara berubah drastik bila orang Melayu membuka pintu negara kepada bangsa lain untuk sama-sama membina nusa. Kita tidak boleh membayangkan pengorbanan setala ini. Maha besar pengorbanan orang Melayu, apa yang diharapkan pula hanya untuk kaum bukan Melayu mengakui beberapa perkara tadi sebagai timbal-balas.
26) Dalam semangat Kontrak Sosial ini, terdapat peningkatan signifikan dalam kuasa politik bukan Melayu. Dari 1.28 juta pengundi berdaftar pada tahun 1955, terdapat 84% pengundi Melayu, 11% Cina dan 4% India. Dan bayangkan saudara, hanya empat tahun selepas itu, semasa pilihan raya 1959, pengundi Cina dan India masing-masing meningkat di paras 36% dan 7%. Ini adalah antara perubahan demografi paling besar dalam sejarah negara-negara moden.
27) Begitu rencam kita menakhoda negara, kita timbang-tara hak dan kepelbagaian atas dacing saksama. Tidak lagi wujud suara dari kaum Melayu yang mempersoal hak kerakyatan orang bukan Melayu, pimpinan UMNO dan kerajaan sudah lama menerima dan mengangkat Kontrak Sosial. Kita tak pernah mengungkit soal kerakyatan yang diberi, kita terima lontaran hakikat bahawa saudara bukan-bumiputera tetap warganegara, tetap rakyat negara kita. Negara saya, negara anda, negara kita semua!
28) Dan walaupun mungkin ada bunyi sedikit suara yang mempersoal kewujudan sekolah vernakular, kepimpinan UMNO sudah lama menerima aliran ini. Sudah terpateri dalam undang-undang negara, tiada seorang Menteri Pendidikan pun boleh mengubah status sekolah vernakular. Malah bila tiba pembentangan belanjawan tahunan, YAB Perdana Menteri, iaitu Presiden UMNO, tegar memberi peruntukan khas untuk sekolah-sekolah vernakular.
29) Dalam premis ini, kita bersetuju memberi hak kerakyatan untuk kaum bukan Melayu dan mengekalkan bahasa ibunda mereka; sementara itu orang bukan Melayu pula mengakui kedudukan istimewa orang Melayu, bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan kedaulatan Raja-Raja Melayu. Orang Melayu terima, dan orang Melayu tak pernah pertikaikan persetujuan yang telah kita beri.
30) Tetapi, kenapa pula masih ada mereka yang tidak menghormati perjanjian yang sama. Kalau orang Melayu boleh terima, tak ungkit kerakyatan dan mengiktiraf bahawa kita tak boleh tutup sekolah vernakular, kenapa ada pula yang sekarang ini tidak pegang janji asal mereka. Kenapa ada yang minta dihapus kedudukan istimewa orang Melayu, ada yang mempertikaikan kedaulatan Raja-Raja Melayu, ada yang tak faham Bahasa Kebangsaan. Kalau orang Melayu tegas dengan prinsip kita mempertahankan perjanjian asal, kita tuntut yang lain juga pegang pada janji asal mereka. Tak perlu lagi pertikaikan hak kami. Kita tak minta mereka menggadai apa yang ada, kita cuma minta jaga apa yang telah dipersetujui bersama.
31) Adat bila berjanji wajib dikota, saudara. Kalau tak mahu kita mengungkit apa yang diberi, janganlah disoal hak dan keistimewaan peribumi. Atas janji inilah kita mengasas, membentuk Malaysia yang harmoni. Ini cara kita, yang terbaik untuk semua.
32) Bersama obor perpaduan yang menyala-nyala ini, Pemuda percaya perlu ada batas dalam setiap nas kebebasan. Apa yang sensitif, apa yang boleh merosakkan pembuluh perpaduan, jangan disentuh sama sekali. Sama ada Akta Hasutan dikekal atau ditambah baik, ini semua lompong makna kalau kita tak faham semangat dan halutuju kita orang berbilang bangsa. Tak kira apa akta, apa bylaws, apa kekangan, perkara-perkara yang sensitif dicanang jangan. Buat apa meniup api dalam sekam semata membangkit kemarahan?
33) Apa yang kita perlukan sekarang adalah perisai tempat berlindung – bukan hanya untuk orang Melayu – tapi untuk semua rakyat Malaysia. Justeru itu, sekiranya Akta Hasutan dipinda atau ditambah baik, yang paling mustahak perlu ada terma yang melarang dan menghukum sebarang kenyataan atau kelaku menghasut. Terma-terma ini kelak bakal jadi pelindung bukan sahaja untuk orang Melayu, tetapi untuk semua kaum lain. Jika ada yang melangkaui batas menghina bangsa atau Raja-Raja Melayu, Pemuda mendesak agar mereka cepat-cepat didakwa. Sementelah itu, jika ada yang menghina atau mencerca kaum lain, kita juga harus jadi barisan pertama yang mengasak agar mereka itu dikenakan tindakan! Kepada pucuk pimpinan kerajaan, Pemuda berpesan, walau apa pun akhirnya Akta Hasutan ini, walau apa pun nama baru yang diberi, kita mahu kuasa yang ada dalam akta ini dikekalkan dan jadi perisai untuk semua. Kerana percayalah, tanpa perisai ini negara kita pasti hancur.
34) Mengatur hidup dalam arus moden, tak cukup sekadar bergantung dengan Akta Hasutan itu semata. Tak cukup juga setakat kita menahan diri dari menyoal hak masing-masing. Kita mesti mantap pendirian, jadi tiang seri Malaysia yang bersatu. Kita mesti komited dalam mencorak fabrik perpaduan nasional.
35) Kita tidak mengamalkan asimilisasi; kita tak boleh menerap secara paksa budaya kita terhadap orang lain – seperti yang diamalkan di negara-negara keliling kita. Apa yang kita mahu adalah satu integrasi yang mampu mengekalkan rasa hormat bila berdepan dengan budaya masing-masing. Apa yang masih jadi harapan agar kita ada beberapa perkara yang boleh mengikat kita bersama – contohnya bahasa kebangsaan.
36) Tapi lihat saja statistik peserta PLKN, masih ramai yang tak mampu bertutur dalam Bahasa Kebangsaan. Petaka apa kah ini untuk bangsa merdeka? Bahasa Melayu itu Bahasa Kebangsaan, di dadanya tersimpan segala rahsia untuk menyatukan kita, tapi masih ramai yang tak mampu bertutur dalam bahasa Melayu – terutama mereka yang memilih sekolah vernakular.
37) Sekolah vernakular teruskanlah, tapi buatlah sesuatu untuk mengukuhkan perpaduan nasional pertiwi ini. Pastikan murid-murid sekolah vernakular fasih dalam bahasa kebangsaan. Jadilah sebahagian daripada proses integrasi, jangan jadi masyarakat yang tersisih dari yang lain. Tunjuklah sikit semangat cintakan negara. Janganlah banyak mengomel kalau tak boleh berdiri bila Negaraku berkumandang! Tunjukkan pada dunia, bahawa kita rakyat Malaysia.
38) Merintihlah merdeka, pincanglah perpaduan jika kita terus-terusan begini. Dokonglah kerakyatan cara orang terhormat, busungkan dada mu menjulang Malaysia tanpa sebab atau alasan. Kerana jadi rakyat itu maknanya kita sama, kita satu, kita serupa, kita rakyat Malaysia!
Sidang perwakilan sekalian,
39) Menjelang ambang 2020 – kita sudah bercakap soal peremajaan parti, kita juga sudah bercakap tentang hubungan antara kaum – sekarang molek jika kita menyentuh tentang Melayu itu sendiri. Kerana nadi perjuangan UMNO selamanya berdenyut untuk membela bangsa kita. Retorik banyak kedengaran, tapi keputusannya apa? Gerak kerjanya bagaimana?
40) Umum tahu kedudukan ekonomi kita masih berada di paras lebih rendah berbanding kaum lain – itu hakikat. Sehingga kini, pendapatan orang Melayu tetap rendah berbanding kaum lain. Ramai yang cakap, Melayu ada Amanah Saham! Tapi mengikut kajian terkini Dr. Muhammad Abdul Khalid dalam buku Colours of Inequality, ironis sekali bila pelaburan purata orang kita dalam Amanah Saham hanya RM 600. Bayangkan hanya RM 600 sahaja, sedangkan kita tahu had pelaburan RM 200 ribu.
41) Bila menyentuh soal pendidikan, walaupun kerajaan dah beri insentif pengecualian bayaran balik PTPTN untuk pelajar cemerlang, 78% yang dapat pujian kelas pertama dan tak payah bayar balik itu bukan budak Melayu.
42) Apalah nasib badan, sudahlah tersadung di ruang ekonomi dan pendidikan, di kancah gejala sosial pula, orang Melayu berada paling depan. Dalam 10 penagih dadah, 8 anak Melayu. Itu belum lagi dikira, dihitung kes-kes buang bayi, sumbang mahram dan jenayah jalanan.
43) Tapi tak guna kita berbahagi siapa salah, siapa berdosa. Saya mahu kita bangkit, kita tahu, kita faham betapa Melayu memerlukan halatuju yang mantap dalam usaha meningkatkan martabat. Masa tak menyebelahi kita sahabat, sungguh bangsa bertelekan malu kalau kita orang Melayu belum betul-betul maju, tatkala Malaysia mencapai status negara maju pada tahun 2020 kelak. Lalu bagaimana kita mahu mengubah nasib?
44) Betul kita punya kuasa, tapi setakat ini, apa yang telah kita buat dengan kuasa itu? Cukupkah menggalas perjuangan setakat kuat bertempik “Hidup Melayu” tanpa sebarang strategi? Tanpa pemikiran dan perancangan yang mapan?
45) Perkara wahid dalam hidup adalah semangat dan keberanian untuk mengubah nasib. Kata penulis buku Bumi Manusia, Pramoedya Ananta Toer, “Dalam hidup kita, cuma satu yang kita punya, yaitu keberanian. Kalau tak punya itu, lantas apa harga hidup ini?” Dalam konteks kita mahu membangunkan martabat bangsa di alaf ini, saya menyeru semua bertindak tanpa lengah, dalam menjayakan agenda Melayu dengan keberanian dan perancangan yang rapi. Apa guna kita gegak gempita mempertahan kedudukan, tanpa menzahirkan aksi dan jasa. Halatuju baharu ini perlu dibaja dengan pencapaian yang jelas nyata, terbukti dengan keberhasilan yang boleh diukur kira.
46) Anggaplah senarai ringkas ini selaku pemangkin aksi, tiupan semboyan yang menyeru untuk kita bertindak. Pertama, soal tanah rizab Melayu. Baru-baru ini kita dikejutkan dengan siri laporan bahawa keluasan tanah rizab, jatuh mendadak dari 50% kepada 12%. Saya mengajak Pemuda ke hadapan, mencari penyelesaian memastikan hak yang termaktub dalam enakmen sejak 1914, juga wasiat Raja-Raja Melayu, tak tergadai. Di manakah salahnya kita dalam soal ini? Kajian menunjukkan salah satu sebabnya adalah: bila pihak berkuasa tak menggantikan tanah rizab yang diwartakan keluar dengan merizabkan semula satu kawasan yang mempunyai keluasan sama dengan tanah asal.
47) Pemuda tidak akan sama sekali berdiam diri dalam hal ini, kita akan membawa isu ini untuk ke pentas nasional dan menggesa agar Enakmen Rizab Melayu Negeri-negeri dikuatkuasakan sepenuhnya. Kita harus semak semula senarai tanah rizab yang diwarta keluar dan memastikan tanah-tanah tersebut digantikan dengan segera. Jangan sampai hak kita di bumi ini terus-terusan dicabuli oleh mereka yang tak bertanggungjawab. Rentung martabat dibakar cuai, kelak bangsa bakal melarat.
48) Pemuda mencadangkan agar diwujudkan satu Majlis Amanah Tanah Melayu melibatkan semua negeri. Majlis Amanah ini pula jangan hanya melindungi tanah rizab melayu, tetapi juga harus bertanggungjawab memastikan pembangunannya. Apa guna jadi orang bertanah, jika tak dapat menggandakan nilai untuk bangsa nusantara sendiri.
49) Kedua, soal pemilikan hartanah Melayu. Data terkini menunjukkan bumiputera memiliki hanya 5% jumlah hartanah di Malaysia. Pemuda memandang serius perangkaan yang menunjukkan bahawa – meskipun 58% penduduk Malaysia yang menetap di bandar adalah bumiputera – namun peratusan yang sama tidak diterjemahkan menerusi peratusan pemilikan hartanah.
50) Banyak sebab musibat ini berlaku. Pemaju perumahan kalau tak boleh jual kuota bumi dalam tempoh 6 bulan, mereka dapat pengecualian. Ada yang tak bertanggungjawab lagi kuat mengelat. Mereka akan kurangkan promosi sebab tahu akan dapat pengecualian dan boleh jual di pasaran terbuka. Pemuda cadangkan tempoh untuk mencari pembeli bumiputera dilanjutkan selama 3 bulan lagi. Dalam tempoh ini, Pemuda mencadangkan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) diberi peluang untuk mencari pembeli bumiputera atau terus menjual unit-unit tersebut kepada GLC-GLC, bagi tujuan memperkasa agenda bumiputera.
51) Seterusnya saudara, siapa tak pernah masuk pusat beli belah di bandaraya-bandaraya besar di negara kita? Kiri kanan kita tengok kebanyakan kedai-kedai ini tak dimiliki orang Melayu. Bila kita hitung kita dapati bahawa di pusat beli belah utama di bandaraya Kuala Lumpur yang mana pemiliknya bukan Melayu, peratusan peniaga bumiputera tak sampai 1%. Yang lebih menyakitkan hati kita, pusat-pusat beli belah yang dimilikki oleh GLC-GLC, termasuk pusat beli belah yang paling tersohor di Kuala Lumpur, hanya ada kurang daripada 3% peniaga bumiputera dalam premis mereka. Bukan kerana tak cukup peniaga-peniaga runcit Melayu tetapi kita pernah dengar cerita di mana mereka diusir keluar dari pusat-pusat beli belah. Kononnya peniaga-peniaga Melayu ini cikai. Keadaan ini perlu berhenti, janganlah Melayu pergi ke kompleks beli belah sekadar tengok-tengok, window shopping sahaja. Intailah juga peluang untuk berniaga dan menambah pendapatan.
52) Program yang ada perlu diperkemas, ruang untuk membantu golongan ini harus diperluaskan untuk menyokong peniaga bumiputera menembusi pasaran runcit ini. Kita tak mahu peniaga Melayu sekadar menembusi pasaran, kita nak mereka kekal dan mengembangkan perniagaan.
53) Keempat, soal kemahiran dan pendapatan profesional Melayu. Kita amat bangga bila ramai anak Melayu mengorak langkah dalam bidang profesional, berbanding beberapa dekad lalu – satu perkembangan positif untuk negara yang hampir mencapai status maju. Ia juga membuktikan kita orang Melayu tak tercicir dari arus perdana pembangunan.
54) Namun kita bukan mahu berbangga dengan kuantiti anak Melayu dalam sektor korporat sahaja, tetapi juga ingin memastikan lebih ramai orang Melayu berada dalam pekerjaan berpendapatan tinggi. Jika hari ini majoriti pekerja berpendapatan RM 2 ribu sebulan dan ke bawah, rata-ratanya terdiri daripada golongan orang Melayu, kelak biarlah Melayu turut menguasai pekerjaan-perkerjaan bergaji RM 10, 15 hatta 20 ribu sekalipun!
55) Program-program di bawah Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera perlu ditambah. Kita mahu ramai lagi anak muda Melayu ada pentauliahan profesional. Ini bila kita tengok akauntan dan pakar kewangan – jenuh nak cari Melayu. Atau bila kita tengok dalam bidang baru seperti Sains & Teknologi – payah nak cari Melayu. Tapi saya tahu, dalam dewan sekarang, ada profesional-profesional ini. Pemuda sendiri ada program seperti ProSkill bawah Biro Profesional Muda untuk memberi latihan kemahiran insaniah buat para profesional. Tetapi ini tak cukup, kita mesti menggandakan usaha untuk memperkasa dan seterusnya memastikan anak Melayu jadi majoriti dalam bidang profesional.
56) Yang kelima, kita nak bangkitkan sekali lagi isu diskriminasi di tempat kerja terutamanya terhadap orang Melayu dalam sektor swasta. Walaupun sudah diulang berkali-kali, masih ada lagi yang berani mempromosi jawatan kosong, khusus untuk satu bangsa sahaja. Dalam kerajaan, kita tak mengamalkan diskriminasi. Polis dan tentera, juga begitu. Jadi tolong berhenti buat perkara macam ini. Sudah tiba masa kita ada satu akta anti-diskriminasi dalam pengambilan pekerja.
57) GLC pula perlu ingat kepada agenda bumiputera yang diberi. Prestasi Ketua Pegawai Eksekutif jangan hanya dilihat setakat untung sahaja, tetapi agenda bumiputera yang digalas wajib disempurnakan. Ingat pesanan Y.A.B. Presiden semasa ucapan beliau di Majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera, di Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada tahun lepas, dengan jelas disebut bahawa semua Ketua Pegawai Eksekutif di GLC diwajibkan meletak sasaran ke atas penyertaan bumiputera, dan ini dimasukkan sebagai KPI kepada C.E.O-C.E.O tersebut. Jadi Pemuda nak tanya, dah setahun dah, kita nak tahu sejauh mana C.E.O-C.E.O telah mencapai KPI mereka? Kalau tak lepas KPI untuk tolong orang Melayu, ramai yang dapat ambil tempat Datuk-Datuk semua.
58) Bila sebut soal perolehan kerajaan dan agenda bumiputera, ada pulak yang memandai mengambil peluang. Penat cari orang, isi borang, kejar status syarikat bumiputera, tapi bila dah dapat kontrak kerajaan eksklusif untuk bumiputera, dijualnya pula kontrak ini kepada syarikat bukan bumiputera. Ada yang berstatus bumiputera, tapi hanya pada nama, hanya pada kertas, untung dan kawalan syarikat di tangan orang lain.
59) Rentetan dari masalah ini, Pemuda bersetuju dengan cadangan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) untuk menubuhkan satu agensi perakuan di bawah SPRM untuk memastikan fenomena ini dapat dikekang. Pemuda juga bersetuju agar syarikat-syarikat yang buat perangai dapat disenaraihitamkan, agar agenda bumiputera kembali ke landasan objektif asal penubuhan.
60) Apa makna pencapaian ekonomi bagai, kalau orang Melayu sebagai orang beragama Islam, akidah tidak dipelihara, syiar agama tidak ditegakkan, nilai murni tidak disemai. Hari ini kita dikepung oleh ekstremisme yang datang dari kiri dan kanan. Dari satu sudut, ektremisme datang dalam bentuk ideologi militan yang menyalahgunakan agama untuk menghalalkan pembunuhan dan kemusnahan. Lihat sahaja kepada usaha kumpulan militan Islamic State (IS) memimpin anak muda kita ke arah durjana. Rakyat Malaysia yang terlibat dengan kumpulan ini, yang terpedaya bahawa ini jihad sebenar, majoritinya anak muda. Hari ini, satu kertas putih kerajaan tentang ancaman IS terhadap Malaysia sedang dibentang di Dewan Rakyat oleh YAB Presiden sendiri.
Ancaman ektremisme agama ini perlu dihentikan serta-merta. Yang perlu kita didik mereka adalah tentang pegangan Wasatiyyah, sebagaimana firman Allah SWT di dalam Surah Al-Baqarah, ayat 143:
Yang bermaksud: “Dan demikianlah Aku (Tuhan) jadikan kalian umat yang “wasat” (adil, tengah-tengah, terbaik) agar kalian menjadi saksi (syuhada’) bagi semua manusia, dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi (syahid) juga atas kalian.”
Baik kita beri anak muda Islam kita, yang cukup idealistik, peluang lain nak salurkan kudrat mereka. Kita ajak mereka bantu anak muda Islam berniaga tambah pendapatan, ajak mereka mengajar rakan seagama yang tiada peluang pendidikan, ajak mereka bina rumah untuk mereka yang tak berumah kerana negara mereka miskin yang amat. Bina perigi di kampung pedalaman tanpa bekalan air dapat pahala. Bunuh orang awam secara kejam ikut perjuangan IS yang dapatnya dosa.
61) Dari sudut lagi satu, masyarakat kita berdepan pengaruh buruk dibawa gaya hidup bebas dan songsang. Kalau ini kita tak bendung, alamat runtuhlah akhlak anak bangsa kita dek ekstremisme sosial. Yang paling baik kalau kita didik mereka, ajar mereka untuk jauhi gejala sebegini. Tapi didikan dan ajaran bagus mana sekalipun perlu disokong dengan pengukuhan pentadbiran undang-undang syariah. Kami menyeru kerajaan untuk benar-benar merungkai konflik antara perundangan syariah dan sivil dengan mengambil kira keresahan umat Islam, kedudukan Islam sebagai agama persekutuan dan prinsip ketertinggian Perlembagaan Persekutuan.
62) Agenda Melayu seperti yang saya perbutirkan tadi perlu dijadikan KPI kolektif di setiap paras perjuangan kita. Selesai persidangan cepat-cepat ambil tindakan, jangan berdiam diri, jangan berlengah lagi. Gunalah kekuatan kudrat Pemuda untuk menggerakkan, memperkasa agenda bangsa kita sendiri.
63) Saya merayu agar Pemuda jadi mata dan telinga kerajaan. Kita pantau di peringkat bahagian, kita buat satu mekanisme pengumpulan data, agar boleh diguna pakai oleh kerajaan. Saya nak beri anda semua satu tugasan, satu KPI. Sila kenal pasti berapa banyak profesional Melayu di bahagian anda; sila kira berapa banyak kontraktor Melayu dapat kontrak kerajaan di bahagian anda; sila hitung berapa ramai anak Melayu masuk universiti di bahagian anda; sila sukat berapa banyak anak muda Melayu terlibat dalam gejala sosial, merempit sana sini, dan hisap dadah di bahagian anda. Kita akan tubuhkan satu sekretariat khas di peringkat pusat bagi membantu pemantauan perlaksanaan agenda Melayu di peringkat akar umbi dengan memperkenalkan Skor Kad Pematuhan untuk agenda Melayu. Kita selalunya ada perancangan tapi kurang menyerlah bila tiba bab implementasi. Sekarang Pemuda akan tampil ke hadapan untuk memastikan agenda Melayu ini dipatuhi sepenuhnya.
64) Melayu itu bukan bangsa yang gagal; Melayu itu bukan bangsa yang sentiasa perlu ditongkat, Melayu tak tohor pencapaian. Sungguh Melayu maha perkasa, dari Kerajaan Langkasuka dan Kedah Tua, Gangga Negara mahupun Srivijaya, orang Melayu lah yang membawa ketamadunan ke Tanah Melayu sejak kurun pertama lagi.
65) Kerajaan Melayu lah yang mula mencipta struktur perundangan dan menyemai benih kesatuan penduduk Nusantara. Bibit yang kemudiannya mencetus konsep budaya dan bangsa, atas asas kejayaan kuasa politik Melayu. Kepimpinan Melayu lah yang mula membawa perdagangan dan pendedahan kepada dunia luar. Kemudian datang kejayaan yang lebih berganda di zaman Kesultanan Melayu Islam yang masih kekal hingga sekarang, di mana wilayah ini pernah menjadi pusat perdagangan utama dunia – digores pengaruh ketamadunan hebat Arab dan Parsi, China dan India – diiktiraf pula oleh para penulis dan pengembara ternama, dari Marco Polo hinggalah ke Laksamana Cheng Ho. Tetapi mewarisi legasi itu payah, justeru “Hidup Melayu” mu jangan murah. Perjuangan itu perlaksanaan kata-kata yang tak gawat di tengah jalan, yang tak digentar ditabuh halangan. Nah, sejarah sudah menunjukkan Melayu ini tamadun yang hebat, inilah masanya untuk membuktikan kehebatan kita bukan setakat dalam buku sejarah – Melayu itu hebat dulu, kini dan selamanya!
Sidang perwakilan sekalian,
66) Sudah lebih setahun kita menewaskan pembangkang dalam PRU13. Walaupun kita tawan 54% anak muda Melayu, pertempuran PRU14 bakal jadi lebih sengit lagi. Apatah lagi dengan penambahan hampir 5 juta pengundi baharu.
67) Sebelum saya memberi cadangan-cadangan Pemuda untuk pertimbangan kerajaan, ingin saya ucapkan terima kasih tak terhingga kepada Y.A.B. Presiden yang telah menzahirkan keinginan anak muda melalui pembentangan belanjawan yang lalu. Bukan hanya peruntukan untuk belia dipertingkat, isu-isu umum seperti perumahan dan keusahawanan nampak digubal mengikut langgam orang muda.
68) Dan ini memantapkan lagi evolusi Pemuda UMNO di bawah pimpinan kita semua. Jika empat tahun lalu kita ubah haluan ke arah politik khidmat bakti, kini kita pertajamkan lagi strategi ini. Kita tajamkan dengan cara berpolitik berpengaruh di mana Pemuda terus membentangkan cadangan untuk orang muda kepada pucuk pimpinan kerajaan, yang terbukti senantiasa bersedia menerima cadangan bernas. Contoh politik berpengaruh yang saya maksudkan tadi adalah rumah transit yang tercetus daripada idea Pemuda sendiri, yang telah menyempurnakan impian belia berkahwin untuk menyewa tempat berteduh yang tak jauh dari ibu kota. Terima kasih kepada mantan Setiausaha Pemuda UMNO, Y.B. Datuk Abdul Rahman Dahlan, kerana telah mengotakan cita-cita Pemuda ini. Kerana menjadi seorang Menteri yang bukan hanya mendengar suara Pemuda, tetapi yang telah bertindak atas desakan kami.
69) Memang benar sudah banyak yang diberi untuk anak muda. Tapi izinkan saya menyatakan keinginan Pemuda untuk sebuah urus janji baharu berkenaan anak-anak muda Malaysia. Halangan tak pernah surut, kos sara hidup terus meningkat, begitu juga dengan keperluan dan kebajikan generasi muda negara.
70) Dalam akad urus janji baharu ini, dari aspek kos sara hidup, isu perumahan kekal jadi faktor utama kesempitan anak muda. Sejak tahun 2012, kenaikan tahunan purata harga rumah meningkat 10%, berbanding kenaikan tahunan pendapatan median yang hanya sebanyak 8%. Purata harga rumah pula 5.5 kali ganda berbanding pendapatan median, walhal hanya 5.1 kali ganda di Singapura dan 4.7 kali ganda di UK. Mana mungkin dapat kita membentuk generasi yang mencintai Malaysia sebagai rumah mereka, jika mereka hanya mampu pandang, mampu idam, tapi tak boleh nak beli rumah sendiri.
71) Walau begitu, Pemuda berterima kasih atas usaha kerajaan untuk terus membantu anak muda dalam kemelut ini. Pemuda menyambut baik Bandar Belia yang diterjemahkan melalui 1Malaysia Youth Cities. Idea yang dibawa Pemuda sendiri akan bermula dengan tiga projek perintisnya, di Semenanjung, Sabah dan Sarawak, dengan objektif mengikuti naluri kehendak belia. Skim Perumahan Belia juga diumumkan untuk belia dalam Belanjawan 2015. Semua Ini kami amat alu-alukan.
72) Walaubagaimanapun, di Kuala Lumpur untuk tahun ini sahaja, jumlah pasangan belia yang berkahwin, sudah lebih 14,000. Mana cukup 20,000 unit melalui Skim Perumahan Belia yang saya sebut tadi untuk seluruh negara. Justeru skim ini biar jadi skim tahunan yang kekal dengan unitnya diperbanyakkan lagi untuk tahun-tahun mendatang. Rumah transit sebanyak 632 unit pun tak cukup. Walaupun lokasinya molek, intipatinya bersesuaian, mesti ditambah lagi demi menjaga kebajikan anak-anak muda yang baru mahu memulakan keluarga.
73) Bukan itu sahaja, pemaju-pemaju juga perlu beri kemudahan bina kemudian jual atau tidak kembalikan Skim Pemaju Tanggung Kadar Faedah (DIBS) untuk golongan muda. Jangan kita rosakkan harapan mereka memiliki rumah pertama dengan hutang bunga dan rumah terbengkalai. Tapi ada yang bantah yang kata pemaju kurang untung sebab kena bayar kos pembiayaan. Jangan sembang sembarang, jangan nak tamak – kita tahu margin untung pemaju di AS hanya 12%, di Thailand hanya 14%, tapi untung pemaju Malaysia melambung setinggi 21%.
74) Pemuda juga sambut baik tindakan kerajaan negeri Johor yang menyenaraihitamkan 28 pemaju kerana gagal membina rumah mampu milik. Jangan beri mereka projek baharu, jika tak dapat penuhi amanah bina tempat berteduh pada harga berpatutan. Pemuda rasa amat wajar jika tindakan sebegini diperluas ke seluruh negara.
75) Bila cakap pasal isu sara hidup, bebanan hutang orang muda sudah lama berada dalam radar perhatian Pemuda. Lebih merunsingkan, kadar anak muda bawah umur 25 tahun yang bankrap pada separuh pertama tahun ini sahaja, meningkat sebanyak 178% berbanding tahun lepas. Bayangkan anak muda kita, yang baru keluar universiti setahun dua, yang baru ingin mendirikan rumah tangga tapi diisytihar bankrap. Gelap dan punah masa depan mereka.
76) Tak tersangkal hutang perlu dibayar balik. Kesannya pada orang lain, pada peminjam di masa depan. Tetapi ada pula tukang kutip hutang atau ‘debt collector agents’ yang melampaui batas. Ada yang tak berhenti telefon, padahal hutang tak sampai satu ratus ringgit. Ada yang mengugut, bahasa kasar macam Ah Long, padahal baru seminggu terlewat bayar. Malahan ada yang datang ke rumah penghutang, datang dengan geng, ugut nak sita rumah, ugut nak rantai pintu rumah, ugut nak guna kekerasan. Pemuda nak beri amaran kepada tukang kutip hutang dan pelanggan mereka, nak kutip hutang tu kutip lah, tapi jangan sampai biadap, jangan sampai ada yang tertiarap.
77) Berbalik pada akar masalah ini, antara sebab hutang anak muda yang tinggi, adalah tahap kefahaman kewangan yang rendah. Ini lebih serius bagi golongan berpendapatan rendah. Mereka lebih cenderung memilih pinjaman yang mana ansuran bulanan atau mingguan nampak rendah, tapi bila dikumpulkan setahun, kadar peratus tahunannya jauh lebih tinggi berbanding pinjaman ansuran lain.
78) Nak gubal undang-undang hutang pengguna memang makan masa. Undang-undang bankrap yang Pemuda dah lama minta dipinda itu pun belum dizahirkan. Tapi buat sementara waktu, mereka ini perlu dilindungi. Pemuda mencadangkan kerajaan agar mewajibkan semua pemberi hutang menyatakan secara jelas jumlah sebenar kadar bunga mereka.
79) Hal sebegini nampak kecil, tapi besar kesannya. Tambahan pula apabila GST akan dilaksanakan pada tahun 2015. Namun tatkala ramai yang risau, ada pula pihak yang cuba mengambil kesempatan. Pemuda juga gesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk memastikan pemantauan yang menyeluruh dan berkesan. Jangan kerana peniaga yang mengambil kesempatan mengaut untung beralasankan GST dan pegawai tak kuat kuasa – kita pula yang kalah pilihan raya.
80) Kita juga tahu ramai orang muda yang muflis kerana gagal bayar hutang kenderaan. Hutang pinjaman kenderaan adalah yang kedua tertinggi, setinggi 18% selepas hutang beli hartanah. Ramai anak muda bawah 35 tahun jadi muflis, mana tidaknya, nak beli kereta kena bayar 36 kali gaji bulanan. Di negara maju hanya 12 kali ganda.
81) Sudah terang lagikan bersuluh, kita perlukan satu inisiatif untuk membantu anak muda membeli kenderaan, meringankan beban hutang dan harap-harap mereka dijauhi daripada sumpahan muflis. Mengambil kira perkara ini, Pemuda mengusulkan kepada kerajaan Skim Kenderaan PertamaKu di mana anak muda yang berpendapatan kurang RM4000 sebulan boleh beli kenderaan pertama mereka tanpa membayar cukai atau duti eksais. Ini akan mengurangkan harga kenderaan khusus untuk anak muda yang membeli buat kali pertama sahaja. Kenderaan-kenderaan yang dibenar beli biar lah yang berharga sederhana, yang dipasang dalam negara.
82) Sebelum ada yang kata macam pernah dengar idea ini, bukan ini idea dari pihak lawan? Saya nak jelaskan ini bukan seperti pihak lawan yang telah mencadangkan satu dasar populis iaitu potongan cukai untuk semua pembeli kenderaan yang boleh menambah hutang kerajaan, meningkatkan kesesakan jalan raya, merosakkan alam sekitar dan memberi diskaun kepada orang kaya. Cadangan Pemuda bersasar kepada golongan yang memerlukannya iaitu anak muda sahaja – dan tidak melibatkan semua pembeli kenderaan.
83) Namun di kala kita bercerita tentang kehendak belia, jangan dilupakan belia-belia luar bandar. Kita kena ingat, suka tak suka, kekuatan UMNO hari ini masih datang dari luar bandar. Dan kemenangan kita hari ini datang dari sokongan belia luar bandar. Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita perlu mengupayakan anak muda luar bandar. Biar mereka ini lebih berkualiti, lebih berkeupayaan, lebih mudah dipasarkan.
84) Y.A.B. Presiden telah umumkan dalam Belanjawan 2015 bahawa Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) akan ditransformasikan. Pemuda cadangkan transformasi tersebut memberi fokus kepada belia luar bandar, diberi keutamaan untuk mengikut PLKN versi baharu di mana mereka bukan hanya diterap semangat patriotisme tetapi juga diberi kemahiran. Biar mereka menamatkan program ini dengan satu pentauliahan kemahiran – moga mudah mereka mendapat kerja di pasaran.
85) Pada masa yang sama, Pemuda menyokong segala usaha untuk melahirkan lebih ramai lagi usahawan di kalangan belia luar bandar. Program-program seperti Rural Business Challenge di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dan Agropreneur Muda di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani harus kita sokong. Pemuda bercadang supaya lebih banyak lagi peluang ekonomi diberi kepada anak muda luar bandar , agar mereka tak perlu berhijrah ke bandar untuk mencari rezeki.
86) Bagi merekayasa ekonomi anak muda luar bandar Pemuda cadangkan agar Revolusi Ekonomi Anak Muda Luar Bandar dilancarkan. Gunakanlah 120 ribu hektar tanah terbiar di negara ini, panggil anak-anak muda luar bandar untuk mengusahakannya, ini akan mencetus revolusi ekonomi ke arah menambah pendapatan masyarakat muda luar bandar.
87) Ini urus janji kita yang baharu, prakarsa yang bakal mencorak perjuangan kita di alaf baru. Kalau orang muda dekat dengan kita, kepentingan mereka kita jadikan tonggak perkhidmatan, hati mereka kita tawan, nescaya pilihan raya akan datang kita menang lagi!
Sidang perwakilan sekalian,
88) Tak ke mana seluang melaut, akhirnya balik ke tepi jua; tak ke mana Melayu merantau, ke tanah asal pulanglah mereka. Kita ini parti Melayu – walau ditala, ditabuh, diterajang bagaimana sekalipun – begitulah kita. Kalau asalnya benih yang baik, dicampak ke laut jadi pulau. Kalau asalnya berdarah pahlawan, dihumban ke mana tetap melawan!
89) Kalau dulu Melayu corot kelas bawahan, parti inilah yang mengangkat orang Melayu jadi usahawan, saintis dan pakar perubatan. Kalau dulu kita buta huruf, miskin ilmu, bangsa yang tiada visi mahupun misi, parti inilah yang menjadikan kita profesor, pensyarah dan pakar ekonomi. Kalau dulu ada yang kata Melayu itu koman, parti inilah yang mengangkat Melayu ke depan – dari Melayu macai jadi Melayu bijak pandai!
Anak watan
Jangan malu jadi orang berbangsa
Jangan silu mempertahankan hak kita
Jangan dipersia tradisi yang mulia
Jangan kau gadai harga diri
Jangan dinafi apa yang hakiki
Jangan berbohong dengan diri
Jangan pohon maaf, pohon kebenaran dari sesiapa
Kerana walau kita mati-matian berjuang demi bangsa
Kita tak pernah berjuang atas sengsara orang lain!
Maqasid perjuangan kita bukan untuk Melayu semata
Kita berjuang untuk semua anak Malaysia!
90) Jadi anak bangsa, lekas kau bangun dari lena. Akarkan legasi dalam hati, cekalkan perjuangan di sanubari, perjuangan untuk selamanya membela kedudukan bangsa, memacu negara ke puncak dunia, mendokong nusantara hingga ke akhir masa! Demi parti kita saudara-saudara, kau apikan lah obor yang menyala-nyala, tiupkan lah sangkakala sekuat rasa, luruskan barisan, rapatkan jurang antara mu para pahlawan! Yakinlah ini yang kamil untuk bangsa, untuk anak-anak kita, untuk para sarjana yang bakal mewaris negara!
Hidup mati kami untuk agama!
Hidup mati kami untuk bangsa!
Hidup mati kami untuk keramat parti tercinta!
Hidup UMNO!
Hidup UMNO!
Hidup UMNO!
0 comments:
Post a Comment