Gambar hiasan
Seorang wanita yang berasa terhina selepas mukanya dicakar dan bajunya dikoyak gara-gara dituduh tergila-gilakan suami orang oleh rakan sekerja sendiri, tampil membuat laporan polis semalam.
Dalam insiden yang berlaku sekitar jam 8 pagi itu, pengadu yang berumur 30-an, berbangsa Iban dan berasal dari Penasu tiba-tiba dihampiri oleh seorang wanita yang juga rakan sepejabatnya.
Menurut sumber, wanita tersebut, juga 30-an dan berbangsa Iban, terus menerjah pengadu dengan soalan yang bukan-bukan termasuk sama ada dia menjalinkan hubungan sulit dengan suaminya.
“Belum sempat dia (pengadu) menjawab, wanita tersebut terus bertindak agresif dan satu pergelutan berlaku di antara dua wanita itu yang disaksikan oleh rakan-rakan sekerja lain,” katanya.
Wanita yang menyerang tersebut juga dipercayai mencakar muka dan menarik-narik baju pengadu sehingga koyak, sekali gus menyebabkannya berasa malu dan terhina.
“Sejurus selepas insiden itu, pengadu menghubungi suaminya untuk menghantarnya pulang ke rumah,” kata sumber.
Difahamkan, suami wanita yang menyerang pengadu juga bekerja di syarikat yang sama.
Pengadu kemudiannya dibawa oleh suaminya pulang ke rumah untuk menukar baju sebelum mereka pergi ke Balai Polis Sentral dan membuat laporan mengenai insiden itu.
Menurut pengadu, dia amat malu dituduh mempunyai hubungan sulit dengan suami orang, malah dihina di depan rakan-rakan sepejabat.
Selain bajunya dikoyak, muka pengadu juga dipercayai dicakar menyebabkannya berasa sakit dan membuat keputusan untuk melaporkan insiden itu kepada pihak polis.
0 comments:
Post a Comment