Kuala Lumpur - Kakitangan Jabatan Penerangan Daerah Cameron Highlands antara individu paling sibuk Rabu lepas apabila air Empangan Sultan Abu Bakar perlu dilepaskan secara berperingkat-peringkat kerana parasnya yang semakin meningkat.
Mereka, dengan menggunakan pembesar suara dan kenderaan pacuan empat roda (4X4) 'berlumba' dengan masa untuk memaklumkan penduduk di sekitar tebing Sungai Bertam supaya segera berpindah bagi mengurangkan risiko kejadian tidak diingini akibat pelepasan air itu.
Ketua Pengarah Jabatan Penerangan, Datuk Ibrahim Abdul Rahman berkata, kakitangannya sentiasa bersiap siaga menunggu arahan pelepasan air ekoran hujan lebat yang berlaku, memandangkan sedikit perbezaan masa boleh menyebabkan kesan yang lebih teruk.
Tugas mereka tidak terhenti sebagai 'penyampai amaran', sebaliknya diteruskan untuk menggerakkan pasukan kenderaan 4X4 ke kawasan yang tidak boleh dilalui dengan menggunakan kenderaan biasa akibat bajir.
"Empat kenderaan 4X4 milik jabatan terlibat namun jumlah sebenar kenderaan dalam operasi di Cameron Higlands adalah lebih dengan khidmat sukarelawan kelab kenderaan itu yang pernah mengikuti program anjuran jabatan," katanya kepada Bernama di sini semalam.
Selain khidmat pengangkutan, pasukan kenderaan 4X4 juga bertanggungjawab memastikan sistem telekomunikasi di kawasan terjejas banjir tidak putus, kata Ibrahim.
"Di kawasan yang tidak mempunyai 'isyarat' telefon, pasukan menggunakan radio untuk berkomunikasi dan maklumat seperti mangsa terperangkap terus dihantar ke bilik gerakan Majlis Keselamatan Negara untuk tindakan lanjut," katanya.
Bagi memastikan kelancaran operasi, empat kakitangan dari Kuala Lumpur dan lima daripada Kuantan, Pahang dihantar serta-merta untuk membantu empat kakitangan tetap di Cameron Highlands, tambah Ibrahim.
Selain itu, bantuan turut diberikan di pusat pemindahan supaya mangsa mendapat maklumat terkini dan sahih mengenai perkembangan banjir serta menyediakan kemudahan televisyen untuk membolehkan mereka mengisi masa di situ.
"Jabatan Penerangan juga membuka bilik media bagi menyalurkan maklumat kepada media, membantu pihak terlibat operasi seperti polis atau bomba mengadakan sidang media dan membawa pemimpin yang ingin ke kawasan terlibat," katanya.
Ibrahim menambah pihaknya lebih bersedia dalam menghadapi banjir kali ini selepas 'belajar' daripada pengalaman semasa menghadapi kejadian sama pada 23 Oktober 2013.
Malah, kakitangan dan pemandu kenderaan 4X4 jabatan berkenaan juga baharu sahaja selesai menjalani latihan menghadapi situasi kecemasan kira-kira seminggu sebelum banjir di Cameron Hinglands berlaku.
"Kami juga merasai perasaan mangsa, yang baharu hendak kembali pulih daripada trauma kejadian tahun lalu... dan kini diuji sekali lagi," kata Ibrahim.
Dalam kejadian pukul 6.30 petang Rabu lepas, penduduk di tebing Sungai Bertam diarahkan berpindah apabila air Empangan Sultan Abu Bakar dilepaskan secara berperingkat.
Dalam kejadian itu, lima maut manakala lima lagi cedera selain 203 penduduk daripada 47 keluarga di Kampung Baru Ringlet dan Lembah Bertam terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Dewan Orang Ramai Ringlet.
0 comments:
Post a Comment