Shah Alam - Perlakuan buli yang digunakan dalam sesi suai kenal, sebenarnya tidak dibenarkan di dalam agama Islam sendiri kerana ia bertentangan dengan matlamat menyambung silaturahim.
Perunding motivasi, Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad berkata, Islam hanya mengajar hamba-NYA untuk taaruf (berkenalan) dengan cara lebih baik tanpa perlu menyakiti atau menyebabkan ketidak selesaan terhadap individu lain.
Namun menurutnya, sesi taaruf itu telah disalah erti sehingga wujudnya ragging dan buli terutama di sekolah dan institut pengajian tinggi yang dianggap bertujuan mengajar pelajar baru (junior) menghormati pelajar lama (senior).
“Hal tersebut berlaku apabila terdapat sekelompok masyarakat beranggapan kelakuan negatif itu adalah normal apabila membesar dalam persekitaran yang seolah-olah membenarkan perkara itu dilakukan.
“Lambakan filem berunsurkan pergaduhan yang semakin banyak ditayangkan juga salah satu penyebab kejadian itu terus dilakukan kerana ada antara remaja masih tidak pandai menilai mana baik dan buruk,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai penyebaran video salah laku pelajar membabitkan kejadian buli sehingga menjadi viral di laman sosial kebelakangan ini.
Selain itu katanya, penerapan nilai-nilai agama itu amat penting dan perlu diambil serius oleh semua pihak jika mahu perkara tersebut diselesaikan.
“Sunah Rasulullah SAW perlu ditekankan sama ada di rumah atau sekolah kerana ia akan mendisiplinkan diri serta mendidik jiwa halus pelajar menjadi insan sempurna,” katanya.
Pakar Psikologi dan Kaunseling, Universiti Malaysia Terengganu, Prof Madya Ruhani Mat Min berkata, ragging atau buli adalah perlakuan salah yang terjadi ketika marah di samping tindakan yang tidak pernah dibenarkan dalam sistem pendidikan terutama ketika minggu suai kenal.
"Ragging hanya panggilan masyarakat. Selalunya minggu pendaftaran sekolah atau institut pengajian tinggi diberikan nama orientasi atau taaruf yang diisi dengan aktiviti lebih berfaedah bagi mengeratkan hubungan semua pelajar.
“Tambahan ragging selalunya akan terarah kepada buli dan ia tidak boleh diteruskan kerana keduanya menimbulkan ketidakselesaan kepada individu terlibat,” katanya.
Beliau mencadangkan Kementerian Pendidikan perbanyakan langkah pencegahan untuk mengelak kejadian sama berulang.
“Contohnya, giatkan persatuan pencegah jenayah di sekolah untuk didik pelajar bagi menjaga keamanan dan berdisiplin. Kempen anti buli juga boleh dipraktikkan sebagai ingatan," jelasnya.
0 comments:
Post a Comment