Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, October 14, 2014

RUMAH BERGEGAR SEPERTI KENA BOM


Omar (kiri) menceritakan kepada Salim (kanan) mengenai kejadian ribut yang berlaku hingga merosakkan syiling rumahnya.

Johor Bahru – "Saya nampak awan hitam datang dari arah depan rumah sebelum tiba-tiba hujan lebat disertai ribut,” cerita seorang penduduk Taman Kobena, di sini.

Pesara, Omar Mohd Said, 66, berkata demikian bagi menceritakan detik cemas ketika kawasan perumahannya dilanda ribut kira-kira 4.30 petang, kelmarin.

Menurutnya, ketika kejadian dia hanya bersama isteri selepas pulang menunaikan solat Asar di masjid dan tidak menyangka berlaku ribut kerana cuaca sebelum itu panas terik.

Ujarnya, kejadian itu menyebabkan kerosakan teruk pada rumah teres dua tingkatnya itu sehingga kira-kira 20 atap rumah terpaksa dibaikpulih, manakala siling mengalami kebocoran hingga seluruh kediaman dimasuki air.

“Saya sangat takut kerana rumah saya seperti kena baling bom."

“Ketika itu pokok besar di hadapan rumah bergoyang kuat seperti hendak tumbang, saya hanya mampu laungkan azan dalam hati dan berdoa kami selamat,” katanya.

Omar berkata, kawasan perumahan berkenaan sering dilanda ribut, namun kejadian kelmarin paling teruk pernah dialami.

Lebih 100 rumah rosak

Sementara itu, Ketua Kampung Kempas, Salim Daud berkata, kejadian ribut berkenaan menyebabkan kira-kira 62 kediaman di kawasan itu rosak termasuk 47 rumah di Taman Kobena.

“Setakat ini kira-kira 47 di Taman Kobena dan 15 rumah di Taman Dahlia dilaporkan rosak berdasarkan pemantau yang dibuat.

“Selain itu tiga blok di flat Taman Cempaka dan tiga blok di flat Taman Melur serta Kenangan turut rosak di bahagian bumbung,” katanya.

Katanya, kakitangan dari agensi kerajaan berkaitan serta wakil pemimpin setempat telah membuat pemantauan di kawasan terjejas bagi menghulurkan bantuan kepada mangsa yang terlibat.

Terdahulu, kejadian ribut berkenaan turut dilaporkan menyebabkan insiden bumbung jejantas sepanjang 40 meter berhampiran Taman Kobena, di Lebuhraya Perling-Pasir Gudang tercabut dan terjatuh mengenai empat kenderaan yang sedang menggunakan laluan berkenaan.

Larang papan tanda di jejantas

Manakala, Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed meminta kerajaan mengkaji semula pembinaan jejantas di lebuh raya Pasir Gudang serta memeriksa semua jejantas sedia ada di laluan berkenaan bagi mengelakkan kejadian bumbung runtuh jejantas di Taman Kobena berulang lagi.

Katanya, beliau bersyukur kerana kejadian semalam, tidak mengakibatkan sebarang kematian dan ia adalah petanda betapa perlu ada penyelenggaraan terhadap jejantas di Lebuhraya Pasir Gudang.

“Jumlah trafik di Lebuhraya Pasir Gudang amat tinggi dan nasib baik kejadian semalam (kelmarin), tidak mengakibatkan sebarang kehilangan nyawa, jadi perlu segerakan pemantauan dan penyelenggaraan pada semua jejantas.

“Pemantauan perlu dilakukan berikutan mungkin ada struktur yang tidak kukuh kerana menggunakan bahan murah dan ditambah dengan bumbung serta papan tanda iklan, ia menyebabkan mudah berlaku tragedi seperti yang berlaku semalam,” katanya.

Nur Jazlan berkata, beliau juga mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan untuk tidak meletakkan papan tanda pada bumbung jejantas atau tidak menggunakan bumbung sama sekali.

Katanya, daripada aspek keselamatan, penggunaan papan tanda pada jejantas atau bumbung menyebabkan penggunanya terdedah kepada pelbagai jenayah disebabkan ia terlindung.

Beliau berkata, satu pelan tindakan kecemasan juga perlu dirangka Pejabat Daerah Johor Bahru membabitkan agensi kerajaan seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Pihak Berkuasa Tempatan dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi menangani kejadian yang sama jika berulang semula.

“Kejadian semalam, menyaksikan tindakan pemantauan daripada jabatan kerajaan amat lambat, menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas yang teruk,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Abd Latiff Bandi berkata, kerajaan negeri mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) menyemak semua papan tanda di jejantas dan bangunan secara menyeluruh.

Beliau berkata, papan tanda yang tidak mengikut piawaian ditetapkan perlu diturunkan serta-merta.

“Kerajaan negeri memandang serius soal keselamatan rakyat.

“Mesyuarat khas bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) dan jurutera perunding yang terbabit dalam meluluskan memberi kelulusan kepada permohonan papan tanda itu juga akan diadakan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

“Kerajaan negeri memang menetapkan pemeriksaan berkala iaitu dua tahun sekali terhadap penyelenggaraan struktur jejantas selain dua minggu sekali untuk penyelenggaraan seperti lampu dan lain-lain,” katanya di sini semalam.

Pengarah (Struktur) Pusat Penyelidikan Pembinaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Ir Dr Mahmood Md Tahir menjelaskan punca bumbung jejantas tercabut boleh disahkan kerana kegagalan reka bentuk dan sambungan.

Katanya, reka bentuk papan tanda tidak mempunyai laluan angin itu turut menjadi punca ia tercabut akibat daya angin yang terlampau kuat sehingga mampu mencecah sehingga 100 kilometer sejam sehingga menghasilkan tekanan hampir dua tan terhadap struktur berkenaan.

“Papan tanda iklan di jejantas itu didapati terlalu besar sehingga jejantas yang dibuat terlebih dahulu itu tidak dapat menampung reka bentuk papan tanda berkenaan.

“Kebanyakan kontraktor pembinaan terlepas pandang atau tidak mengambil kira faktor bebanan tambahan dan reka bentuk contohnya papan tanda iklan yang dipasang selepas terbinanya jejantas,” katanya pada sidang media di Fakulti Kejuruteraan di UTM, di sini.

0 comments:

share2