Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, September 21, 2014

RAMAI JEMMAH HAJI TERKENA JANGKITAN PARU-PARU


Makkah - Kebanyakan jemaah haji yang jatuh sakit semasa di Tanah Suci adalah disebabkan masalah jangkitan paru-paru dan saluran pernafasan dengan ramai daripada mereka berusia antara 50 dan 70 tahun.

Timbalan Ketua Rombongan Haji (Perubatan), Dr Saiful Azlan Shariff bagaimanapun berkata, tiada jemaah yang dijangkiti penyakit berjangkit dan tahap kesihatan rata-rata jemaah haji berada dalam keadaan baik.

Klinik dan pusat rawatan TH di Tanah Suci, sehingga kini telah merawat sebanyak 5,000 jemaah sebagai pesakit luar dan 80 lagi telah dimasukkan ke pusat rawatan, katanya kepada media Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata semua jemah haji telah dinasihat supaya mendapatkan rawatan di 10 buah klinik, termasuk dua di Madinah, sekiranya demam agar rawatan dapat diberikan segera.

Beliau berkata, jika didapati jemaah haji memerlukan rawatan selanjutnya mereka akan dihantar ke empat pusat rawatan TH, termasuk satu di Madinah untuk pemeriksaan lanjut oleh pakar-pakar perubatan Malaysia.

"Jika dapati pesakit masih memerlukan perkhidmatan rawatan lebih canggih,mereka akan dirujuk ke hospital Arab Saudi, seperti pembedahan dan sebagainya," katanya.

Dr Saiful Azlan berkata, TH telah menyediakan empat pusat rawatan iaitu Hospital Aziziah, Pusat Rawatan Shisya dan Pusat Rawatan Abraj Janadiriyyah di Makkah serta Pusat Rawatan Dar Siba di Madinah, selain 10 klinik di setiap pusat penginapan termasuk di dua di Madinah.

Buat pertama kali juga, Tabung Haji (TH) pada tahun ini menyediakan perkhidmatan pergigian untuk jemaah haji memandangkan kos rawatan pergigian di tanah suci sangat mahal, katanya.

Klinik pergigian itu dikendalikan seorang doktor pakar pergigian yang ditempatkan di Pusat Rawatan Shisya di sini. Ia diwujudkan berikutan permintaan jemaah haji sebelum ini, katanya.

Dr Saiful Azlan berkata dari segi perkhidmatan kesihatan lain, pihaknya telah menjadikan Pusat Rawatan Shisya sebagai hospital khas untuk kes jangkitan paru-paru, komplikasi kencing manis dan ortopedik untuk kes-kes patah tulang dan sebagainya.

Sementara Hospital Aziziah pula, bagi mengendalikan kes-kes berkaitan kardiovaskular, psikiatrik dan gastroenteritis manakala Pusat Rawatan di Abraj Al-Janadiriyyah dijadikan wad am serta tempat menyaring pesakit untuk rujukan ke Pusat Rawatan Shisya atau ke Hospital Aziziah, tambahnya.

Beliau berkata, tahun ini pusat rawatan TH mempunyai sebanyak 250 petugas termasuk 50 doktor dan doktor pakar, jururawat, penolong pegawai perubatan, jurux-ray, fisoterapi dan pegawai farmasi.

Beliau berkata TH juga mewujudkan pelbagai unit pusat rawatan yang diketuai pakar-pakar perubatan dari Malaysia termasuk kemudahan bilik X-ray, makmal serta 15 buah ambulans, termasuk dua di Madinah.

Beliau berkata setiap tahun, Kementerian Kesihatan Arab Saudi akan membuat pemeriksaan terhadap kelengkapan di pusat perubatan TH termasuk di Madinah.

Mereka akan memeriksa dari segi peralatan hospital, jumlah petugas serta ubat-ubatan yang dibawa bagi memastikan pusat rawatan perkhidmatan kesihatan TH mempunyai kelengkapan mencukupi bagi mengendalikan jemaah haji Malaysia di sini.

"Hanya selepas mendapat kelulusan dan permit dari Kementerian Kesihatan Arab Saudi, baru pusat perubatan TH dapat beroperasi.

"Sehingga hari ini, kita tidak mempunyai masalah dengan Kementerian Kesihatan Arab Saudi dan pasukan kita merupakan pasukan yang terbaik," katanya.

Sementara itu, beliau berkata TH menempatkan dua pembimbing ibadah lelaki dan perempuan di setiap pusat rawatan bagi membantu jemaah haji yang menerima rawatan.

Di Pusat Rawatan Shisya, pembimbing ibadah Zanariah Buang, yang merupakan guru agama di Sekolah Sukan Negeri Johor Tun Hussein Onn, Kluang, Johor berkata antara tanggugjawab mereka adalah untuk membimbing para pesakit dalam ibadah haji, terutama mereka yang dimasukkan ke hospital dalam keadaan berihram.

"Kami juga akan mengiringi pesakit semasa wukuf, bagi memastikan mereka dapat menjalankan ibadah haji dengan sebaik-baiknya," katanya yang turut tinggal di pusat rawatan itu sepanjang operasi haji ini.

Rakan sejawatannya Mohd Nizar Ismail, guru agama Sekolah Menengh Kebangsaan Bakai, Kuala Ketil, Kedah, yang pertama kali menjadi pembimbing ibadah TH berkata mereka bukan sahaja turut memberi penerangan mengenai ibadah haji, tetapi turut sentiasa menenangkan perasaan para jemaah yang sakit dengan doa-doa dan sebagainya.

Bagi pesakit Che Yah Sulaiman, 69, dari Taiping, Perak yang datang berseorangan untuk mengerjakan haji berasa bertuah kerana beliau yang menghadapi masalah pernafasan dijaga dengan baik oleh para petugas di pusat rawatan berkenaan.

Sementara Ismail Abu Samad, 65, yang juga mengalami masalah pernafasan berkata petugas pusat rawatan itu memberinya layanan yang cukup baik.

"Pada saya perkhidmatan di sini, sama seperti perkhidmatan hospital Malaysia," katanya yang berasal dari Muar, Johor.

Sardon Ibrahim, 61, dari Batu Pahat, Johor, pula yang datang berseorangan berkata layanan yang diterimanya amat memuaskan dan beliau yang menghidap kencing manis kini, mendapatkan rawatan di pusat itu, akibat terjatuh ketika di Madinah dan mengalami retak tulang kaki.

0 comments:

share2