Penerbangan MH17 berada di bawah kawalan trafik udara (ATC) Ukraine semasa pesawat itu tiba-tiba terputus hubungan.
Menurut laporan awal siasatan nahas MH17 yang dikeluarkan Lembaga Keselamatan Belanda, semalam, perbualan antara MH17 dan ATC disahkan berakhir pada detik 1.19 petang waktu tempatan.
Menurut laporan Belanda itu, pada jam 1.08 petang waktu tempatan, MH17 melaporkan kepada ATC Ukraine, dikenali sebagai Dnipro Radar (DNP) bahawa ia sedang terbang pada ketinggian 33,000 kaki.
Selepas memeriksa melalui telefon (TEL) dengan pusat kawalan di Rusia, Rostov Control (RST), Ukraine membenarkan MH17 meneruskan penerbangan melalui titik rujukan dinamakan RND.
Namun, kebenaran itu tidak dibacakan semula oleh kru MH17 kepada ATC Ukraine sebagai pengesahan penerimaan.
Menurut transkrip yang disiarkan dalam laporan itu, hubungan radio terakhir dibuat kru MH17 bermula pada jam 1.19 petang dan berakhir pada 1.19 petang.
Sejurus melepasi jam 1.20 petang, kedua-dua radar Ukraine dan Rusia terputus hubungan dengan MH17.
Sehingga jam 1.35 petang, DNP menghubungi MH17 beberapa kali, tetapi tiada jawapan diterima.
Kru pesawat lain yang melalui kawasan itu turut ditanya oleh DNP sama ada mereka dapat melihat MH17 dengan mata kasar atau melalui instrumen pesawat mereka.
Menurut kru pesawat lain itu, MH17 tidak kelihatan dan alat dalam pesawat tidak menunjukkan kedudukan MH17.
Namun, tiada panggilan kecemasan diterima daripada pesawat itu pada bila-bila masa oleh ATC tersebut.
Maklumat pengawasan ATC yang direkodkan juga menunjukkan tiga penerbangan komersil lain melalui ruang udara sama dengan MH17 semasa lingkungan waktu kejadian, dengan dua daripada pesawat lain itu terbang ke arah timur dan satu ke arah barat.
Pada detik MH17 terputus hubungan, jarak antara MH17 dengan pesawat lain yang paling dekat ialah kira-kira 30 kilometer namun analisis lanjut masih dijalankan.
0 comments:
Post a Comment