Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, September 10, 2014

TIGA AHLI KUMPULAN KESULTANAN SULU DITAHAN

Shah Alam – Tiga individu yang dipercayai menyertai kumpulan Kesultanan Sulu ditahan di pusat pemulihan dalam tempoh dua tahun bermula semalam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, ketiga-tiga individu yang dikenali sebagai Abu Bakar Jayari, Zainuddin Mislani dan seorang warga Filipina, Kassim Ibrahim ditahan pada 22 Julai lalu di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Akta297).

"Kita menahan kesemua individu tersebut kerana dipercayai menyertai satu pertubuhan yang menyalahi undang-undang bagi tujuan membawa keluar Sabah dari Persekutuan Malaysia.

"Mereka juga dipercayai berjaya merekrut ahli baru untuk menyertai kumpulan tersebut sebagai persiapan awal menuntut Sabah bagi pihak Kesultanan Sulu," katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Dalam kenyataan Khalid sebelum ini, pihaknya sentiasa menerima maklumat dan risikan dari masa ke semasa berhubung tindakan kumpulan pengganas Sulu itu.

Beliau turut menegaskan kewujudan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) juga menunjukkan kesiapsiagaan pasukan keselamatan berada pada tahap optimum sekali gus bersedia menangani sebarang ancaman yang cuba mengganggu gugat kedaulatan dan keamanan negara.

Esscom merupakan kawasan kawalan keselamatan yang meliputi 1,400km kawasan pantai timur Sabah bermula dari Kudat sehinggalah ke Tawau.

0 comments:

share2