Shah Alam – Siapa yang akan dipilih sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim?
Semakin hampir dengan tarikh angkat sumpah yang sudah pun disahkan Istana Selangor iaitu Selasa, 23 September, teka-teki mengenai siapa yang akhirnya jadi pilihan kian hangat diperkatakan.
Ini sudah pasti kerana isu pelantikan MB Selangor kali ini bukan seperti biasa, diselubungi kontroversi sejak berbulan-bulan dan tempoh yang begitu lama sudah pasti menyebabkan ramai orang di dalam dan di luar Selangor tertunggu-tunggu kesudahannya.
Setakat ini, nama disebut-sebut ialah Mohamed Azmin Ali, Iskandar Abdul Samad, Sallehen Mukhyi dan Dr Ahmad Yunus Hairi.
Anehnya, daripada senarai ini, nama Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak pula diterima sebagai pilihan hinggakan seorang penganalisis politik terkenal dari sebuah universiti tempatan mengatakan: “kalaulah tiba-tiba Dr Wan Azizah yang dipilih (oleh Sultan Selangor), saya akan terkejut besar!”
Dalam pada itu, seorang pemerhati lain pula berpendapat, Dr Yunus paling layak antara nama yang disebut itu kerana beliau bukan sahaja anak kelahiran Selangor, malah seorang profesional dan mempunyai latar belakang agama.
“Bukan kata calon lain tidak bagus, Iskandar pun ada banyak pengalaman sebagai exco, begitu juga Ustaz Sallehin tetapi pakej yang dimiliki oleh Dr Yunus lebih kuat,” katanya.
Penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Mohd Fuad Mat Jali berkata, pelantikan wakil Pas seperti Iskandar sebagai Menteri Besar Selangor itu dilihat mampu menamatkan krisis yang berlaku dalam PR.
“Saya ramal mungkin Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah akan memilih calon Pas kerana parti ini dilihat mampu meredakan suasana dan boleh menyelesaikan kemelut tersebut.
“Iskandar juga pemimpin yang bukan saja berkebolehan, malah disukai rakyat dan disenangi pihak istana,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Beliau beranggapan sekiranya Sultan Selangor memilih Mohamed Azmin, kemungkinan besar akan mengeruhkan lagi keadaan sedia ada.
“Sultan mungkin merasakan pelantikan Mohamed Azmin akan berlaku keretakan dalam PR akibat ketidakpuasan hati Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana tidak boleh menerima hakikat sebab Dr Wan Azizah tidak dilantik.
“Kalau ini yang difikirkan Sultan Selangor, potensi calon Pas untuk menerajui Selangor adalah lebih cerah,” katanya.
Jelasnya, Pas ada banyak kelebihan dan peluang lebih tinggi untuk calon mereka dilantik sebagai menteri besar memandangkan parti itu sentiasa akur dengan kehendak dan keputusan yang dibuat oleh sultan.
Bagaimanapun, PKR pula sebaliknya dan gagal menghormati titah baginda.
“Saya meramal begitu sebab sultan tidak akan memilih parti yang tidak menghormati baginda. Kalau sultan memikirkan apa yang dilakukan PKR itu sudah pasti baginda tidak yakin dengan calon mereka, akhirnya Pas akan menjadi pilihannya.
“Ini kerana Pas menghormati sultan, akur dengan kehendak istana dan sebagainya,” katanya.
Mohd Fuad memberitahu, beliau sendiri tidak dapat menduga bagaimana Sultan Selangor berfikiran, namun yakin baginda berhati-hati dalam memilih pengganti Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan PR agar menerima keputusan pelantikan menteri besar dengan hati terbuka, tidak kira individu itu dari Pas ataupun PRK.
“Tidak salah kalau kita akur dengan keputusan baginda demi memastikan pentadbiran Selangor diurus tadbir dengan baik,” katanya.
0 comments:
Post a Comment