Johor Bahru - Pertubuhan Penyatuan Pembelaan Melayu Malaysia (PPPMM) menuntut ketegasan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya ke atas individu yang menghina Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Presidennya, A Rahman Mahadi berkata, kelancangan individu dikenali sebagai Faizal Sharil Rauf menerusi laman sosial Facebook miliknya tidak wajar dipandang sepi oleh pihak berkuasa.
“Ia satu penghinaan terhadap Sultan Johor, institusi Diraja Johor, rakyat Johor khususnya bangsa Melayu itu sendiri. Tindakan tegas perlu diambil kepada pihak yang menghina dan biadab terhadap raja-raja Melayu.
“Provokasi seperti ini tidak seharusnya berlaku dan undang-undang sedia ada perlu diambil ke atas inividu terbabit sebagai pengajaran kepada mereka yang lain agar tidak terus berulang,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kes terbaharu penghinaan terhadap Sultan Johor yang dilakukan individu tidak bertanggungjawab yang mula menjadi viral di laman sosial sejak beberapa hari lalu.
A Rahman berkata, kepimpinan kerajaan pada hari ini diingatkan agar memandang serius kepada perbuatan menghina, mencemuh dan memperlekeh raja-raja Melayu yang rata-ratanya melibatkan orang Melayu sendiri.
“Kami ingin mengingatkan orang Melayu di negara ini supaya sentiasa sedar asal-usul mereka dan sentiasa rujuk Perlembagaan Negara.
“Orang Melayu dan kaum lain di negara ini dinasihatkan supaya tidak sesekali memperlekehkan institusi raja yang menjadi payung kepada seluruh rakyat negara ini,” katanya.
Selain itu, beliau meminta kerajaan melihat sendiri undang-undang lese majeste yang dikuatkuasakan di Thailand.
Katanya, lese majeste memperuntukkan hukuman penjara tiga hingga 15 tahun jika sabit kesalahan ke atas mana-mana individu yang membuat kenyataan atau komen berbaur fitnah atau penghinaan ke atas konstitusi monarki Thailand termasuk raja, permaisuri dan kerabat diraja.
“Berdasarkan pengetahuan saya, Kerajaan Thailand sendiri akur untuk menerima lese majeste dan pihak berkuasa negara berkenaan begitu tegas dalam menjalankan penguatkuasaan ke atas individu yang menghina Raja Thailand,” katanya.
Difahamkan, negara-negara Barat menyifatkan lese majeste amalan Thailand sebagai satu bentuk undang-undang tidak relevan, hakikatnya terdapat empat negara Eropah yang masih menguatkuasakan undang-undang itu iaitu Denmark, Belanda, Norway dan Sepanyol.
0 comments:
Post a Comment