Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, September 1, 2014

KUANTAN: JANGAN BERBALAH SESAMA SENDIRI


Kuantan - Semua ahli Umno Bahagian Paya Besar diingatkan supaya tidak berbalah sesama sendiri sebaliknya mengukuhkan parti itu ke arah yang lebih baik bagi menghadapi PRU14.

Ketua Umno Bahagian Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail berkata, setiap ahli di peringkat sayap, Wanita, Pemuda dan Puteri harus berfikiran matang agar disegani.

Menurutnya, perbalahan yang timbul bukan hanya merugikan tetapi juga membuatkan pihak tertentu mengambil ruang untuk mencari keburukan.

“Kita ibarat keluarga besar yang adakalanya tidak sama pendapat, namun situasi itu boleh diselesaikan secara berhemah.

“Kita tidak perlu berbalah sesama sendiri kerana itu akan melemahkan parti kita,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Paya Besar di Bukit Gambang Resort, di sini.

Hadir merasmikan, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim. Turut hadir, Ketua Wanita UMNO bahagian itu, Datuk Dr Siti Zaharah Sulaiman.

Abdul Manan berkata, setiap ahli Umno perlu berjuang dengan ikhlas selain menerima perubahan yang berlaku dalam kepimpinan.

Beliau berharap, semua perwakilan akan memberikan idea bernas dalam mesyuarat yang diadakan untuk kebaikan parti.

“Kita memerlukan idea terbaik untuk memantapkan kepimpinan Umno Bahagian Paya Besar dan ketepikan kelemahan yang ada untuk kebaikan bersama,” katanya.

Pada mesyuarat itu, lebih 700 perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri hadir.

0 comments:

share2