Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, September 10, 2014

GILIRAN PKR MOHON AMPUN PADA SULTAN SELANGOR


Anwar Ibrahim

Shah Alam - PKR memohon ampun daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sekiranya tindakan partinya yang mematuhi Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor dan amalan konvensyen mengguris perasaan Baginda.

Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan hari ini turut mengulangi pendirian parti itu untuk menjunjung kedaulatan Raja-raja Melayu dan institusi raja berperlembagaan.

“Merujuk kepada kenyataan media istana Selangor yang ditandatangani oleh Setiausaha Sulit Kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan semalam, pihak kami akan terus merafak sembah dan memohon keampunan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan seandainya keputusan kami mematuhi Undang-undang Tubuh Negeri Selangor dan amalan (“convention”) sejak 1957 menyebabkan terguris perasaan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan.

PKR mengulangi pendirian untuk menjunjung kedaulatan Raja-raja Melayu dan institusi raja berperlembagaan,” katanya yang dipetik dari satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, rakan PKR, DAP telah memohon ampun kepada Sultan Selangor kerana parti itu telah menyebabkan Baginda berasa dukacita terhadap keputusan mengemukakan hanya satu nama bagi calon menteri besar baharu.

Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng bagaimanapun berkata, meskipun parti itu gagal memenuhi permintaan baginda supaya mengemukakan lebih dua nama bagi jawatan itu, namun pihaknya sentiasa setia dan mempertahankan institusi Raja Berperlembagaan itu.

“Saya ingin memohon ampun kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor kerana telah menyebabkan tuanku merasa dukacita terhadap keputusan parti DAP mengemukakan nama Adun Kajang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sahaja sebagai calon Menteri Besar Selangor yang baharu.

“Keputusan DAP itu telah dicapai selepas rundingan dengan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa ia mengikut konvensyen yang dituruti sebelum ini berkaitan dengan lantikan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor pada 2013,” katanya.

Semalam, Sultan Selangor melalui Setiausaha Sulitnya menzahirkan rasa dukacita dengan tindakan PKR dan DAP yang ingkar dengan titah baginda supaya parti-parti dalam PR mengemukakan lebih dua nama bagi calon jawatan menteri besar.

Datuk Mohamad Munir Bani berkata, tindakan PKR dan DAP itu menggambarkan kebiadaban kepada institusi raja dan merupakan satu perbuatan derhaka kepada titah baginda.

Menurutnya, Sultan Sharafuddin telah menerima senarai calon menteri besar daripada ketiga-tiga parti dalam PR namun hanya Pas yang akur titah baginda dengan menyenaraikan tiga nama.

0 comments:

share2