Biarpun ditekan oleh Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng supaya membuat keputusan segera mengenai pendirian mereka dalam isu Menteri Besar Selangor, PAS tetap akan menunggu keputusan mesyuarat pada 17 Ogos depan.
Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata selepas mesyuarat itu, barulah ada pendirian akan dibuat mengenai kedudukan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Sebelum ini juga, Majlis Syura PAS telah membuat pendirian menyokong Abdul Khalid ketika itu beliau masih belum dipecat Parti Keadilan Rakyat (PKR).
“Kena tunggu mesyuarat 17 Ogos baru kita boleh buat pendirian,” kata Mustafa memetik laporan The Malaysian Insider.
Dalam kenyataan Lim hari ini, beliau meminta PAS menyatakan pendirian mereka segera ekoran tindakan UMNO memberikan sokongan kepada Abdul Khalid untuk kekal sebagaiMenteri Besar Selangor.
“Jika PAS berkata mereka tidak bersama Umno, ini akan membantu menjelaskan PAS menyokong menggantikan Khalid sebagai menteri besar Selangor, tetapi berhasrat menunggu hingga 17 Ogos bagi memutuskan sama ada menyokong calon pengganti pilihan PKR.
“Jika PAS gagal menjelaskan hal ini, ia hanya akan menghakis sokongan popular untuk Pakatan Rakyat dan merosakkan keyakinan pengundi bukan sahaja di Selangor tetapi seluruh negara,” kata Lim.
Mengenai kerajaan negeri yang sedia ada, Mustafa berkata PAS telah mengarahkan kesemua empat ahli Exco dari partinya agar terus mempertahankan kerajaan Selangor sehingga keputusan baru dibuat.
“Saya sudah membuat kenyataan mengenainya dan Khalid tahu semua Exco PAS akan sokongnya buat masa ini untuk mempertahankan kerajaan yang ada.
“Ini kerana, Selangor memerlukan sekurang-kurangnya empat Exco untuk membentuk kerajaan,” kata Mustafa.
Hari ini, khabar angin tersebar tidak ada seorang pun Exco kerajaan negeri Selangor hadir dalam perjumpaan dengan Khalid menjelang mesyuarat Exco esok.
“Mereka tak hadir pun saya rasa Khalid dah tahu semua Exco PAS sokong dia. Jadi, tidak hadir pun tak apa,” kata Mustafa.
Sebelum ini dalam kenyataannya, Khalid meminta Exco Selangor menyatakan sokongan kepada beliau.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang itu berkata, beliau akan bertemu dengan 10 Exco hari ini untuk mengetahui pendirian mereka, sama ada mahu meneruskan tugas atau letak jawatan.
Khalid berkata, beliau yakin masih mampu meneruskan pentadbiran seperti biasa selepas mendapat sokongan empat Exco PAS, iaitu Sallehen Mukhyi, Dr Ahmad Yunus Hairi, Dr Halimah Ali dan Iskandar Abdul Samad.


0 comments:
Post a Comment