Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, July 12, 2014

TERTIPU BELI IPHONES 4S ONLINE



RAUB - Dek kerana teruja dengan Iphone 4S berharga RM1,100 yang dijual di laman Instagram, seorang wanita berusia awal 20an akhirnya kerugian sebanyak RM770 apabila dia ditipu ketika melakukan urusan jual beli di laman sosial itu.

Ketua Polis daerah, Superintendan Wan Mohd Samsudin Wan Osman berkata, kejadian pada 26 Jun lalu itu berlaku ketika mangsa menjumpai tawaran jualan dua telefon pintar itu pada harga yang murah ketika melayari laman Instagram miliknya.

Menurutnya, mangsa yang berminat membeli telefon pintar itu kemudian bertindak menghubungi suspek dan diminta membayar wang deposit sebanyak 70 peratus daripada RM1,100.

“Mangsa membuat pembayaran sebanyak RM770 ke dalam satu akaun di sebuah bank di daerah ini atas nama Muhammad Khairi.

“Setelah bayaran dibuat, mangsa menghubungi suspek dan dimaklumkan akan membuat penghantaran melalui pos keesokan harinya,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, sehingga tiba hari dijanjikan, barang terbabit masih belum tiba dan suspek juga gagal dihubungi.

“Apabila merasakan dirinya ditipu, mangsa membuat laporan di balai polis berdekatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan jika disabit kesalah, suspek boleh dihukum penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dan sebatan,” katanya.

Beliau dalam pada itu menasihatkan masyarakat agar jangan mudah tertipu dengan jual beli barangan pada harga lebih murah daripada sepatutnya dan disaran membuat pembelian barang secara tunai kerana langkah itu lebih selamat.



0 comments:

share2