Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, July 12, 2014

SALURKAN PENJIMATAN KOS GST KEPADA PENGGUNA



KUALA LUMPUR - Peruncit berdaftar yang mendapat penjimatan kos daripada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) harus menyalurkannya kepada pengguna jika tidak ia akan menjadi keuntungan yang tidak munasabah, kata Penolong Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia daripada Bahagian GST, Annie Thomas.

"Oleh kerana peruncit berdaftar layak menuntut cukai input, GST bukan satu kos kepada peruncit berdaftar dan justeru itu, kos barang atau perkhidmatan sebelum mengenakan GST tidak seharusnya termasuk GST yang dikenakan ke atas input.

"Penokokan harga di tempat jualan perlu dilakukan pada kos sebenar, bukan pada harga pertimbangan kepada pembekal, yang mana adalah kaedah yang tidak betul," katanya pada Persidangan GST Kebangsaan 2014, di sini, hari ini.

Bahagian GST ditanggung yang dituntut sebagai cukai input perlu ditolak daripada harga barang yang dibekalkan kepada peruncit berdaftar sebelum peruncit berdaftar menokok nilai kepada kos jualan.

Ini penting kerana peruncit berdaftar telah membuat tuntutan amaun GST bagi pembelian barangan tersebut dan oleh itu GST bagi input bukan suatu kos kepadanya.

Annie berkata, peruncit tidak berdaftar akan berdepan kesukaran untuk bersaing dengan peruncit berdaftar kerana kos mereka lebih tinggi.

"Peruncit tidak berdaftar tidak boleh menuntut cukai input, jadi kos mereka akan lebih tinggi berbanding peruncit berdaftar.

"Keuntungan mereka juga akan kurang berbanding mereka yang berdaftar kerana mereka tidak boleh menuntut cukai input," katanya.

Peruncit berdaftar perlu berbincang dengan pembekal dan pelanggan mereka mengenai penjimatan kos, kata Annie, sambil menambah mereka harus meminta pembekal untuk mendaftar sekiranya pendapatan mereka mencecah paras had yang ditetapkan kerana wajib bagi mereka untuk mendaftar.

Mana-mana peruncit yang membuat penawaran boleh dicukai (contoh penawaran kadar cukai standard dan sifar) di mana perolehan jualan setahun melebihi RM500,000 layak untuk mendaftar, jelas Annie.

Bagaimanapun, mana-mana peruncit Yang perolehan jualannya tidak mencapai paras RM500,000.00 boleh memilih untuk mendaftar secara suka rela, katanya.

Annie merupakan penceramah bagi sesi yang bertajuk, "Impak GST ke atas peruncitan", di persidangan yang dianjurkan oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Tax Advisory & Management Services Sdn Bhd.

Sesi itu dipengantarakan oleh Pemangku Timbalan Ketua Pengarang Bernama Mikhail Raj Abdullah.



0 comments:

share2