Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, July 13, 2014

PENGANALISIS: KERJASAMA KHALID -NAJIB RELEVAN

Penganalisis: Kerjasama Khalid-Najib relevan


SHAH ALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sememangnya perlu mengadakan kerjasama rapat demi menyelesaikan permasalahan dan isu yang membelenggu kehidupan rakyat.

Ketua Kluster Majlis Perpaduan Nasional (MPN), Prof Dr Mansor Mohd Noor berkata, mana-mana kerajaan perlu menolak sentimen parti masing-masing demi mencari langkah penyelesaian dan penambahbaikan yang dirasakan perlu dalam mengurus tadbir negara.

“Kerjasama antara kedua-duanya adalah kebaikan untuk rakyat dan negara, kalau kita mahu bergerak ke arah sebuah negara yang maju, kita harus memberi peluang dan jalan kepada pemimpin dari parti masing-masing untuk membincang serta menyampaikan ideologi masing-masing.

“Ada perkara yang memerlukan kerjasama kedua belah pihak demi rakyat, kestabilan dan kemajuan negara, jika mereka mahu bekerjasama untuk menyelesaikan masalah rasuah atau masalah guna kuasa ialah satu langkah baik dan sangat relevan,” katanya kepada Sinar Harian Online.

Menurutnya lagi, Malaysia akan menjadi negara contoh pada mata dunia jika kuasa politik di tangan pemimpin dapat digunakan dengan telus dan tepat.

“Rakyat sudah bosan dengan pemimpin yang mencampuradukkan masalah isu semasa dengan masalah politik mereka. Sebagai contoh, MH370 dan masalah dalam sistem pendidikan dipolitikkan, masalah sebegini memerlukan kerjasma antara kerajaan Persekutuan dan pihak kerajaan negeri,” katanya lagi.

Sehubungan dengan itu, gesaan harus dibuat kepada kedua-dua parti untuk lebih berani dalam mengambil langkah bersama dalam membincangkan permasalahan dan isu semasa.

Sementara itu, Pensyarah Program Hubungan Antarabangsa Universiti Malaysia Sabah, Prof Madya Dr Mohd Nor Yazid menyifatkan kerjasama yang mungkin berlaku antara Khalid dan Najib adalah tidak mustahil memandangkan kedua-dua parti mementingkan keadilan dan hak sama rata antara semua kaum yang ada di negara ini.

“Najib dan Khalid mempunyai unsur kepimpinan yang sama rata dari segi politik dan kerjasama antara keduanya adalah tidak mustahil,” katanya.

Mengulas lanjut, Khalid mungkin harus berdepan dengan pimpinan parti PR yang menentang hubungan kerjasama antara beliau dan pihak Umno.

“Mungkin PR tidak boleh terima kerjasama yang diadakan antara kedua-dua pemimpin tersebut, namun ianya tidak harus menjadi satu kebimbangan buat parti tersebut kerana kerjasama tersebut hanya berlaku di atas dasar kepentingan rakyat,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, kesemua pemimpin harus berganding bahu demi mencari asas yang kukuh untuk bersatu dalam arena politik.

Sehubungan dengan itu beliau mencadangkan Najib mengadakan perbincangan pemimpin bersama cendekiawan Melayu demi merangka perancangan politik untuk jangka masa panjang.






0 comments:

share2