Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, July 10, 2014

PATIN PAHANG MASIH BERSIH


Sinar Harian siaran semalam.

Kuantan – Penduduk negeri ini tidak perlu gusar mengenai status ternakan ikan patin kerana melalui pemeriksaan dan pemantauan Jabatan Perikanan, ikan patin sedia ada bebas dari bahan haram ataupun tercemar.

Pengarah Perikanan Negeri, Adnan Hussein berkata, pihak jabatan juga belum menerima aduan daripada penduduk mengenai aktiviti tidak sihat penternak ikan di negeri ini.

Menurutnya, kebanyakan penternak yang berdaftar dengan Jabatan Perikanan mematuhi Akta Makanan 1983 iaitu hanya memberi makan dengan palet makanan berasaskan pertanian sahaja.

“Penternak ikan di negeri ini mempunyai identiti sendiri kerana kebayakan ikan diternak di dalam sangkar.

“Ia juga menjadi satu cara kepada penternak menjaga kualiti ikan patin dan juga ikan sungai yang lain di sangkar mereka.

“Rasa ikan yang dijual juga berlainan dengan ternakan ikan kolam di mana rata-rata pembeli bijak menilai kualiti ikan yang dibeli,” katanya.

Sehubungan itu, beliau turut mengalu-alukan aduan orang ramai sekiranya mempunyai maklumat mengenai ternakan ikan yang tidak menepati piawaian Jabatan Perikanan.

Adnan berkata, benih ikan yang diperoleh penternak datang dari pelbagai tempat sama ada dari Jabatan Perikanan sendiri ataupun pembekal swasta.

Beliau menjelaskan, tidak menjadi kesalahan kepada penternak untuk mengambil benih ikan dari tempat lain tetapi harus memikirkan mengenai kualiti ikan untuk jaminan pasaran mereka.

“Rata-rata penternak di sangkar Sungai Pahang seperti di Jerantut, Temerloh dan Bera menjaga kualiti ikan dengan memberi makan palet.

“Mereka juga mahu menjaga reputasi sendiri kerana jika persepsi masyarakat berubah terhadap rasa ikan mereka, perniagaan boleh jatuh bila-bila masa sahaja,” katanya.

Sebanyak 687 penternak ikan air tawar di 7,307 sangkar di negeri ini, manakala bagi penternak kolam air tawar, seramai 438 penternak di 1,195 kolam turut.

Bagi pengeluaran akuakultur pada tahun 2013, sebanyak 15,140 tan metrik bersamaan dengan RM177.1 juta dengan bilangan keseluruhan pengusaha di negeri ini seramai 1,309 orang.

0 comments:

share2