KUALA LIPIS - Walaupun tiga orang insan menghadapi saat getir akibat ditimpa musibah awal bulan lepas, tetapi kehadiran Ramadan tetap memberi signifikan malahan bersyukur apabila kerajaan negeri menzahirkan nilai keprihatinan lantaran menyumbangkan dana bantuan kecemasan sebanyak RM3,000 untuk keperluan kebajikan masing-masing.
Insan berkenaan, iaitu Mohd Suhaimi Kamaluddin dari Kampung Sungai Mun yang mengalami kecelakaan apabila rumahnya dihempap pokok, manakala Yusup Busu dari Kampung Bukit dan Ismawati Mohamed Nor dari Kampung Balik Gua, di sini, terbeban nasib yang sama apabila rumah masing-masing terbakar pada awal bulan lepas.
Penyampaian bantuan dana kecemasan kerajaan negeri telah disempurnakan oleh Adun Padang Tengku, Datuk Mustapa Long yang hadir ‘turun padang’ ke rumah mangsa di kampung berkenaan.
Hadir sama Penghulu Mukim Kechau, Amran Husin dan Ketua Cawangan UMNO Kampung Balik Gua, Yusof Mat.
Ismawati berkata, dia dan suaminya, Mazlan Mohamed bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan negeri khususnya wakil rakyat kawasan Padang Tengku kerana dapat menangani kebajikan keluarga dengan pantas apabila musibah, iaitu kediamannya terbakar.
“Dengan usaha beliau (wakil rakyat), kediaman saya dapat diperbaiki dengan cepat, manakala sumbangan ini dapatlah menampung membeli peralatan tambahan binaan dan keperluan kebajikan keluarga saya lebih selesa memeriahkan sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
“Keprihatinan kerajaan negeri menterjemahkan usaha kebajikan dan mengutamakan nilai kemanusiaan menerusi pemimpin setempat dan agensi kerajaan di sini amat kami hargai,” katanya.
Sementara itu, Mustapa berkata, pejabat khidmat masyarakat Dun Padang Tengku dan Parlimen Lipis cepat bertindak dengan memberi bantuan kebajikan keluarga itu apabila derita ditimpa musibah berkenaan.
“Kerajaan mempunyai dana bantuan kecemasan bencana alam, iaitu banjir, rumah terbakar, dihempap pokok dan musibah tertentu yang disumbangkan tanpa mengira kaum, agama dan kepercayaan politik.
“Saya yakin bantuan ini membolehkan keluarga berkenaan kembali selesa menjalani kehidupan serta dapat memeriahkan sambutan Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya.
Menurutnya, usaha serta keprihatinan menerusi bantuan itu sekali gus menepati aspirasi kerajaan Barisan Nasional (BN) negeri merealisasikan ruang lingkup bantuan untuk menangani masalah yang dihadapi oleh penduduk.
0 comments:
Post a Comment