Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, July 16, 2014

KDN PERCAYA NUR MISUARI DALANG SERANGAN DI PULAU MABUL


KDN percaya Nur Misuari dalang serangan terkini di Pulau Mabul

Kuching: Kementerian Dalam Negeri percaya bahawa bekas pemimpin Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro iaitu Nur Misuari ialah individu bertanggungjawab di sebalik serangan bersenjata terbaru di Pulau Mabul, Semporna yang telah mengorbankan seorang anggota polis manakala seorang lagi dikhuatiri diculik dan masih belum dapat dikesan.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, siasatan pihak keselamatan negara mendapati bahawa pelarian berkenaan menggunakan pelbagai taktik dan kumpulan upahan untuk menjalankan operasi serangan, rompakan dan culik yang terjadi di pantai timur negeri Sabah berkenaan.

Pencerobohan dan penculikan yang dilakukan oleh Nur Misuari dipercayai bagi mengumpul dana untuk kumpulannya.

“Dalam hal ini kita dapati beliau cuba mendapatkan semula pengaruh di selatan Filipina dan tidak mustahil dana yang dikutip melalui tebusan ini akan digunakan untuk menghidupkan kembali tentera upahannya,” kata Zahid.

Menyentuh berkenaan dengan ESSCom yang telah diambil alih polis pula, segala perjalanan berkenaan perkara tersebut adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan dan turut meminta agar masyarakat umum memberi kerjasama yang baik kepada pihak keselamatan agar sentiasa menyalurkan maklumat yang sahih kepada kerajaan demi kebaikan bersama.

Beliau turut menyatakan bahawa kerajaan Malaysia sedang bekerja rapat bersama dengan rakan rakan dari negara Filipina untuk menangani perkara berkenaan.

Pengerusi ESSCom Datuk Sri Panglima Musa Aman juga telah mengumumkan sembilan langkah SOP tambahan bagi SOP sedia ada serta SOP tambahan daripada KDN dan berharap agar semuanya mendapat sokongan dan dokongan rakyat yang ada di kawasan berkenaan.

Zahid berkata demikian pada majlis sidang media selepas menghadiri majlis berbuka puasa bersama agensi kementerian dalam negeri di Masjid Al Mujahiddin, Kuarters Polis Tabuan Jaya pada Selasa.

Turut hadir adalah Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wan Junaidi Tunku Jaafar, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan juga Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman.

0 comments:

share2