Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, July 13, 2014

BERA - POLIS EDAR RISALAH BENTERAS JENAYAH


Zul Haizal diiringi pegawai dan anggota polis mengedarkan risalah kepada pengunjung dan peniaga di Pasar Ramadan, dekat Sini, semalam.


BANDAR BERA - Kehadiran pegawai dan anggota polis di Pasar Ramadan Bandar Kerayong bukan sekadar untuk mengedar risalah sebaliknya mahu meningkatkan kesedaran masyarakat berkaitan tanggungjawab mereka untuk bersama-sama membanteras jenayah.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Zul Haizal Zainal Abidin berkata, Program ‘High Profile Policing’ ini, sekali gus memberi peluang kepada masyarakat untuk mengetahui tugas dan cabaran yang sedang dihadapi pasukan polis masa kini.

Menurutnya, sebahagian masyarakat takut dengan kehadiran anggota polis di kawasan awam, sedangkan situasi itu adalah untuk memastikan keselamatan mereka terjamin selain menggugat kehadiran penjenayah di kawasan terbabit.

“Kalau kita tidak melakukan kesalahan, kita tidak perlu takut sebaliknya boleh menggunakan medium ini untuk menyalurkan segala maklumat yang berkaitan kepada anggota bertugas.

“Kerjasama ini yang kita perlukan daripada masyarakat jika mahu kegiatan jenayah dapat dibanteras,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas bertemu dengan masyarakat di Pasar Ramadan, dekat sini, semalam.

Zul Haizal berkata, pihak polis turut mengedarkan risalah berkaitan panduan pencegahan jenayah termasuk nombor telefon balai polis yang perlu dihubungi sekiranya berlaku kejadian.

Menurutnya, masyarakat juga diminta mengisi Borang Balik Kampung sekiranya mahu meninggalkan kediaman semasa musim perayaan.

“Maklumat mereka yang mahu meninggalkan kediaman dalam tempoh lama ini penting kepada kami. Sekurang-kurangnya, kita mengetahui kawasan mana yang tiada penghuni supaya rondaan dan pemantauan dapat dilakukan lebih kerap.

“Mereka boleh mendapatkan borang itu di balai polis berdekatan dan menyerahkan semula sebelum mereka pulang bercuti,” kata beliau.





0 comments:

share2