BENTONG - Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) digesa segera campur tangan bagi membendung kekejaman rejim Israel yang kini semakin agresif menindas rakyat Palestin di Gaza.
Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, sikap tidak berperikemanusiaan rejim Zionis itu yang mengakibatkan nyawa banyak kanak-kanak dan wanita tidak berdosa menjadi korban, perlu dihentikan segera.
"Kekejaman serta kezaliman Zionis itu kini sudah sampai pada kemuncaknya yang mengorbankan lebih 120 penduduk serta mencederakan ratusan penduduk dan memusnahkan banyak kediaman dan harta benda.
"Hanya dengan campur tangan PBB dan OIC serta kuasa besar seperti Amerika sahaja yang boleh membendung keganasan ke atas rakyat dan bumi Palestin di Gaza, bagaimanapun kita kesal kerana sehingga ke hari ini dua badan besar dunia itu masih berdiam diri," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan barangan keperluan masjid dan surau berupa barangan elektrik bernilai lebih RM148,000 sumbangan Yayasan Belia Felda di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah Simpang Pelangai Bentong semalam.
Katanya, walaupun rakyat Palestin mengadakan tunjuk perasaan dan perarakan sebagai membantah kekejaman Isreal itu, namun hanya sia-sia dan tidak mendatangkan sebarang perubahan kepada rejim tersebut dan perlu dibantu oleh negara lain.
0 comments:
Post a Comment