Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, May 9, 2014

TUGAS BUKAN BIADAP



Sering kali tokoh Islam yang ulung, Umar al-Khattab RA di gambarkan sebagai seorang yang ganas dan garang. Ia adalah satu kenyataan salah dan berbahaya. Umar RA tidak sepatutnya dengan gambaran sebegitu. Umar RA terkenal dengan ketegasan beliau dan teguh memegang prinsip.

Ketegasan itu yang kadang kala membuahkan kenyataan dan tindakan yang disalah anggap sebagai kasar. Namun, Umar RA tidak boleh hanya dilihat daripada sudut kepimpinan dan pemerintah semata-mata. Sebelum dilantik di ambang kewafatan Abu Bakr al-Siddiq RA, sifat dan keperibadian Umar perlu dilihat daripada sudut yang komprehensif berkaitan dirinya melalui ucapan manusia yang hidup di sekeliling beliau.

Salah satu kelebihan Umar RA adalah kepintarannya. Ibn Hajr al-Asqalani (wafat 852 H) ketika mensyarahkan hadis: “Sekiranya masih ada lagi Nabi selepasaku, nescaya orang itu adalah ‘Umar” (Riwayat Ahmad, al-Tirmizi & al-Tabrani. Hasan); berkata: ‘disebutkan nama Umar RA dalam hadis ini adalah rentetan isu-isu yang berlaku dizaman Nabi SAW yang bertepatan antara pendirian al-Quran yang diturunkan dan pendapat Umar”.

(Fath al-Bari, Fadhail al-Sahabah Jil.7, m/s 45). Umar dianggap dalam kenyataan Ibn Hajr ini sebagai tokoh yang mampu menaakul pandangan yang serupa atau hampir kepada pendirian langit kerana kepintarannya.

Kepintaran ini bukanlah sebuah rahsia buat Umar RA yang begitu terkenal menggabungkan antara keindahan Islam dan penyusunan sistem pemerintahan di bawah seliaan beliau.

Seperkara yang jarang diberikan penekanan terhadap Umar RA adalah nilai spiritual Umar RA yang gagal ditandingi oleh sahabat selain Abu Bakr RA. Ucapan ‘Uthman ibn ‘Affan RA yang terkenal ketika dipanggil oleh Abu Bakr RA bagi memberikan penyaksian mengenai Umar adalah:

“Demi ALLAH, kehidupannya yang terselindung (yang tidak diketahui manusia umum) lebih baik dariapa yang diketahui oleh manusia”. (IbnSaad, al-Tabaqat al-Kubra Jil.3, m/s149)

Ketegasan Umar yang begitu masyhur bukanlah satu pendirian yang semberono. Ia mengumpulkan kepintaran dan nilai takwa yang tinggi di dalam perasaan Umar RA dan membenihkan kualiti Umar Al-Khattab RA yang tiada tandingan.

Kualiti ‘Umar yang hilang

Beberapa tahun kebelakangan ini ada pihak sama ada individu atau kumpulan yang mendakwa mewakili Islam bagi menggantikan watak Umar al-Khattab RA di Malaysia. Walaupun ia satu niat yang baik, bagi memartabatkan Islam serta menunjukkan ‘izzah’ atau kemuliaan buat Islam, tetapi kaedah yang dibawa amat songsang dan senget.

Persoalannya, apakah kita mahu menunjukkan Islam yang samseng atau agama yang rahmat tetapi tegas? Adakah sekiranya bentuk agama ini dipersembahkan di hadapan Baginda SAW, apakah ia akan diluluskan dengan jayanya oleh Baginda SAW? Kebanyakan kita berkemungkinan akan memilih jawapan tidak.

Ketegasan Umar RA di atas bukan disulam dengan kebodohan dan kejahilan. Ia juga tidak diuruskan dengan ganas dan bengis.

Amat mendukacitakan apabila kebimbangan kita terhadap isu kalimah ALLAH diterjemahkan dengan ancaman membakar Bible dan seumpamanya. Kesilapan sesetengah pihak yang membandingkan tindakan Umar yang tegas dalam banyak urusan di Madinah sebagai justifikasi terhadap ancaman tersebut.

Umar RA tidaklah begitu jumud dan literal sehingga tidak menilai keadaan semasa bagi menentukan pendirian dan pendekatan yang perlu diambil. Semaklah di dalam riwayat sejarah pemerintahan Umar RA, beliau mengambil banyak pertimbangan
sebelum mengeluarkan arahan.

Nabi SAW juga tidak membenarkan hukuman potong tangan ketika musafir dan lapar. Bagaimana kita dengan mudah menggunakan alasan ia dilakukan oleh Umar RA untuk menghalalkan tindakan kita yang mengancam keselamatan agama lain?

Ketandusan sudahkah kita dengan sarjana dan tokoh yang berkemampuan untuk berhadapan dengan isu ini secara aman dan ilmiah?

Sejarah moden merakamkan ketokohan umat Islam dalam menjawab provokasi agama lain seperti Kristian dengan baik. Ahmad Deedat tidak pernah gagal mematahkan hujah mereka seantero dunia sehingga mereka gagal memberikan respons dengan baik.

Mengapa perlu ancaman dan kata-kata yang tidak enak dikeluarkan dengan mewakili nama Islam? Ia sama sekali tidak serupa dengan nilai kualiti ketegasan Umar RA menghadapi isu dan permasalahan yang ada.

Wasatiyyah yang dipandang sepi

Acap kali slogan ini diulang sana dan sini. Wasatiyyah tidak boleh difahami hanya dengan berpendirian pertengahan, maka kita sudah wasatiy! Ia bukan wasatiy sekiranya ia tidak didasari dengan ilmu. Adalah tidak wasatiy sekiranya agama digambarkan dengan wajah mistik dan kartun yang menggelikan hati.

Kopiah yang bersulam lakaran selipar Nabi SAW didatangkan dengan fadilat rekaan yang bermacam-macam bukan lambang wasatiy. Agama didasari sumber konkrit al-Quran dan as-Sunnah yang sahih. Ia bukan lapangan kreativiti untuk tokoh itu dan ini menyumbang saran.

Begitu juga halnya dengan kelompok yang ingin menolak fahaman yang digelar liberal dan istilah-istilah Barat yang mereka sendiri tidak fahami. Kita tidak menyokong usaha bagi meletakkan Islam sebagai agama yang sama rata daripada sudut akidah dan ibadah dengan agama lain. Kita juga menolak gerakan yang ingin menghalalkan apa yang diharamkan oleh ALLAH dan Nabi SAW.

Tetapi kita tidak mampu bersetuju apabila semua yang datang dari Barat dilabel liberal dan haram! Kegagalan memahami sumber asal liberal dan lain-lain menjadikan kita seperti badut di atas pentas ilmiah. Apa yang berlaku adalah satu jenayah ilmiah. Ia tidak patut berlaku apabila Umar RA menjadi dalil atas justifikasi tindakan tersebut.

Hakikatnya, suasana ini telah memalitkan sama Islam dengan pandangan yang begitu buruk dan memalukan.

Situasi ini telah membuatkan sebahagian perkumpulan berlabel Islam menjadipunch bag buat mereka yang tidak selesa dengan Islam kerana mereka memberikan bola tanggung untuk dismash. Ini tidak patut berlaku.

Sekiranya wujud perbezaan pandangan sekalipun, ia perlu didorong dengan fakta dan angka. Percayalah, akhirnya tidak banyak pelakunya dicemuh tetapi Islam sendiri akan berkongsi nama yang buruk pada waktu yang sama.

Begitu juga, tidak bersetuju dengan suatu tindakan seperti demonstrasi tidak menghalalkan luncuran lidah atau status laman sosial, Facebook menggelar orang lain pelacur dan tidak bermaruah. Ia sudah melampau.

Islam sebagai produk universal

Islam pada hari ini boleh digambarkan sebagai produk yang terbaik dengan penjual yang teruk (the best product with bad salesman). Apakah tujuan dakwah kita? Ia perlu ditanyakan semula.

Adakah ancaman kepada agama lain akan menambahkan sayang orang lain kepada Islam? Minat bukan Islam kepada kita? Apakah yang kita mahukan daripada ancaman, kata-kata kasar dan tohmahan bagi kebaikan dakwah?

Ia hanya menambah musuh berbanding kawan yang mesra buat perjalanan dakwah ini. Tegas yang ingin dipromosikan perlu kepada kepintaran, kesabaran dan akhlak yang tinggi. Itulah antara mesej kenabian bagi memurnikan akhlak yang tinggi. Dakwah dengan biadab bukanlah dakwah, ia jahiliah.

0 comments:

share2