ALLAH SWT menetapkan nasib setiap manusia tetapi mereka langsung tidak mengetahui bagaimanakah untung nasibnya. Sebagaimana ALLAH menetapkan perkahwinan buat kita akan tetapi kita tidak mengetahui sejauh mana perkahwinan itu akan bertahan.
Sebagai manusia, kita wajib berusaha untuk melakukan apa sahaja dengan terbaik dan melindunginya daripada sesuatu tidak diingini dan sekiranya ada badai yang ditimpakan-Nya maka ALLAH akan sediakan jalan keluar terhadap segala permasalahan yang berlaku.
Reda, berusahalah
Pendakwah bebas, Ustaz Mohamad Amiro Safwan Mohd Kamil berkata, segala apa dilakukan pasti menerima ujian daripada-Nya sama ada besar atau kecil ujian berkenaan. Namun yang penting! apabila ditimpa musibah usah melenting sebaliknya bersikap terbuka dan reda kerana ia semakin mendekatkan diri dengan-Nya.
"Jadikan pasangan yang lama berkahwin tetapi belum dikurniakan anak sebagai contoh. Apabila berkahwin, tidak cukup dengan hanya hidup berdua tanpa zuriat di sisi. Pastinya anak menjadi harapan dalam sesebuah rumah tangga agar lebih menyuburkan kebahagiaan yang berpanjangan.
"Tidak semestinya setiap perkahwinan yang dibina akan dikurniakan zuriat dalam tempoh tertentu. Segalanya terpulang kepada ALLAH menganugerahkannya atau tidak. Sebagai contoh, ada dalam kalangan masyarakat kita, pasangan yang berkahwin selepas sembilan bulan sepuluh hari sahaja, isterinya melahirkan anak. Kata orang tua-tua “bunting pelamin". Ini anugerah yang terbesar dalam rumah tangga setelah ALLAH permudahkan urusan sesebuah perkahwinan.
Pada masa sama, ada pula pasangan yang perlu menunggu bukan sembilan bulan tetapi sembilan tahun barulah dikurniakan zuriat. Ada juga pasangan yang ALLAH takdirkan tidak mempunyai zuriat sepanjang tempoh perkahwinan yang mereka dirikan," katanya kepada Rehal.
Beliau berkata, soal rezeki, jodoh, anak, sihat, sakit, hidup atau mati adalah dalam kekuasaan ALLAH. Jangan sampai satu tahap kita salahkan ALLAH kerana tidak dikurniakan anak, sebaliknya perlu bersabar dan tidak putus asa.
Firman ALLAH yang bermaksud: "... janganlah kamu berputus asa daripada rahmat ALLAH, kerana sesungguhnya ALLAH mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani". (Surah Al-Zumar: 53)
Pupuk iman
Begitu juga perangai anak-anak merupakan satu ujian daripada ALLAH. Ada ibu bapa punya akhlak cantik, namun anak-anak mereka berperangai tidak senonoh. Ini menjelaskan mengenai konsep iman yang tidak dapat diwarisi.
"Iman adalah sesuatu yang perlu dipupuk, disemai dan diasuh agar ia sentiasa mekar dalam setiap jiwa orang Islam. Sekiranya ayah atau ibu tidak memberi didikan yang sempurna, baik dalam soal agama atau akademik maka si anak nanti hanya akan indah khabar dari rupa.
"Apa yang menyedihkan, ada dalam kalangan ibu bapa yang dihormati dalam masyarakat, mempunyai kedudukan tinggi pada pangkat, elok pada agama dan adat, akan tetapi si anak sama sekali tidak mengikut jejak langkah ibu bapanya. Inilah perkara yang sering kali menghiasi kehidupan kita," katanya.
Beliau berkata, dalam soal ini, adakah kerana ibu bapa tidak mendidik anak-anak dengan baik atau si anak itu terlalu dimanjakan sehingga tidak mendengar nasihat dan teguran ibu bapa mereka.
Menurutnya, persoalan ini perlu dijawab oleh setiap yang bergelar ibu bapa. Fahami firman-Nya dalam Surah Al-Tahrim ayat 6 yang menjelaskan bahawa seorang suami atau ayah wajib memelihara dirinya dan isterinya serta anak-anaknya daripada api neraka. Iaitu dengan memberi didikan dan asuhan agama yang baik, pendidikan akhlak dan moral, akademik dan lain-lain bertepatan dengan apa digariskan Islam.
Mohamad Amiro berkata, tanggungjawab dalam memberi didikan sama sekali tidak boleh dipandang enteng dan diabaikan. Apatah lagi hanya menyerahkan tugas itu kepada pihak kedua seperti guru-guru atau pembantu rumah.
Sebagai orang tua kita perlu sedar, mungkin ada perkara yang kita terlepas pandang dalam mengasuh anak-anak. Kita menyangka dengan memberikan apa yang dimahukan, maka mereka akan mendengar setiap suruhan dan larangan kita. Belum tentu dan bukan semudah itu. Apatah lagi apabila si anak berasa bebas tanpa dikongkong sehingga dapat melakukan apa sahaja perkara yang mereka inginkan tanpa ada halangan.
Penyelesaian harmoni
Dalam menjalani kebahagiaan berumah tangga, ada cabaran dan dugaan yang perlu ditempuh. Antaranya ialah dalam sebuah perkahwinan yang retak, siapakah yang perlu dipersalahkan?
Adakah kesalahan itu perlu diletakkan kepada takdir, bolehkah kita menyalahkan takdir? dan seumpamanya. Persoalan sebeginilah yang sering kali berlegar dan bermain dalam fikiran.
Beliau berkata, masyarakat sebenarnya kurang pendedahan mengenai perceraian. Sebut sahaja berpisah maka spekulasi yang timbul ialah mesti ada yang tidak elok berlaku dalam perkahwinan tersebut.
Suami jahat, isteri curang, anak terabai dan lain-lain. Sedangkan perceraian itu sebenarnya merupakan salah satu jalan penyelesaian dalam mengharmonikan kembali perhubungan.
Masing-masing nanti akan ada haluan sendiri yang boleh ditempuh dengan lebih baik. Cumanya perceraian ini adalah jalan terakhir dipilih setelah pelbagai usaha dan cara dilakukan untuk menyelamatkan rumah tangga.
"Namun ada juga yang menyalahkan takdir terhadap apa yang telah berlaku. Apabila bercerai maka dianggap sudah takdir untuk bercerai.
"Apabila kecewa, sedih, duka, sakit juga takdir sedemikian. Sedangkan apabila berkahwin, di saat bahagia mengapa persoalan ini tidak ditimbulkan?" soalnya.
Mohamad Amiro berkata, kita sama sekali tidak boleh menyalahkan takdir kerana kita diberikan ruang dan peluang untuk berusaha menjadikannya lebih baik.
"Berdoalah kepada-Nya agar Dia permudahkan segalanya untuk kita," katanya.
0 comments:
Post a Comment