Kangar - Raja Perlis ,Tuanku Syed Sirajuddin Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail meminta semua pihak sama-sama memainkan peranan untuk mempertahan kesucian dan keagungan Islam ekoran pelbagai cabaran dihadapi umat Islam kebelakangan ini.
Titah baginda ada dalam kalangan pihak tertentu di negara ini yang mengamalkan akidah bertentangan dengan ajaran Sunnah Wal-Jamaah dan ia memberi kesan cukup mendalam kepada umat Islam jika tidak dibendung segera.
"Semua pihak yang terlibat perlu memberi perhatian bersungguh-sungguh menghadapi ancaman tersebut supaya ia tidak terus berkembang yang akhirnya akan mengelirukan umat Islam sendiri termasuk dalam amalan sembahyang dan puasa," titah baginda.
Raja Perlis bertitah demikian semasa merasmikan Masjid Darul Ibadah Padang Behor dekat sini malam tadi, satu daripada acara bersempena sambutan ulang tahun ke-71 keputeraan baginda pada 17 Mei ini.
Turut berangkat Raja Perempuan Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Hadir sama Menteri Besar Azlan Man dan isteri, Nor Aswana Omar.
Baginda turut meminta setiap pengurusan dan jawatankuasa masjid di negeri ini memastikan agar masjid masing-masing sentiasa berada dalam keadaan bersih, ceria dan wangi sesuai sebagai rumah tempat umat Islam beribadat.
Bagi memastikan setiap masjid sentiasa digunakan dalam aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan, Raja Perlis menyarankan supaya pendekatan dibuat bagi menarik anak-anak muda mendekati masjid sekali gus mengelak mereka melibatkan diri dalam sebarang aktiviti tidak sihat.
Baginda turut meluahkan rasa bimbang dengan penglibatan ramai anak muda di negeri ini termasuk golongan pelajar sekolah menengah dalam penagihan air ketum hingga boleh merosakkan masa hadapan mereka sendiri.
Masjid Darul Ibadah Padang Behor pada awalnya hanya sebuah bangunan kayu dibina sebelum merdeka serta hanya mampu menampung 300 jemaah tetapi pada 1980 ia dinaik taraf dan kini boleh menampung 1,000 jemaah pada satu-satu masa.
0 comments:
Post a Comment