Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, May 3, 2014

TIGA SAHABAT NYARIS MAUT




Raub - Tiga sahabat nyaris maut apabila kereta jenis Wira Aeroback yang dinaiki terbabas di Kilometer 347, Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu dekat Gali Hilir di sini, kira-kira jam 5.45 pagi semalam.

Ketua Polis daerah, Superintendan Wan Mohd Samsudin Wan Osman berkata, ketika kejadian, Wan Mohd Zulhilmi Wan Mohd Affandi, 20, Amirul Ezam Mohd Yasin, 20, dan Ahmad Zakee Amin dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Tumpat, Kelantan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, Wan Mohd Zulhilmi dipercayai gagal mengawal kenderaan ketika tiba di tempat kejadian lalu terbabas ke kiri jalan dari arah Raun dan seterusnya masuk ke dalam longkang.

“Wan Mohd Zulhilmi yang berasal dari Kampung Pasir Pekan Hilir Wakaf Bharu, Kelantan itu dipercayai gagal mengawal kenderaan berikutan jalan basah dan licin selepas hujan.

“Ketika kejadian, keadaan jalan lurus dan mempunyai garisan berkembar,” katanya.

Beliau berkata, Wan Mohd Zulhilmi Wan Mohd Affandi, 20, cedera dan dirawat di Hospital Raub manakala dua lagi rakannya, Amirul Ezam dan Ahmad Zakee hanya cedera ringan.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan di Kilometer 344, Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu dekat Kampung Tanah Bercangkul, di sini, sebuah lori turut terbabas dan memasuki longkang awal pagi semalam.

Pemandu lori, Mohd Azman Mahad, 32, dikatakan dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur.

Wan Mohd Samsudin berkata, ketika kejadian hujan lebat dan dalam masa sama terdapat dua kenderaan memintas dari arah hadapan.

“Pemandu cuba mengelak kenderaan terbabit namun gagal mengawal kenderaannya lalu terbabas ke kiri jalan dari arah Raub dan memasuki longkang,” katanya.

Pemandu yang berasal dari Puchong itu mengalami cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Raub.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

0 comments:

share2